Sunday, December 18, 2011

Guru Sementara

Guru sementara ialah guru tidak terlatih yang diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk ditempatkan di sekolah-sekolah yang kekurangan guru terlatih/tetap.Pada satu masa dulu semua guru sementara adalah tidak terlatih,kebanyakannya diambil daripada lepasan SPM.Pada era tahun 80-an dan 90-an semua guru terlatih yang baru keluar daripada universiti atau maktab perguruan boleh dikatakan 100 peratus berjaya mendapat tempat sebagai guru sama ada di sekolah menengah atau rendah,tidak ada yang menganggur.

Namun mulai awal tahun 2000 hingga kini, berlaku satu fenomena baru iaitu mereka yang mempunyai ijazah perguruan dari universiti tertentu terutamanya yang bukan tajaan Kementerian Pelajaran tidak lagi mendapat tempat secara automatik sebagai guru di sekolah.Seterusnya kini sekiranya terdapat keperluan guru sementara di sekolah maka yang diambil oleh kementerian ialah GSTT (guru sandaran tidak terlatih) daripada kalangan pemegang ijazah tidak lagi pemegang SPM seperti satu masa dulu.

Orang-orang tua dulu sangat suka jika anak-anak mereka memilih kerjaya guru,katanya guru ada banyak cuti dan lagi pukul satu atau dua petang sudah boleh balik rumah sudah dapat bersama anak-anak dan isteri,lagi pun apabila ibu bapa sakit-demam atau jika ada kenduri-kendara anak-anak yang kerja guru inilah yang punyai lebih masa untuk membantu.Begitulah premis fikiran ibu-bapa pada satu masa dulu berkaitan kerjaya guru.Adakah ianya masih benar pada hari ini? Kini ada ura-ura yang kuat meminta guru bekerja hingga jam 5.00 petang seperti kerjaya lain juga.Maka jika terlaksana nanti pukul 6,7 atau 8 malam barulah guru tiba di rumah macam mereka dalam profesion lain,lebih-lebih lagi guru yang tinggal di bandar-bandar besar seperti KL yang jalanrayanya sentiasa penuh sesak.Maka akan berlakulah pula fenomena anak-anak guru pun akan terabai seperti juga anak-anak orang lain.Maka pada masa itu mungkin guru tidak lagi sentiasa menjadi pilihan nombor satu untuk dijadikan menantu atau isteri.

Pengalaman pertama menjadi guru ialah pada hujung tahun 70-an,iaitu menjadi guru sementara di sekolah arab Pendang -dah lupa sama ada selepas SPM,STPM atau semasa cuti UPM. Masa tu Ustaz Non adik Mak Lang Jah masih belajar di sekolah tersebut. Gaji lebih kurang RM200 sebulan begitu,maklumlah sekolah agama rakyat.Berapa lama mengajar pun dah tak ingat, mungkin 3 bulan.Pergi sekolah naik basikal parking di rumah Pak Long Mihat (datuk Shahmi)di belakang pekan Pendang, dari situ berjalan kaki lebih kurang 1km ke sekolah di seberang sungai Pendang-Mana boleh cikgu bawa basikal hingga ke kawasan sekolah,leceh tak ada standard! Malu pada anak murid! Cuma adalah satu-dua kali pergi mengajar pinjam motosikal CB100 Samad (anak Mak Ndak Siah,Pak Ndak Eil sebelah rumah Pak Teh Sahak) ikut jalan Gajah Mati,pun parking di rumah Pak Long Mihat sebab menunggang tanpa lesen.

Pada tahun 1967 atau 1968 semasa di darjah 3 atau 4 mungkin,terdapat dua orang guru muda/bujang lepasan maktab perguruan yang baru bertugas di SK Paya Kerchut iaitu Cikgu Yusof Dan Cikgu Elias, jika tak salah kedua-duanya orang Johor. Mereka berdua pergi ke sekolah dengan menaiki basikal dari rumah sewa yang jaraknya lebih kurang 1km.Oklah sebab zaman tu majoriti orang kampung tunggang basikal saja,motosikal adalah satu-dua buah. Dua oarng guru muda ni menunggang basikal kadang-kadang agak laju.Khabarnya pada suatu pagi agaknya dek kerana menunggang dalam keadaan laju basikal Cikgu Elias telah terlanggar pangkal pokok kelapa hingga beliau jatuh terpelanting,menurut kata saksi yang melihat,nasib baik beliau tidak apa-apa.
Cikgu Elias ni agak kelakar orangnya berbeza dengan Cikgu Yusof yang agak serius.Semoga mereka berdua sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT,Amin.
Sekian dulu,terima kasih.

Tuesday, December 6, 2011

mandi

Budak-budak sekarang hanya kenal air paip untuk mandi.Kalau balik kampung pun mandi air paip juga sebab kebanyakan kampung kini telah ada bekalan air paip.Bekalan air paip mula masuk ke PN kira-kira 30 tahun lepas.Maknanya,budak-budak PN 30 tahun lalu dan sebelumnya hanya mandi-manda dengan air telaga,begitu juga untuk membasuh dan memasak.

Zaman tu tiap-tiap rumah di PN ada perigi dan kebanyakannya terletak di tepi sawah padi iaitu sempadan antara sawah dengan tanah kampung,ada perigi yang ditaruh yum dan ada yang kekal original begitu tanpa yum. Kesemua perigi ini mempunyai air yang banyak serta jernih,ada airnya melimpah hingga ke atas tebing perigi terutamanya pada musim hujan,ceduk terus dengan tangan sahaja tak perlu lagi gunakan timba yang bertali.Airnya juga cukup jernih kecuali jika hujan turun dengan lebat maka adalah juga air hujan yang mengalir dari bahagian atas masuk ke dalam perigi tersebut itupun jika tebing perigi berkenaan tidak tinggi,maka waktu itu keruhlah sedikit airnya.Mandi di perigi terbuka macam ni memang menyegarkan dengan siraman air perigi yang sedia sejuk sambil ditiup pula oleh angin yang datang dari arah sawah padi memang satu nikmat unik yang menyegarkan serta sukar dilupakan.

Ada juga sesetengah orang tua waktu tu yang memelihara ikan bujuk serta ikan kaloi di dalam perigi mereka,ada yang sampai sebesar pinggan ikan kaloi tersebut dan hingga sebesar betis ikan bujuk berkenaan,jadi sambil menceduk air dapatlah melihat ikan tersebut timbul dan berenang-renang di permukaan air perigi berkenaan,kadang-kadang anak kedak (rupanya seakan ikan haruan) pun menjadi penunggu di perigi-perigi berkenaan selain daripada katak pisang.

Sekali-sekala semasa menceduk air perigi dengan menggunakan timba bertali,maka terlepas tali tersebut daripada pegangan terus ia lesap ke dalam perigi.Kenalah cari buluh atau kayu panjang yang ada penyangkuk besi di hujungnya digunakan untuk meraba dan manarik naik timba tersebut dari dasar perigi,maka jika kurang kemahiran kerja ini boleh jadi melarat sampai berjam-jam,jika susah sangat beli saja timba baru.

Pada musim kemarau panjang,kebanyakan perigi-perigi ini airnya akan kering,kecuali ada beberapa buah perigi yang liat untuk kering ataupun 'last' sekali barulah dia yang kering macam telaga arwah Tok Chik Timah.Maka pada musim kemarau panjang perigi ni akan menjadi tumpuan orang kampung waktu tu untuk minuman dan mandi-manda,seawal jam 4 atau 5 pagi dah ada yang datang takut terlewat tak dapat air atau terpaksa berebut dengan orang lain.

Maka apabila semua perigi telah kering atau hampir kering akibat kemarau panjang,inilah masanya kesempatan diambil oleh tuan-tuan perigi masing-masing untuk melanyau/membersihkan perigi masing-masing daripada sampah sarap dan kotoran yang terpendam di dasarnya selama satu tahun atau lebih.Kerja ini memerlukan sekurang-kurangnya 2 orang iaitu seorang turun ke dasar perigi memasukkan sampah sarap ke dalam baldi dan yang di atas menarik baldi tersebut ke atas membuangkannya berkali-kali hingga dasar perigi benar-benar bersih dan lubang air matanya tidak lagi tersumbat.

Pada era yang lebih kurang sama,mungkin pada peringkat awal sekolah rendah, Pak Njang Kalid ada projek menanam kacang panjang dalam skala yang besar (satu Relung begitu) iaitu bersempadan dengan kampung arwah Pak Teh Mad Lembik.Di situ ada dua buah perigi,satu digunakan untuk mandi-manda serta untuk menyiram pokok-pokok kacang panjang berkenaan,sementara yang satu lagi betul-betul di pangkal serumpun buluh duri bersebelahan pagar Pak Teh ML,dah terbiar begitu saja entah berapa lama dah. Satu hari kami budak-budak pun berpakat dengan beberapa orang kawan membersihkan perigi tu daripada kayu dan sampah sarap, pastikan tiada benda merbahaya di dasarnya ,airnya separas dada lebih kurang,maka turunlah mandi di dalamnya 4-5 orang,dah puas mandi main kejar-kejar dan sembunyi-sembunyi pula di dalam air perigi buta tersebut.Luas perigi tersebut lebih kurang dua buah meja makan.apabila dah mandi 4-5 orang di dalamnya sambil bermain pula kejar-kejar dan selam-menyelam maka airnya pun bertukar daripada jernih menjadi keruh pekat dah macam rupa air teh susu yang Pn.Salmi buat untuk sarapan pagi atau minum petang.Tak kisah pun terus saja bermain dalam air tu sampai berjam-jam,nun di sempadan Pak Teh ML sana,tak siapa yang dengar tak siapa yang tahu.Masing-masing berlari dan menyelam takut dapat ditangkap oleh kawan yang terus-menerus mengejar sambil diiringi gelak-ketawa dan jerit-pekik masing-masing,sesekali bila muncul/timbul dipermukaan perigi rupa dah macam mat salleh sebab kepala,bulu kening dan bulu/lubang hidung semua dah bertukar menjadi warna kuning/perang kerana diselaputi oleh keladak/lumpur daripada 'air teh susu' telaga berkenaan- Memang sukar nak dilupakan- Ok jumpa lagi,insyaAllah.

