Wednesday, August 24, 2011

INGAT

Kita masih dapat menulis di mana-mana media kerana kita masih punya ingatan. Orang normal ialah sesiapa yang masih punyai ingatan serta ingatannya itu pula tidak digunakan untuk perkara-perkara yang abnormal/menyalahi adat dan syarak. Adanya ingatan menunjukkan kita masih punya akal. So,orang yang tidak mempunyai ingatan samalah statusnya macam orang gila.

Kerana memiliki ingatanlah maka kita dapat mengingat semula macam-macam perkara yang telah berlaku dan membuat telahan peristiwa yang akan terjadi,kebolehan mengingat dan menelah inilah antara yang menjadikan kita berbeza berbanding dengan makhluk-makhluk lain.

Sebab ada ingatanlah maka kita dapat beringat, dalam hidup ini kita kena selalu beringat. Masa senang kena beringat untuk masa susah,jika muda kena beringat untuk masa tua, jika dah pun tua kena pula beringat untuk masa tua bangka, ketika masih hidup kena beringat untuk masa jasad dah terbujur kaku,begitulah seterusnya.

Jika sebagai ibu atau bapa pula, maka kenalah selalu memberi peringatan kepada anak-anak akan belajar rajin-rajin, solat dan puasa jangan ponteng, kena hormati ibu-bapa dan orang-orang yang lebih tua dan sebagainya.

Kita juga akan teringat macam-macam, misalnya apabila mengidap sesuatu penyakit atau apabila ditimpa sesuatu kemalangan maka teringat dah hampir nak mati, apabila duduk sorang-sorang teringat kisah-kisah lama, apabila badan selalu sakit