Tuesday, November 22, 2011

Membaca AlQuran

Salah satu ciri penting seorang muslim ialah kebolehan untuk membaca Quran dengan baik.Ertinya,dikira belumlah berapa sempurna lagi Islam seseorang itu sekiranya ia belum dapat membaca Quran dengan lancar dan betul.Membaca Quran merupakan antara amal soleh yang mudah untuk dijadikan amalan harian kerana ianya tidak terikat dengan konteks masa atau tempat tertentu.Justeru itu antara misi penting terawal yang perlu disedari oleh ibubapa ialah untuk memastikan semua anak mereka dapat membaca Quran dengan lancar dan baik serta misi ini hendaklah dilaksanakan pada masa,tempat dan umur yang betul bagi anak-anak.Dan untuk menjayakan serta memudahkan lagi misi ini agar kejayaannya mencapai 200 peratus maka menjadi tanggungjawab ibubapa sendirilah yang mesti mengajar anak-anak mereka.Jika tugas penting ini diserahkan kepada pihak lain seperti yang dilakukan oleh kebanyakan ibubapa hari ini,maka kemungkinan untuk mencapai target sekadar 50 peratus pun rasanya amat sukar.Silap-silap boleh gagal terus.

Justeru ibubapa mestilah mahir membaca Quran,serta tahu pula teknik yang betul untuk mengajar Quran kepada anak-anak.Mengajar Quran dimulai dengan mengajar Muqaddam.Tiada kompromi dalam soal ini.Jika tanggungjawab memberi makan dan pakaian dibuat oleh ibubapa,kenapa pula soal mengajar Quran mesti diserahkan kepada orang lain? Adakah makanan jasad lebih penting daripada makanan rohani?

Seorang kanak-kanak yang normal biasanya akan dapat membaca Quran dengan baik setelah
diajar pada setiap malam selama minimum tiga tahun berturut-turut iaitu bersamaan 1,095 malam.So,bagaimana orang lain mahu/boleh mengajar Quran kepada anak kita berturut-turut tanpa putus sebanyak 1,095 malam? Hanya ibubapa sendiri sahaja yang dapat melaksanakan misi penting ini. So,sebelum menjadi ibu atau menjadi bapa pastikanlah dulu ilmu membaca Quran ini telah dikuasai agar nantinya anak-anak yang tidak berdosa tidak menjadi mangsa kebebalan ibubapa.Paling-paling bodoh sekalipun carilah pasangan hidup yang pandai membaca Quran (inilah diantara syarat utama orang dulu-dulu dalam hal mencari bakal menantu atau mencari suami/isteri)

Inilah antara rahsia besar dalam proses mendidik anak-anak sedari kecil untuk menjadikan mereka sebagai manusia/insan soleh.Rahsia besar ini tidak disedari oleh semua pasangan suami-isteri.Jika disedari pun kemampuan diri pula terbatas lantaran tipudaya kehidupan sewaktu remaja - Akhirnya anak-anak menjadi mangsa,menjadi manusia separuh siap - Apa nak dikata - Setakat nak berkahwin memang senang - Baru dalam hal nak mengajar anak mahir membaca Quran pun dah terasa cukup mencabar/berat -Habis tu banyak hal-hal lain lagi yang tak kurang pentingnya - Apa-apa pun kembali kepada bagaimana persiapan awal masing-masing sebelum mahu berumahtangga?
Sekian dulu kali ini.Jumpa lagi.

Wednesday, November 2, 2011

ke luar negeri ke luar negara

Masa kecil-kecil dulu,iaitu zaman belum sekolah dan zaman sekolah rendah,waktu tu ingatkan sama saja ke luar negeri dengan ke luar negara.Waktu masih kecil sesiapa pun tentulah banyak perkara yang belum dapat dibezakan ertinya.Sedangkan ada orang yang dah tua pun masih juga ada banyak perkara yang dia belum dapat nak bezakan ertinya.Sebagai contoh masih ada orang yang dah dewasa yang menganggap syurga dan neraka tu sama saja,apa yang ada dalam syurga pun ada dalam neraka begitulah sebaliknya apa yang ada dalam neraka pun ada di syurga,sebab tulah dia tak kisah pun nak solat ke puasa ke belajar agama ke.Inilah salah satu contoh manusia yang umur fizikalnya macam orang tua tapi umur inteleknya macam budak-budak.Tak kisah apa pun.Kubur masing-masing katanya.

Berhubung dengan ini,teringat masa kecil dulu Tok Kedah sekali sekala ada menyewa kereta Arwah Pak Lang Kadir untuk pulang ke Kilang Lama,Kulim bagi menziarahi babatok/ayah Tok Kedah.Selalunya dari Kilang Lama Tok Kedah akan mengambil kesempatan menziarahi pula sanak saudara beliau/kita yang kebanyakannya tinggal di Pulau Pinang iaitu di Bukit Mertajam,Penanti,Lahar Yoi,Tanah Liat dll. Inilah sejarah awal berkunjung ke luar negeri. Dan pada era yang lebih kurang sama juga,2 hingga 3 kali berkunjung ke Mata Ayer,Perlis iaitu ke rumah Abang Cha/Md.Isa.Beliau ialah seorang pesara guru kawan Pak Njang Lid yang sama-sama belajar di Aminah School Alor Setar.Apabila mendapat tawaran menjadi guru serta kena bertugas di SK Paya Kerchut/SK Hj.Md.Dahan maka duduklah beliau di Paya Nedam sekaligus jadi anak angkat Babatok dan Tok Kedah selama lebih kuran 2-3 tahun sebalum ditukarkan ke Sungai Tiang.Beliau juga seorang yang sangat baik.Hingga sekarang sekali sekala beliau akan muncul di Paya Nedam menziarahi Tok Kedah. Jadi sejarah pertama kali ke luar negeri ialah ke Pulau Pinang dan perlis dan yang terakhir ialah Sabah,cuma WP Labuan yang belum.

Sementara keluar negara pula ialah Singapura pada tahun 1982 semasa masih belajar di UPM,diikuti menunaikan haji di Arab Saudi seterusnya Bukit Tinggi Sumatera dan Phuket Thailand ketiga-tiganya semasa di SMK Spg.Bekoh,terkini ialah ke India. Jika Allah izin ingin ke Egypt,UK seterusnya ke New Zealand,North India dan Eropah iaitu ke negara-negara yang berbeza rupa bangsa,budaya,bahasa dan berbeza geografi

Kita telah banyak kali melawat pelbagai destinasi dalam negeri bersama keluarga. Mungkin satu hari nanti kita boleh buat pula satu lawatan keluarga 8-9 orang ke luar negara,misalnya ke Chiang Mai,Menado,Darjeeling ataupun Beijing. Mungkin Bangah boleh
uruskan cadangan ini,mungkin boleh jadi kenyataan pada hujung 2012 atau 2013,atau bila? - sekian terima kasih,jumpa lagi InsyaAllah.

Monday, September 5, 2011

Kerja Suami-Isteri

Sepanjang tempoh sesuatu pasangan itu menjadi suami-isteri ataupun ibu-bapa, biasanya terdapat beberapa kali majlis penting yang perlu diurus dan dilaksanakan pada peringkat keluarga seperti majlis cukur rambut/kepala,harijadi,berkhatan,tahlil arwah,khatam Quran,bertunang,bernikah,berkahwin,doa selamat,berbuka puasa dll. Namun yang berskala besar tentulah majlis kenduri perkahwinan anak-anak.

Perkara penting yang perlu difikirkan sebelum melaksanakan sesuatu majlis perkahwinan
ialah sama ada ianya ala kadar cuma atau besar-besaran? berapa ramai jemputan? Apa menu? Menu pengantin? Siapa jemputan? Ada banyak wang? Fizikal rumah/sekeliling rumah sesuai? Tarikh majlis? Tukang masak/catering? Sewa khemah? Mak Andam? Kad jemputan/lisan? Kendarat? Urusan Imam? Ada muzik? Bila nak mulakan kerja?

Para jemputan jauh-dekat diundang berdasarkan kepada prioriti mengikut saiz kenduri yang telah ditetapkan. Sudah tentulah urutan keutamaannya ialah kepada jiran-jiran/orang kampung tempat kita tinggal,diikuti oleh pegawai syarak/adat seterusnya adik-beradik sebelah suami dan isteri,kawan-kawan lama,rakan sekerja,kenalan biasa,rakan anak-anak serta jangan lupa akan rombongan 'orang sebelah'

Seterusnya perlu berdoa agar majlis dapat berjalan dalam cuaca serta keadaan yang baik dan lancar seperti mana yang diharapkan. Para jemputan tidak terlupa tarikh. Rombongan pengantin selamat tiba 'on-time'. Pak imam sentiasa sihat.Sajian elok serta mencukupi dsbnya.

Jumlah perbelanjaan hangus yang perlu disediakan pula merangkumi kos makanan,tukang masak,sewa-menyewa,hantaran,bilik pengantin,kad jemputan,tapau,pra kenduri/kumpul waris,naik taraf rumah,kendarat,pelamin/andam,pengangkutan,fotografi,muzik(jika mahu) dll.

Oleh itu, apa kata jika jemputan sesuatu kenduri kahwin ini kita hadkan kepada maksima seribu orang sahaja iaitu merangkumi mereka yang disebut di awal tadi. Jika seorang kosnya sepuluh ringgit,maka baru sepuluh ribu ringgit! Kenapa untuk makan saja nak dihabiskan sampai 30-40 ribu ringgit? Sampai nak kena menanggung beban hutang yang besar selepas kerja kawin siapa suruh? Kalaupun bapa pengantin ada banyak wang, bukankah lebih baik jika wang tersebut disalurkan kepada perkara-perkara kebajikan lain yang jauh lebih berfaedah. Lagi pun para jemputan yang datang ialah untuk menunaikan hajat tuan rumah sambil nak meraikan pasangan pengantin,itu saja.Dalam satu hari dapat sampai 5-6 jemputan,macam mana nak makan? Memang dah tak temakan! Para jemputan pun cukup arif/faham untuk mendapat makanan yang sedap/lazat serta banyak pilihan dan memenuhi cita rasa tempat yang perlu dituju ialah hotel-hotel atau restoran-restoran tertentu bukannya ke rumah orang kawin. Lagi pun di negara kita ni ramai yang mati kerana makan, dah tak ada dah yang mati kerana tak makan.

Dari segi nak menghebahkan/menghebohkan atau nak mewar-warkan perkahwinan tersebut kepada orang ramai seperti yang disuruh oleh syarak,rasanya jemputan 1,000 orang itu
sudah memadai,malah ia juga sekaligus menepati tuntutan 'bersederhana' juga seperti yang dituntut oleh syarak. Sedangkan perkara tak senonoh yang dibuat oleh dua orang secara senyap-senyap sembunyi-sembunyi pun dalam masa yang singkat saja dapat diketahui oleh satu dunia, inikan pula pekerjaan baik/sunnah yang dilaksanakan di depan 2,000 biji mata - Yang paling penting sekali kena jaga jangan sampai ada pihak yang berkecil hati - ada enam pihak iaitu emak-bapa pengantin,pengantin,saudara-mara,orang kampung,para jemputan dan 'para yang tak dapat jemputan'. Dan harus diingat,ada pihak yang cukup berterima kasih banyak-banyak jika tidak diundang,sebab dah banyak sangat undangan. Ok,fikir-fikirkan lah.Jumpa lagi InsyaAllah.

Wednesday, August 24, 2011

INGAT

Kita masih dapat menulis di mana-mana media kerana kita masih punya ingatan. Orang normal ialah sesiapa yang masih punyai ingatan serta ingatannya itu pula tidak digunakan untuk perkara-perkara yang abnormal/menyalahi adat dan syarak. Adanya ingatan menunjukkan kita masih punya akal. So,orang yang tidak mempunyai ingatan samalah statusnya macam orang gila.

Kerana memiliki ingatanlah maka kita dapat mengingat semula macam-macam perkara yang telah berlaku dan membuat telahan peristiwa yang akan terjadi,kebolehan mengingat dan menelah inilah antara yang menjadikan kita berbeza berbanding dengan makhluk-makhluk lain.

Sebab ada ingatanlah maka kita dapat beringat, dalam hidup ini kita kena selalu beringat. Masa senang kena beringat untuk masa susah,jika muda kena beringat untuk masa tua, jika dah pun tua kena pula beringat untuk masa tua bangka, ketika masih hidup kena beringat untuk masa jasad dah terbujur kaku,begitulah seterusnya.

Jika sebagai ibu atau bapa pula, maka kenalah selalu memberi peringatan kepada anak-anak akan belajar rajin-rajin, solat dan puasa jangan ponteng, kena hormati ibu-bapa dan orang-orang yang lebih tua dan sebagainya.

Kita juga akan teringat macam-macam, misalnya apabila mengidap sesuatu penyakit atau apabila ditimpa sesuatu kemalangan maka teringat dah hampir nak mati, apabila duduk sorang-sorang teringat kisah-kisah lama, apabila badan selalu sakit-sakit teringat rupa-rupanya aku ni dah tua, apabila terpandang anak-anak yang dah besar-besar belaka teringat aku ni dah dekat nak dapat menantu, serta berbagai-bagai monolog lagi.

kita juga sering diingatkan oleh pelbagai pihak, agar jangan suka membazir, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali, ikut nafsu lesu ikut hati mati dan lain-lain lagi.

Kita juga ingin diingati, terutamanya diingati oleh anak-anak dan orang-orang lain yang kita sayang, misalnya selepas meninggal dunia tentu ternanti-nanti ingatan oleh anak-anak melalui doa dan zikir mereka, mahu diingati sebagai seorang yang baik semasa hayatnya.

Semuanya tentang ingat seperti di atas hanya boleh dicapai dengan selalu kita melakukan proses saling ingat-mengingati di antara suami dengan isteri,ibubapa dengan anak-anak, imam dengan makmum serta juga melalui proses muhasabah diri/introspeksi. Akhir sekali,jangan ingat apa yang kita telah buat selama ini semuanya betul/benar belaka - Sekian,jumpa lagi,InsyaAllah.

Thursday, August 11, 2011

Hal Lampu

Dalam hidup ini ada banyak perkara yang kita kejar/kena dikejar.Jenis yang ramai orang suka kejar seperti wangringgit,hartabenda,pangkat,wanita,kemewahan serta keseronokan.Jenis yang kena dikejar pula ialah seperti umur yang kian pendek,muda yang sebentar,sihat sebelum sakit dan hidup sebelum mati. Jenis kejar yang pertama di atas dibuat/diminati oleh hampir semua orang tanpa mengira umur,jantina,bangsa,agama,fahaman politik mahupun budaya.Bagi yang kedua pula hanya diminati oleh mereka yang beriman dan berakal sahaja.

Selain daripada mengejar perkara-perkara di atas,ada satu lagi perkara yang sangat gemar dikejar khususnya oleh golongan pemandu lori,kereta,bas,teksi serta penunggang motosikal pun iaitu mengejar lampu merah di persimpangan lampu isyarat.Cuba bayangkan bagaimanakah rupanya jika penunggang-penunggang basikal pun berminat sama mengejar lampu merah ni?!!

Jadi, sebagai pemandu apa pun kenderaan kenalah lebih berhati-hati di persimpangan lampu isyarat melebihi daripada di laluan lain. Sebab jika anda berhenti di lampu merah dalam keadaan tanpa diduga mungkin kenderaan kita akan dilanggar oleh pemandu yang mengekori di belakang, sebaliknya jika kita tak mahu berhenti walaupun lampu tu dah kuning/merah maka mungkin kita akan bertembung di tengah-tengah persimpangan tersebut dengan kenderaan lain yang memecut dari lorong hijau. Masalahnya,Yang merah kata yang di sana masih belum hijau lagi,yang belum hijau pula kata yang di sana dah merah,sebagai akibat kedua-duanya berbungkus dengan kain putih di hospital duduk katil sebelah-menyebelah,kau pandang aku aku pandang kau.

Mungkin perkara ini dapat diatasi dengan satu mekanisma baru iaitu satu palang besi (seperti palang besi di pintu masuk jabatan-jabatan kerajaan)akan turun serentak bersama dengan merahnya lampu isyarat berkenaan,jadi semua pemandu tentu akan berhenti kerana takut melanggar palang berkenaan. Sebelum cara ini dilaksanakan kenalah dijalankan dulu projek rintis di beberapa lokasi tertentu. Mungkin keluarga arwah pemandu degil yang melanggar palang besi berkenaan akan menyaman kerajaan pula. Oleh itu, palang besi berkenaan bolehlah dibuat daripada material lain yang jika dilanggar pun ia tidak akan merosakkan kenderaan serta tidak membahayakan 'pemandu bengong' berkenaan. Jika dah dilanggar kereta pun tak rosak pemandu juga tak cedera maka masalah akan kembalilah menjadi seperti sebelum ada palang berkenaan. Pulak dahh!!!!!

Sekian,jumpa lagi.

Thursday, July 14, 2011

Tanggungjawab Keselamatan

Dalam situasi aman dan normal,kehidupan kita berjalan macam biasa,dalam konteks ini keselamatan diri sendiri serta keluarga kita,sentiasa diawasi oleh pihak berkuasa seperti polis dan tentera,malah di setengah-setengah tempat ada pula rukun tetangga ataupun sekuriti swasta. Namun harus diingat,dalam situasi tidak aman seperti pergaduhan sesama sendiri,antara kaum atau mungkin serangan oleh pihak luar,tentu akan mencetuskan keadaan kelam-kabut dan kacau-bilau hingga sampai pada satu tahap mungkin pihak berwajib tidak mampu lagi menjamin/mengawal keselamatan rakyat dan keamanan negara. Contoh andaian ini boleh dilihat seperti yang sedang terjadi di Iraq,Afghanistan,Palestin dan contoh terdekat ialah di Selatan Thai dll.

Akan tiba satu ketika,apabila urusan keselamatan diri dan keluarga sebahagian besarnya kalaupun tidak semua akan terpikul di atas bahu sendiri masing-masing,iaitu tanggungjawab mencegah jenayah dan melawan penjenayah seperti rompakan,samun,pecah rumah,gangster dsbnya yang sentiasa berlaku di dalam masyarakat kita tanpa mengira musim,malah yang pasti kadarnya tentu akan lebih tinggi jika keselamatan negara sudah di luar kawalan pihak berkuasa seperti dinyatakan di atas.

Justeru,dalam keadaan ini (minta simpang),maka masing-masing perlulah menjaga sendiri diri serta keluarga dengan apa cara sekalipun.Keadaan ini telahpun menjadi kenyataan semasa era pemerintahan Jepun dulu,diikuti pula semasa pemerintahan Bintang Tiga (komunis),sehingga pihak pemerintah waktu itu terpaksa membentuk unit 'home-guard' di kalangan orang kampung bagi menjamin keselamatan harta benda dan penduduk kampung masing-masing terutamanya pada waktu malam.

Kerana memikirkan situasi-situasi seperti inilah yang boleh berlaku dari masa ke semasa maka orang tua-tua dahulu melengkapkan diri mereka setidak-tidaknya dengan serba sikit ilmu mempertahankan diri yang secara amnya terbahagi kepada dua aspek iaitu pertahanan diri fizikal seperti mempelajari ilmu persilatan yang banyak terdapat di negara kita dan pertahanan diri nonfizikal iaitu amalan-amalan wirid tertentu yang kebiasaannya diamalkan setiap hari selepas solat maghrib dan subuh. Inilah dua aspek petahanan diri yang sepatutnya sentiasa diambilberat serta dijadikan semacam 'satu kewajipan' di dalam semua keluarga orang Islam khususnya.
Mungkin aspek yang kedua itu lebih mudah dipraktiskan tanpa mengira lelaki atau perempuan kerana ia tidak terikat sangat dengan faktor kewangan,kesihatan,kesibukan kerja/belajar,ruang dan masa.Ingatlah sejarah selalu berulang.Ingatlah jangan dah terantuk baru nak terngadah.Ingatlah jangan dah nak terberak sangat-sangat baru sibuk nak menggali lobang.Ingatlah.
Ok,jumpa lagi.

Friday, July 8, 2011

Maahad Mahmud

Setelah tamat darjah 6 pada hujung tahun 1970, isi borang untuk masuk tingkatan satu SMK Pendang. Tiba-tiba pada satu hari dimaklumkan oleh Tok Kedah akan menyambung pelajaran menengah di Maktab Mahmud Alor Setar pulak (lebih dikenali sebagai Ma'had di kalangan rakyat negeri Kedah). Kawan-kawan lain ada yang masuk SMK Pendang mungkin ada yang masuk sekolah arab Pendang dan ada yang tidak masuk kemana-mana pun, duduk rumah tolong ibu bapa, macam tulah nasib budak-budak kampung masa tu.


Dulu-dulu Maktab Mahmud tidak menjadi sekolah pilihan ibu bapa macam sekarang, masa dulu tidak keterlaluan jika dikatakan anak-anak yang cemerlang akademik di sekolah rendah tidak mahu masuk Maktab Mahmud, malah ibu bapa mereka pun tak mahu anak mereka belajar di situ. Mentaliti masyarakat waktu tu jika tamat belajar di Maktab Mahmud hanya layak jadi ustaz dan tok kadi sahaja. Hari ni, jika tak dapat UPSR 5A jangan disebut nak masuk Maktab Mahmud,itupun belum tentu lagi dapat.


Senario tersembunyi yang masyarakat era tersebut tak tahu atau tak berapa faham ialah pelajar-pelajar Maktab Mahmud yang lulus cemerlang dalam SRP/PMR akan ditawarkan menyambung pelajaran ke tingkatan 4 aliran sastera/agama dan aliran sains di Kolej Islam Kelang(KIK)(Kolej Islam Sultan Alam Shah Kelang). Melalui saluran inilah ada pelajar-pelajar Ma'had yang berjaya menjawat kerjaya bidang profesional seperti peguam, ahli farmasi (macam Fadhil Shafie), doktor (macam YB Dr.Hayati Parlimen Pendang) dll. Hari ini, anak-anak Maktab Mahmud tak perlu lagi ke KIK kerana aliran sains tulen-agama telah disediakan di sana.


Dulu-dulu yang berpusu-pusu menghantar anak-anak mereka ke Maktab Mahmud imajoritinya

ialah ibu bapa dari luar bandar iaitu sebelah Jitra, Kuala Nerang, Pendang, Sik, Baling, Yan dll. Ibu bapa bandar/pinggir bandar sangat kurang - cuba sama-sama fikir kenapa begitu?


Masa tu Maktab Mahmud hebat dalam bola sepak, selalu berentap dengan Kolej Sultan Abd. Hamid. Sekolah lain yang ternama di Kedah ialah Sekolah Sultan Abd. Halim Jenan (asrama penuh). Kehebatan Maktab Mahmud dalam kelasnya yang tersendiri, misalnya penggunaan "maktab" pada namanya serta beberapa lagi ciri tersendiri yang lain.


Sebenarnya, walau dibandingkan dengan sekolah mana pun, maka Maktab Mahmudlah yang paling hebat sekali, kerana pada setiap hari/minggu murid-muridnya kena belajar sebanyak 18 atau 19 mata pelajaran iaitu 8 subjek akademik dan 9-10 subjek arab-agama. Setelah tamat tingkatan 6 sekolah menengah pelajarnya hanya mendapat 3 sijil peperiksaan sahaja tapi di Maktab Mahmud boleh dapat 5 sijil. Memang hebat!
Akademik pun dapat,agama pun dapat.Tentulah hebat!!. Ok,jumpa lagi.

Merepet

Orang Kedah tak ada sorang pun yang pernah bermimpi dalam tidur,kalau merepet memang laa ada. Bagi orang lain di negeri-negeri lain ,merepet tu ialah 'membebel' atau dalam erti kata lain: pot-pet-pot-pet ..... hingga yang mendengar/kena leter jadi bosan,pening dan naik angin.

Lain orang,jika tidur,lainlah merepetnya/mimpinya. Yang paling menakutkan ialah jika mimpi ular,iaitu mimpi bertembung dengan ular yang besar atau tiba-tiba saja berada di tengah-tengah sekumpulan ular yang banyak,punya la takut tak boleh nak cakap,dalam pada tu tiba-tiba tersedar daripada tidur, huh legaa.

Satu lagi ialah mimpi dikejar oleh orang jahat/gila dengan parang,larilah lintang pukang melolong-lolong.Tapi sejak akhir-akhir ni dah berani melawan balik,agaknya sebab dah berumur dah tak kuat lagi nak berlari so lebih baik lawan,apa nak jadi pun jadilah,pun tiba-tiba tersedar daripada tidur, huh legaa lagi.

Sering juga bermimpi iaitu dalam perjalanan/berbasikal nak balik ke rumah seorang diri pada waktu senja/maghrib/malam dari Paya Kechut ke Paya Nedam dalam latar masa dan persekitaran tahun 60-an (entah mengapa inilah latar yang selalu terbit dalam mimpi ini berulang kali),agaknya kerana inilah lokasi yang paling menakutkan di PN bagi seorang yang masih budak pada era tersebut,lagi pun inilah juga laluan setiap hari ke SK Paya Kerchut(Hj.Mat Dahan) dan juga laluan membeli barang-barang dapur tak kira siang atau malam di kedai Arwah Bedun (berhadapan dengan kedai Mi adik Mak Lang).

Selain daripada itu ada juga mimpi-mimpi yang menyeronokkan,umpamanya mimpi tak semena-mena boleh melompat tinggi dan terapung di udara sambil meluncur ke hadapan kemudian
'landing' dalam jarak 100-200meter melepasi ketinggian pokok-pokok,seterusnya melompat lagi berulang-kali.landing lagi. Memang seronok.

Satu lagi mimpi yang agak kerap juga (kini dah lama tak mimpi ni) iaitu bermimpi dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri lepas SPM, bawalah beg kecil besar ke airport seorang diri,tercangak-cangak kat airport menanti kapalterbang dengan perasaan bercampur-baur tak tentu arah tuju, tiba-tiba tersedar daripada tidur,huh punya legaa
tak dapat nak cakap.

Seterusnya,mimpi nak kawin,ertinya masih bujang baru nak kawin.Satu masa dulu mimpi ni agak kerap juga terjadi.Dalam mimpi tu orang ramai dah pun datang (kenduri kawin le katakan memanglah ramai orang datang),imam pun dah datang,akad nikah pun dah nak dimulakan.Punyalah seronok sebab dapat kawin - Dalam pada tu tiba-tiba teringat eh! aku ni kan ke dah kawin,aku dah ada bini, nama isteri aku Salmi,memang ye aku dah kawin buat apa le nak kawin lagi,jangan cari penyakit,seronoknya sikit peningnya banyak,dengan nafas yang tercungap-cungap dan tak tentu-arah terus saja bangun tak jadi nak akad nikah (imam tercengang-cengang),terus beredar pergi cari/dapatkan Pn.Salmi,belum pun berjumpa dah tersedar daripada tidur,huh punya le lega.

Begitulah yang dikatakan mimpi. Ada mimpi yang memang elok kalau dia betul-betul terjadi,dan ada pula yang tak elok/sangat tak elok kalau ia betul-betul terjadi.Kesimpulannya, itulah bukti Tuhan itu maha adil,mana-mana perkara yang tak wajar/tak logik terjadi dalam hidup realiti maka Dia cuma realisasikan/hampir-hampir realisasikan dalam tidur/mimpi kita cuma - Ok,jumpa lagi InsyaAllah.

Wednesday, June 29, 2011

Suami-isteri

Walaupun jika kita cuma seorang diri tidak dapat dinafikan macam-macam yang kita boleh buat,namun jika ada seorang lagi bersama-sama kita lagilah bartambah macam-macam yang kita dapat buat.Misalnya,dalam hal menjaga dan mendidik anak-anak,hasil yang terbaik akan terhasil jika suami dan isteri berpakat dengan baik untuk melaksanakan tugas/amanah ini. Maknanya,jika ibu/bapak tunggal yang terpaksa membesarkan anak-anak,maka memang anak-anak akan membesar tetapi terdidik belum pasti.Sedangkan dua orang ibu dan ayah pun ramai yang gagal mendidik anak-anak,maka pada adatnya bagaimana jika cuma ibu atau ayah sahaja seorang diri mahu memberikan didikan dan kejayaan dunia dan akhirat kepada anak-anak? namun tidak dinafikan memang ada ibu/bapa tunggal yang berjaya mendidik anak-anak mereka sendirian,mungkin 1 dalam 1000.Mungkin.

So,yang idealnya untuk melahirkan,menjaga dan mendidik anak-anak perlu ada sekurang-kurangnya dua orang,barulah berat tanggungjawabnya terasa kurang dan kesan positifnya mencapai maksima.

Dalam konteks dunia akhir zaman ini,institusi suami-isteri kelihatan begitu penting terutamanya dalam memastikan kejayaan di dunia dan di akhirat kepada anak-anak.Kalau boleh biarlah hanya faktor nyawa berpisah daripada badan sahaja yang memisahkan ikatan suami-isteri,jika ada faktor-faktor lain yang mengganggugugat dari masa ke semasa cubalah sedaya upaya dielakkan agar tidak terjadi perpisahan yang akhirnya mengorbankan anak-anak.

Kepada anak-anak muda yang bakal menempuhi gerbang berumahtangga, lakukanlah ibadat perkahwinan/pernikahan ini menurut lunas-lunas tatasusila adat dan agama, kerana ibadat yang satu ini berkait rapat secara langsung dengan urusan melahir dan membina generasi baru dalam sebuah keluarga baru yang berkualiti dan diredhai oleh Allah dan Rasul.
Jumpa lagi.

Sunday, June 26, 2011

Perantau

Merantau bermaksud pergi ke sesuatu tempat atau negeri yang jauh dalam jangkamasa yang lama kerana sesuatu tujuan tertentu,biasanya untuk mencari penghidupan baru yang lebih baik daripada yang sebelumnya,kadang-kadang terus pergi tanpa kembali lagi ke tempat asalnya. Ada juga yang keluar merantau kerana membawa diri akibat kecewa misalnya kerana kekasih hati telah berkahwin dengan orang lain,merajuk,dibuang oleh keluarga,mencari kehidupan yang lebih baik,menuntut ilmu dsbnya. Ada dua jenis perantau iaitu yang mempunyai matlamat tertentu yang jelas dan yang merantau tanpa matlamat khusus iaitu lebih kepada 'membawa diri' berserah saja kepada nasib untung sabut timbullah untung batu tenggelamlah.

Sebagai perantau,tak kiralah perantau kategori manapun,ia akan menjadikan kita sebagai seorang manusia yang lebih tabah,sepatutnya. Kerana apabila kita terasing berada di tempat orang/baru maka segalanya perlu diuruskan/diselesaikan sendiri tanpa bantuan ibu bapa saudara-mara atau kawan-kawan. Merantau dapat menambah kenalan,pengalaman,pengetahuan serta jatidiri.Sebab itulah biasanya orang/kaum perantau/pendatang akan lebih berjaya di dalam hidup berbanding dengan orang tempatan - Ini bukan bermakna untuk berjaya maka kita wajib merantau.

Perantau telah meninggalkan kampungnya,sementara orang yang ditinggalkan pula sentiasa menanti-nanti kepulangan si perantau.Cuma perantau sebatang kara yang tidak meninggalkan sesiapa/satu apa pun di belakangnya yang mungkin tidak akan kembali-kembali lagi. Bagi perantau yang masih ada kampung,eloklah sesekali pulang ke kampung.Namun,sesudah si perantau bertemu jodoh di perantauan disusuli pula dengan kelahiran anak-anak seorang lepas seorang,maka peluang untuk perantau pulang ke kampung halamannya menjadi semakin sukar,lebih-lebih lagi setelah anak-anaknya telah besar,bersekolah dan bekerja,lebih-lebih lagi setelah 'daerah baru' perantau tadi kini bertukar status pula menjadi 'kampung asal' bagi anak-anaknya - Inilah pengorbanan besar seorang perantau yang jarang dapat difahami oleh orang lain termasuk suami/isteri yang dalam perjalanan hidupnya tidak pernah pun menjadi perantau walau sekejap - ok jumpa lagi.

Friday, June 24, 2011

Ular (2)

Dulu-dulu tahun 50-an dan 60-an,jika ada orang kampung buat kerja kawin,maka 2-3 minggu sebelum tarikh kenduri berkenaan, akan ada satu aktiviti penting orang kampung Paya Nedam iaitu ditetapkan satu tarikh untuk datang ramai-ramai mendirikan balai untuk digunakan bagi majlis jamuan kenduri,masa tu tak ada khemah makan atas meja seperti hari ini. Balai tersebut luasnya lebih kurang 30x30 kaki persegi bertiangkan batang kelapa tingginya separas pinggang,dicacakkan di atas tanah dan diletakkan kayu rasuk lalu diaturkan papan di atasnya,diikatkan buluh sebatang di sekelilingnya sebagai penyandar,bumbungnya pula daripada atap nipah/tikar plastik/zink,ada pula tangga yang mempunyai 2-3 batang anak tangga untuk naik ke atas balai tersebut,keseluruhan balai ini bahannya dibuat daripada buluh,batang kelapa dan batang pinang belah, maka di atas balai inilah orang kampung siang daging,potong bawang,parut kelapa (guna kukur) pada sebelah pagi serta para jemputan makan nasi (duduk bersila),berzanji,marhaban,dikir barat/qasidah (sebelah malam) serta balai inilah juga tempat budak-budak kampung tidur bagi menunggu pengantin bersanding pada jam 4.00 pagi.Zaman tu belum ada lampu elektrik,maka suasana malam rumah pengantin hanya diterangi oleh lampu minyak tanah serta 1-2 biji lampu gasolin sahaja.

Kerja budak-budak yang pertama ialah apabila nasi kawah telah masak biasanya pada jam 10-11 pagi maka beraturlah ramai-ramai di gedohok/balai memasak dengan daun pisang atas tangan masing-masing untuk mendapatkan kerak nasi yamg diagihkan oleh tukang masak kemudian dicurahkan kuah kari di atasnya atau dimakan begitu saja jika kari belum masak - orang tua-tua pun suka makan kerak nasi ni. Majlis makan pula biasanya mulai jam 1.00 t.hari bawa hingga ke maghrib/malam pun . Lain-lain kerja budak-budak sepanjang hari tersebut ialah main kejar-kejar,sebelah malamnya pula main lon/sembunyi-sembunyi iaitu seorang kena mencari sementara yang lain-lain pergi sembunyi secara bergiliran dengan peraturan tertentu.

Pada satu hari ada kenduri kawin di rumah arwah Tok Yat,masa tu jam lebih kurang 11 pagi,seperti biasa orang dewasa sedang sibuk memasak di gedohok sementara kanak-kanak pun macam biasa berlari ke sana-sini main kejar-kejar/main aci. Baba pun main aci jugak,lari punya lari sebab takut dapat ditangkap oleh kawan yang mengejar sampai terjatuh di atas jalan merah lebih kurang 50meter dari rumah pengantin,terjatuh betul-betul di hujung ekor seekor ular tedung selar sebesar betis orang dewasa sepanjang 12 hasta,nasib baik kepala dan badan ular tedung selar tersebut telah lepas masuk ke dalam semak cuma tinggal hujung ekornya sahaja lagi di tepi jalan, punya le takut serta terperanjat beruk,lembut lutut tak dapat nak bangun lagi terus pusing ke belakang dan lari pakai merangkak saja, dah jauh sikit barulah dapat bangun dan terus berlari kasi tau pada orang dewasa,mereka ramai-ramai memintas ular tersebut dan akhirnya ular tedung tersebut berjaya di bunuh oleh orang kampung hanya dengan dipukul dengan kayu sahaja.Kalaulah ditakdirkan ular tersebut baru saja nak melintas jalan,tiba-tiba ada pulak budak berlari serta terjatuh di hadapannya,tentu ada yang telah arwah,nasib baik umur masih panjang dapatlah kawin dengan Salmi,alhamdulillah. Jumpa lagi akan datang.

Thursday, June 2, 2011

Kenduri

Kenduri ada kaitan yang rapat dengan makan. Maka terbitlah istilah 'makan kenduri' Jika di Kedah kebiasaannya apabila terpandang seseorang kenalan yang sedang melintas di hadapan rumah,maka tuan rumah pun akan menyapa: "hoi nak pi mana tuu" jawab: "nak pi makan kenduri" Ada macam-macam kenduri,seperti kenduri kawin,kenduri arwah,bersunat,cukur kepala (cukur rambut),bertunang,sambut puasa,kesyukuran,doa selamat,beras baru dsbnya.

Menjadi amalan orang tua-tua dulu (sekarang pun) berkenduri setidak-tidaknya sekali setahun iaitu kenduri arwah (membaca tahlil untuk arwah ibu bapa,datuk nenek,anak-anak atau adik beradik yang telah meninggal dunia lebih dulu).Kalau kenduri kawin pun,maka pada malam sebelumnya atau sejurus sebelum makan pada hari kenduri tersebut biasanya tuan rumah akan menjemput imam untuk membuat sedikit doa arwah. Ini merupakan satu adat/amalan atau tradisi yang baik yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh generasi baru.

Soal makanan apa yang perlu dimasak untuk dijamu pada hadirin tak perlulah dirisaukan sangat - boleh saja makan nasi atau laksa/bihun/mee,roti cicah bubur kacang,pulut durian/cempedak atau cuma memadai dengan kuih saja,yang penting tradisi ini wajar diteruskan - sebab ada hadis Nabi SAW yang bermaksud: apabila bertemu dengan sesama Islam/kenalan maka ucapkan salam kepadanya dan berikanlah dia makan/makanan, au kama qaala.

Kalau tak dapat mengadakan kenduri di rumah kerana pelbagai faktor,maka boleh juga diadakan di surau saja pada malam jumaat terutama kenduri yang kecil-kecilan,kalau tak boleh pula nak dimasak sendiri dan dihidang maka makanannya boleh ditempah cara 'packing' saja - tapi eloklah jika setahun sekali sekurang-kurangnya dapat jemput pak imam serta orang ramai bertahlil di rumah kita,kerana ini salah satu cara untuk membawa rahmat dan keberkatan masuk ke dalam rumah kita di samping menghindar perkara-perkara yang tidak diingini,InsayAllah - Kalau masih tak dapat juga nak dipraktiskan amalan kenduri di atas,kerana banyak sangat halangan,maka sesekali apabila berjumpa dengan kawan-kawan sama ada di tempat kerja atau di luar waktu kerja apalah salahnya belanja mereka sepinggan mee dan secawan teh sambil tu diam-diam niatkan dalam hati " Ya Allah,jika ada pahala daripada amalanku ini maka aku hadiahkan/sedekahkan pahala tersebut kepada ibu bapaku....' - Okay jumpa lagi.

Wednesday, June 1, 2011

Ular (1)

Haiwan berbisa/tidak berbisa boleh ditemui sama ada di daratan atau di lautan. Haiwan berbisa di daratan misalnya kala jengking,tebuan,penyengat,semut api dll manakala yang tidak berbisa pula seperti burung-burung,rama-rama,ulat gonggok dll. Namun harus diingat kecederaan/kematian ke atas manusia oleh haiwan bukan oleh bisanya gigitan/patukan sahaja tetapi juga boleh melalui ,cakaran,libasan,belitan,tamparan,tusukan,jangkitan dsbnya. Manakala haiwan berbisa/berbahaya di lautan pula ialah seperti obor-obor,ikan pari,jerung,ikan lepu dsbnya.

Biasanya,habitat sesuatu jenis haiwan itu hanya terdapat sama ada di darat atau di laut/air sahaja. Misalnya mana ada ikan yang boleh hidup di darat, atau mana ada harimau yang boleh hidup di dalam laut,itulah sunnah yang Allah tentukan. Namun tidak demikian dengan ular,di daratan ada ular di laut pun ada juga ular,ada yang berbisa dan ada yang tidak, demikianlah hebatnya makhluk yang bernama ular ni.

Namun ada lagi beberapa haiwan lain yang boleh didapati di darat serta di laut,seperti landak ia ada di darat dan di laut pun ada landak, demikian juga dengan
anjing,singa dll Cuba sama-sama kita fikirkan apakah ciri-ciri persamaan/perbezaan haiwan-haiwan 'dwi-habitat' ini berbanding dengan ular tadi. Misalnya dari segi berbisa,saiz,rupabentuk dan gaya pergerakan, hampir-hampir tiada perbezaan sama ada ia ular laut atau ular darat. Namun bagaimana pula perbandingan singa/anjing/kuda darat/laut? Cubalah buat analisis sendiri.

Lagi kisah ular - Biasanya pada musim kemarau apabila air di sungai atau di sawah sudah/hampir kering, maka salah satu aktiviti bebudak paya nedam ialah menangkap ikan dengan cara meraba dengan tangan. Pada satu hari beberapa orang budak paya nedam berpakat pergi ke sungai Kg.Pokok Tai iaitu sebuah kampung yang terletak di tengah-tengah antara Bukit Jenun dengan Guar Cempedak. Berdekatan sungai tu ada sebuah masjid dan kita pernah satu masa dulu berhenti sembahyang di masjid tersebut.
Tiba saja di sungai terus ramai-ramai turun meraba ikan,yang pakar meraba tu memanglah senang saja mengesan dan menangkap ikan-ikan tersebut,bagi yang saja ikut-ikut ni puas meraba tapi tak jugak dapat,sesekali tu ada jugak tangan tersentuh dengan ikan,bila dah tersentuh tu ikan terperanjat kita pun terperanjat sama,akhirnya orang lain dah dapat ikan yang kita dok asyik terperanjat. Akhirnya
teraba seekor ikan kira-kira sebesar lengan,haa dapat jugak aku sekor akhirnya,cengkam kuat-kuat dua-dua belah tangan sambil mengetap gigi supaya jangan terlepas,namun 'ikan' tersebut terus menggelongsor hingga akhirnya ia terlepas juga,okaylah ikan umur kau masih panjang.Terus cakap dengan kawan: alamak ikan aku dah terlepas pulak,kawan-kawan lain pun tanya: besar ke kecik (jawab besar lengan) badannya licin ke kesat (jawab kesat) ekornya besar atau makin hujung makin halus (jawab makin hujung makin kecil dan tirus).Maka kawan-kawan pun kata kalau nak tahu yang hang pegang tu ialah bukan ikan tapi ular tanah. Alamak! terus cabut lari naik atas tebing sungai,tak turun-turun lagi.Dalam hati kata macam ni kalu, lebih baik makan nasi tak berlauk pun takpe lah - Okay sambung lain kali InsyaAllah.

Tuesday, May 31, 2011

Mimpi 1

Lain orang lainlah mimpinya. Ada mimpi yang menyeronokkan,ada pula yang menakutkan.
Antara yang menakutkan ialah mimpi bertembung dengan ular yang besar ataupun
mimpi berada di tengah-tengah ular hitam yang sangat banyak.Biasanya jika di luar
mimpi takut ular maka di dalam mimpi pun takutlah juga. Banyak peristiwa menakutkan yang terjadi berkaitan dengan ular,misalnya pernah terserempak dengan ular besar,terjatuh di hujung ekor tedung selar,membaling dengan batu seekor ular tedung selar yang disangka mati,terpegang ular semasa mencari ikan di sungai Pokok Tai dll.
Tidak seperti haiwan-haiwan lain ular ialah sejenis haiwan kerana bentuk serta saiznya yang sebegitu menyebabkan kita mudah terpegang,terpijak,terserempak,terperanjat dsbnya.So ular berada pada nombor satu dalam senarai haiwan yang paling digeruni sama ada di dalam maupun di luar mimpi.Ok jumpa lagi.

'Merepet'

Orang Kedah tak ada sorang pun yang pernah bermimpi dalam tidur,kalau merepet memang laa ada. Bagi orang lain di negeri-negeri lain ,merepet tu ialah 'membebel' atau dalam erti kata lain: pot-pet-pot-pet ..... hingga yang mendengar/kena leter jadi bosan,pening dan naik angin.

Lain orang,jika tidur,lainlah merepetnya/mimpinya. Yang paling menakutkan ialah jika mimpi ular,iaitu mimpi bertembung dengan ular yang besar atau tiba-tiba saja berada di tengah-tengah sekumpulan ular yang banyak,punya la takut tak boleh nak cakap,dalam pada tu tiba-tiba tersedar daripada tidur, huh legaa.

Satu lagi ialah mimpi dikejar oleh orang jahat/gila dengan parang,larilah lintang pukang melolong-lolong.Tapi sejak akhir-akhir ni dah berani melawan balik,agaknya sebab dah berumur dah tak kuat lagi nak berlari so lebih baik lawan,apa nak jadi pun jadilah,pun tiba-tiba tersedar daripada tidur, huh legaa lagi.

Sering juga bermimpi iaitu dalam perjalanan/berbasikal nak balik ke rumah seorang diri pada waktu senja/maghrib/malam dari Paya Kechut ke Paya Nedam dalam latar masa dan persekitaran tahun 60-an (entah mengapa inilah latar yang selalu terbit dalam mimpi ini berulang kali),agaknya kerana inilah lokasi yang paling menakutkan di PN bagi seorang yang masih budak pada era tersebut,lagi pun inilah juga laluan setiap hari ke SK Paya Kerchut(Hj.Mat Dahan) dan juga laluan membeli barang-barang dapur tak kira siang atau malam di kedai Arwah Bedun (berhadapan dengan kedai Mi adik Mak Lang).

Selain daripada itu ada juga mimpi-mimpi yang menyeronokkan,umpamanya mimpi tak semena-mena boleh melompat tinggi dan terapung di udara sambil meluncur ke hadapan kemudian
'landing' dalam jarak 100-200meter melepasi ketinggian pokok-pokok,seterusnya melompat lagi berulang-kali.landing lagi. Memang seronok.

Satu lagi mimpi yang agak kerap juga (kini dah lama tak mimpi ni) iaitu bermimpi dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri lepas SPM, bawalah beg kecil besar ke airport seorang diri,tercangak-cangak kat airport menanti kapalterbang dengan perasaan bercampur-baur tak tentu arah tuju, tiba-tiba tersedar daripada tidur,huh punya legaa
tak dapat nak cakap.

Seterusnya,mimpi nak kawin,ertinya masih bujang baru nak kawin.Satu masa dulu mimpi ni agak kerap juga terjadi.Dalam mimpi tu orang ramai dah pun datang (kenduri kawin le katakan memanglah ramai orang datang),imam pun dah datang,akad nikah pun dah nak dimulakan.Punyalah seronok sebab dapat kawin - Dalam pada tu tiba-tiba teringat eh! aku ni kan ke dah kawin,aku dah ada bini, nama isteri aku Salmi,memang ye aku dah kawin buat apa le nak kawin lagi,jangan cari penyakit,seronoknya sikit peningnya banyak,dengan nafas yang tercungap-cungap dan tak tentu-arah terus saja bangun tak jadi nak akad nikah (imam tercengang-cengang),terus beredar pergi cari/dapatkan Pn.Salmi,belum pun berjumpa dah tersedar daripada tidur,huh punya le lega.

Begitulah yang dikatakan mimpi. Ada mimpi yang memang elok kalau dia betul-betul terjadi,dan ada pula yang tak elok/sangat tak elok kalau ia betul-betul terjadi.Kesimpulannya, itulah bukti Tuhan itu maha adil,mana-mana perkara yang tak wajar/tak logik terjadi dalam hidup realiti maka Dia cuma realisasikan/hampir-hampir realisasikan dalam tidur/mimpi kita cuma - Ok,jumpa lagi InsyaAllah.

Sunday, May 22, 2011

Ramadhan

Minggu depan, pada hari Jumaat 3hbJun 2011 ialah bersamaan dengan 1hb Rejab 1432H. InsyaAllah umur kita mudah-mudahan Allah akan sampaikan ke tarikh itu dan seterusnya.
Bulan Rejab,Saaban dan Ramadhan merupakan tiga bulan Islam yang mengandungi sangat banyak kelebihan di dalamnya,terutamanya Ramadhanlah. Kita perlulah menggandakan amalan-amalan ibadah harian kita dalam ketiga-tiga bulan ini. Dan jangan lupa belajar pun ibadah juga.

Bagi mereka yang punya kesedaran untuk menjadi insan terbaik di sisi Allah,tidak menunggu saat Ramadhan baru hendak menambah amal ibadah, tetapi langkah ke arah itu dimulakan lebih awal iaitu sebaik menjelang Rejab. Maksudnya jika pada setiap hari dalam setiap bulan memang sentiasa beramal-ibadah,maka dalam ketiga-tiga bulan tersebut di atas ianya dilipatgandakan lagi,begitu.

Biasanya,orang yang menjaga amalannya pada bulan Ramadhan,akan melaksanakan ibadat berpuasa genap sebulan iaitu samada 29 atau 30 hari dengan penuh keimanan dan taqwa. Dan mereka membaca Quran setiap hari sekurang-kurangnya sekali khatam sepanjang Ramadhan serta berterawih pada malamnya 20 rakaat dengan 3 witir. Dan memperbanyakkan segala ibadah yang termampu,dengan anggapan seolah-seolah inilah Ramadhan terakhir bagi mereka,kita pun sepatutnya begitulah.

Ramadhan memang istimewa. Ramadhan memang sentiasa ditunggu-tunggu. Seronok sungguh jika anak-beranak dapat berkumpul untuk bersahur dan berbuka bersama. Sekian dulu.

Monday, May 9, 2011

IBU OH IBU

Ibu oh ibu tanpamu tiadalah aku
Ibu oh ibu tanpamu dimanalah aku
Ibu oh ibu kerana sakitmu lahirlah aku
Ibu oh ibu kerana deritamu besarlah aku
Ibu oh ibu oleh rajinmu dewasalah aku
Ibu oh ibu oleh rajinmu pandailah aku
Ibu oh ibu sebab ajarmu baiklah aku
Ibu oh ibu sebab ajarmu rajinlah aku
Ibu oh ibu sebab teladanmu oranglah aku
Ibu oh ibu sebab teladanmu solehlah aku
Ibu oh ibu sebab sayangmu syukurlah aku
Ibu oh ibu sebab sayangmu menjadilah aku
Ibu oh ibu kerana jujurmu mulialah aku
Ibu oh ibu kerana jujurmu insaflah aku
Ibu oh ibu kerana restumu beristerilah aku
Ibu oh ibu kerana restumu terimalah anak-anak ku
Ibu oh ibu kerana rindumu pulanglah aku
Ibu oh ibu kerana rindumu selamatlah aku
Ibu oh ibu kerana adamu tabahlah aku
Ibu oh ibu kerana adamu bertuahlah aku
Ibu oh ibu kerana kau guruku khatamlah Muqaddamku
Ibu oh ibu kerana kau guruku khatamlah Quranku
Ibu oh ibu kerana muliamu mulialah menantumu
Ibu oh ibu kerana muliamu mulialah anak-anak ku
Ibu oh ibu selama kau ada gembiralah aku
Ibu oh ibu kelak kau tiada menangislah aku
Ibu oh ibu andai kau pergi kemanalah aku
Ibu oh ibu andai kau pergi isterilah harapku
Ibu oh ibu doakan aku

Sunday, January 30, 2011

melayu lebih iman Vs melayu kurang iman

Keimanan ialah satu persoalan yang abstrak. Ia bukan macam sembahyang,puasa,zakat, naik haji dll yang boleh dilihat dan dinilai oleh mata kasar. Maksudnya,jika seseorang muslim itu tidak melaksanakan ibadah-ibadah tersebut maka lambat-laun orang ramai akan tahu juga. Namun, tidak demikian halnya dengan elemen keimanan dalam diri seseorang kerana ianya merupakan rukun iman yang mesti ditasdiqkan di dalam hati/kesimpulan iman. Dan hanya iman yang jazam yang tiada syak,zhan dan waham sahaja yang Allah terima. Soalnya,macam mana kita boleh tahu iman seseorang itu jazam atau tidak,macam mana cara kita nak menilai. Kalau sekadar ucap salam atau mengucap dua kalimah syahadat,ada pemimpin-pemimpin Cina Buddha pun yang jauh lebih fasih daripada sesetengah orang Islam sendiri.

Apa cara kita nak menilai atau nak membanding kualiti keimanan atau keislaman seseorang itu dengan seorang lain secara konkrit atau secara kuantitatif? Macam mana kita nak mendakwa pada masyarakat umum bahawa Leman parti islam lebih tinggi imannya daripada Leman parti melayu,sedangkan kedua-dua Leman ini kebetulan sama kuat sembahyang lima waktu dan sama kuat puasa ramadhan dll. Atau mungkin kedua-dua orang Leman ini memang tak berapa rajin nak sembahyang serta selalu kena 'gastrik' bulan ramadhan. Lagi pun ada Hadis Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang akhir hayatnya dapat mengucap kalimah syahadah maka ia masuk syurga. Diharap (dengan baik sangka) dapatlah kedua-dua Leman di atas mengucap dan seterusnya Allah masukkan mereka ke dalam syurga. Itu saja syaratnya - Kenapa nak ditambah lagi dengan syarat-syarat lain pulak? Kenapa orang yang dah tentu-tentu mengamalkan rukun islam dan rukun iman apabila dia mati sahaja, tup-tup dikatakan tidak mati dalam iman? Seterusnya kenapa pula orang yang tentu-tentu terang-tarang tidak pernah beriman,tup-tup dikatakan hidup dan matinya cuba digambarkan sebagai lebih beriman daripada orang yang telah lama turun temurun beriman? Ni Apa ni? - Maka makin bertambahlah kepeningan dan kekeliruan orang Melayu. Dah le orang bukan Melayu/bukan Islam siang malam dok bagi Melayu celaru dalam politik,ekonomi,budaya dan terkini dalam sejarah negara-bangsa,pada masa yang sama ada pulak Melayu lain (Islam lain??) dok bagi Melayu keliru dan celaru serta haru-biru dalam perkara islam,iman dan ihsan. Dan fenomena ini tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan reda,malah kelihatan semakin meningkat dari masa ke semasa. dalam keadaan begini masih bolehkah kita berkata 'Melayu takkan hilang di dunia' - Memang le takkan hilang, macam firaun pun sapa kata firaun hilang,firaun tak hilang,tapi dok ada dalam muzium di Mesir le, jadi bahan tontonan pelancong domestik dan antara bangsa.

Belum faham gak lagi? Okay macam nilah! Mengikut hukum adat, boleh ke orang Melayu menumbangkan Malayan Union 1946 jika yang bangun menentang waktu tu hanya terdiri daripada orang Melayu yang sempurna/jazam iman sahaja,yang tak pernah sejak kecil tinggalkan solat dan puasa sahaja sedangkan melayu-malayu lain yang dilabel tidak/kurang iman diarahkan duduk di rumah jadi penonton cuma. Tentu tidak. Hakikatnya,semua orang melayu tanpa mengira siapa dia telah bangun secara besar-besaran menentang Inggeris. Maka tumbanglah Malayan Union.

Belum faham gak lagi? Okay, Pada adatnya, boleh ke sebuah majlis perkahwinan yang melibatkan tiga pasangan pengantin tiga beradik dengan jemputan 5 ribu orang dengan menumbangkan 3 ekor kerbau jantan boleh berjalan dengan lancarnya dari peringkat awal hingga akhir jika dalam mesyuarat pra majlis/mengumpul waris lalu Tok Sidang pun mengeluarkan arahan kerja begini: 'Dalam majlis ini nanti, saya dan Hj.Leman selaku tuan rumah hanya mahukan tukang masak serta pembantu-pembantunya,kendarat/mentara,tukang basuh pinggan-mangkuk,juru hidang,pelayan tetamu,juru kutip pinggan-mangkuk kotor dan lain-lain kerja hanya terdiri daripada
mereka yang jazam iman,yang tidak pernah meninggalkan solat dan puasa,yang telah pergi haji sahaja,yang ahli parti....sahaja yang lain daripada tu jangan cuba pandai-pandai nak masuk campur'. Cuba bayangkan orang-orang seperti kategori disebut oleh Tok Sidang tu cuma ada 4-5 orang sahaja dalam kampung/taman tu,itupun umur masing-masing dah 60-70 tahun ke atas - Sama-sama kita tengok kalau tak telokop majlis tu jangan panggil nama aku.

Demikianlah juga, bolehke darurat 1948 serta gerakan komunis dalam hutan serta agen-agennya di bandar dihapuskan, jika misalnya askar yang kadang solat kadang tidak kadang puasa kadang tidak, diarahkan tinggal di kem-kem tak perlu masuk belantara cari komunis. Hakikatnya tidak demikian. Semua anggota tentera kita telah berjuang bermati-matian kerana cintakan negara itu sebahagian daripada iman. Dan ada yang syahid sebagai bunga bangsa - Bila negara dan aman,dah senang lenang,dapat tidur malam hingga terlajak subuh.Lain pulak jadinya. Cakap pun dah pooSingh pooSingh sini , yang dah lama turun temurun beriman dicap sebagai tidak/kurang beriman, yang sah-sah tak beriman/kafir harbi dilayan macam ahli syurga.
Pening-Pening! - Ada Melayu yamg lebih teruk daripada kuan yew kerana berfaham kebangsaan. Pening-Pening! - Apa perbezaannya Melayu yang berjuang untuk menegakkan Islam dengan Melayu bersemangat kebangsaan yang juga berjuang bagi menegakkan Melayu yang beragama Islam? Keliru-Keliru. Islam di Malaysia ini duduk pada pokok-pokok getahkah? Atau pada pokok sawitkah? Pada kambingkah? Pada ayam-itikkah?

Justeru macam manakah kita nak klarifikasikan semangat islam dan iman yang ada pada Leman parti islam dengan islam dan iman yang ada pada Leman parti melayu - Umpama macam sebatang besi yang dibakar di dalam relau hingga panas membara merah menyala, so dalam situasi ini; bilakah besi itu mesti menjadi besi dan bila pula besi tersebut mesti menjadi api,sebab kini besi dan api serentak telah menjadi 2 dalam 1. Pening-Pening!. Kacau-Kacau!. Serabut-Serabut!

Ingatlah,mungkin melayu yang zahirnya kelihatan baik akan mati sebagai melayu jahat,dan melayu yang pada zahirnya kelihatan jahat akan mati sebagai melayu baik. Ingatlah selalu, kadang-kadang Allah merahsiakan keakrabanNya dengan seseorang hambanya daripada mata masyarakat umum.Ingatlah Habib Noh seorang Wali Allah tersohor pakaian sehari-hariannya hanya seluar panjang dan berbaju kemeja sahaja.
Semoga tidak berapa lama lagi akan lahirlah seorang pemimpin Melayu yang dapat menyatupadukan semua orang Melayu di Malaysia. Amin - Sekian,jumpa lagi.InsyaAllah.

Monday, January 24, 2011

Islam dan Melayu di Malaysia (lanjutan daripada Bangah)

Orang Melayu mendapat pelbagai kelebihan dan keistimewaan di dalam pelbagai/beberapa bidang kehidupan selepas merdeka khususnya hinggalah ke hari ini ialah kerana sebuah parti politik orang Melayu yang kuat iaitu UMNO telah menjadi parti tulang belakang di dalam kerajaan persekutuan mahupun kerajaan-kerajaan negeri yang dibentuk pada setiap kali lepas pilihanraya umum. Namun akhir-akhir ini,kekuatan tersebut kelihatan agak tergugat oleh beberapa faktor yang tidak perlulah disebutkan di sini.
Kerajaan yang ada sentiasa membantu rakyat Melayu yang miskin dan ketinggalan sejak
era pra dan pasca penjajah lagi. Tanggungjawab kerajaan ini telah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab tanpa meminggirkan kaum-kaum lain. Salahkah kerajaan menolong orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini?

Kini.Hari ini. Setiap hari.Dulu-dulu pun, orang Melayu sentiasa bercakaran sesama sendiri.Orang lain hanya melihat dan bertepuk tangan sahaja,jika ada peluang tolong curahkan lagi minyak petrol biar cepat sikit hangus jadi abu. Orang Melayu menggunakan macam-macam alasan untuk menjustifikasikan agar perkelahian sesama sendiri diteruskan seperti: demi menubuhkan negara Islam,melaksanakan undang-undang Islam,menjaga kepentingan Melayu,membasmi makhluk perosak,dapat masuk syurga,mempertahankan raja-raja,menghapuskan bapak rasuah,menumbangkan kroni dsbnya. Puak lain jauh lebih cerdik daripada kita sebab itulah mereka berjaya membina tamadun puak mereka yang telah berusia ribuan tahun sebelum lagi mereka dibawa ke sini,malah mereka telahpun berjaya dengan jayanya menggandakan lagi aset kecerdikan puak mereka di atas warisan kecemerlangan tamadun mereka tersebut. Bangsa kita pula apa tamadun yang ada? Semua apa yang ada nak diberikan pada orang,tamadun apa ni? Sedangkan orang lain setiap hari dok pasang strategi bagaimana nak memperbanyakkan dan memperluaskan lagi kekuasaan serta pengaruh tamadun asal mereka. Bangsa yang bertamadun ialah bangsa yang tahu menjaga hak dan survival bangsanya. Macamana nak jaga bangsa dan tamadun bangsa jika hari-hari asyik bercakau hinggalah yang menang jadi arang yang kalah jadi habu. Maka betullah Melayu mudah lupa.

Berbalik kepada soal Islam.Macam-macam aktiviti,macam-macam program berkaitan dengan ibadat,muamalat,munakahat serta jinayat yang dapat/boleh penganut Islam lakukan pada setiap hari tanpa halangan berbanding dengan umat Islam di negara lain.Kenapa boleh? Kerana Islam ialah agama rasmi/agama persekutuan negara kita. Hasil perjuangan siapa? Tentulah ia hasil perjuangan ibu bapa datuk nenek moyang kita dulu. Jika kita diperintah oleh kaum lain sudah tentu semua perkara di atas akan disekat malah orang Melayu akan dimutasikan gen/genetik/DNA mereka secara halus agar Melayu bertukar menjadi spesis baru yang Melayu pun bukan Islam pun bukan.Puas hati.

Berhubung dengan soal Islam juga. Dalam konteks negara kita konsepnya ialah Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam (walaupun kini dah ada sebilangan kecil Melayu yang tidak lagi Islam). Ertinya dari segi sejarah,politik,sosio-ekonomi lebih-lebih lagi akidah bahawa Islam di negara ini hidup dan tersimpul kemas di dalam diri/jiwa orang Melayu, bukannya ia berada/tersimpul pada pokok-pokok getah,kelapa sawit,kerbau atau lembu.Di samping tidak dinafikan ada kumpulan-kumpulan kecil lain yang sama-sama taklif syarak dengan kita dalam usaha tanggungjawab memartabatkan dan meninggikan syiar Islam di Malaysia seperti kumpulan India Muslim,Cina Muslim,Melayu Champa,Saudara-saudara baru,pekerja Bangla,Indon dsbnya, kerana di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung - Jadi,dalam konteks negara kita yang tercinta ini, janganlah ada puak yang dok kata; "kita tak nak Melayu kuat apa yang kita nak ialah Islam kuat." Ini cakap orang bodoh tak pakai otak,kalau nak berfilosofikal pun biarlah berpijak di bumi nyata serta ada asas logik. Janganlah orang Melayu yang dan ramai jadi keliru ni ditambahkelirukan lagi kepala hotak mereka dengan ungkapan-ungkapan bodoh macam tu.

Apa salahnya dengan konsep Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu? Pada adatnya dengan adanya konsep inilah, maka puak-puak lain sama ada sebelum lebih-lebih lagi selepas merdeka 1957 dapat hidup senang-lenang di sini,dapat cari makan sampai jadi kaya-raya,dapat bina rumah-rumah ibadat,dapat bina sekolah bahasa pengantar ibunda,jadi YB,jadi menteri,dapat jadi warganegara,mengekalkan nama asal tanpa perlu ada bin dll. lagi - adakah semua itu bercanggah dengan Islam? Adakah tidak Islamaik? So, apa cacatnya konsep ini? Biarkan sajalah! Jangan dikacau.

Tentang perjuangan Islam. Ia bukan milik eksklusif siapa-siapa pun. Ia milik semua penganut Islam di negara ini. Berjuanglah 'at level' masing-masing. Masing-masing ada peranan dan ada impak tersendiri yang boleh disumbangkan kepada Islam. Ada banyak lagi perkara yang belum kita buat yang boleh dibuat yang tak payah nak tunggu dapat kuasa memerintah baru nak buat.Kenapa?

Kuatkan dan hidupkan Islam di dalam diri masing-masing dulu sebelum berbicara untuk menerapkan Islam pada orang/tempat/institusi lain. Jika semua/majoriti orang Melayu dah mengamalkan Islam tulen dengan sendirinya perkara-perkara lain yang diperjuangkan selama ini akan dikurniakan oleh Allah SWT dengan mudah tanpa payah nak berkelahi-berkelahi - Sekian,wassalam.

Monday, January 10, 2011

isteri

Semua lelaki bujang yang sihat tubuh badan serta sihat otak tentu ada menyimpan hasrat untuk memiliki seorang isteri, mampu atau tidak dari segi kewangan itu nanti dulu. Isteri ialah perempuan idaman suami. Sepatutnya setelah mendapat isteri tertutuplah hati sisuami terhadap perempuan-perempuan lain. Sepatutnya. Tidak patut pula ada 'isteri' lain. Barulah boleh menjadi pasangan suami isteri yang bahagia hingga akhir hayat.

Kita bernikah kerana mengikut sunnah Nabi SAW serta bagi memenuhi beberapa keperluan naluri sebagai seorang manusia yang untuk memenuhinya memerlukan kepada pasangan hidup yang berlainan jantina. Dalam kehidupan yang serba moden hari ini, dengan kos makanan yang semakin meningkat,demikian juga kos kediaman, kenderaan,pakaian,hiburan,kesihatan,keselamatan keluarga serta kos melahirkan,membesar dan mendidik anak-anak. Serba serbi kosnya melonjak maka fungsi suami serta isteri yang bekerja ialah untuk menjana satu jumlah pendapatan keluarga yang mencukupi di samping ada sedikit lagi baki untuk tabungan. Ini cukup penting.

Fungsi lain isteri ialah untuk untuk memasak,mencuci pakaian,mengemas rumah,menjaga anak-anak,melayan suami,menghias rumah, malah isteri yang aktif akan bercucuk tanam,menuai hasil tanaman,memberi makan ayam itik kucing arnab,pergi pasar, pergi pasaraya Mydin dsbnya lagi. Jika ada pelbagai mesin dan alat bantuan elektronik/elektrik di dalam rumah tersebut maka jadi ringanlah sikit tugas siisteri. Ini belum lagi diambil kira kerja-kerja pejabat yang terpaksa dibawa balik ke rumah oleh isteri serta kerja-kerja kejiranan dan kemasyarakatan lain - Maka beruntunglah isteri jika suaminya jenis ringan tulang serta mudah bersimpati untuk sama-sama membantu tugas-tugas tersebut di atas. Cuba bayangkan bagaimana rupa dan suasana sesebuah rumahtangga itu jika kedua-dua suami dan isteri 'bersetuju' untuk tidak berminat melakukan kerja-kerja berkenaan seperti dinyatakan di atas. Tak tahulah!

Dalam keghairahan kita mencari isteri, carilah isteri yang mempunyai minat terhadap kanak-kanak, iaitu mengandung,melahirkan,membesarkan dan mendidik anak-anak. Kerana ada isteri yang kerjanya hanya berleter dan memetir kepada anak-anak. Carilah isteri yang walaupun ia jenis berkerjaya tetapi tetap mempunyai dan memberikan masa yang berkuantiti serta berkualiti kepada anak-anak yang masih kecil yang belum tahu apa-apa (yang besar pun juga). Kerana urusan memasak,mencuci,mengemas dll boleh diswastakan kepada orang gaji, namun tidak demikian dengan urusan memberi pelajaran dan mendidik anak-anak. Ingat isteri yang bijak juga tidak akan membiarkan suaminya memakan makanan yang dimasak oleh orang lain terutamanya beberapa masakan yang menjadi kegemaran dan kesukaan sisuami. Ingatlah!

Sekian wassalam.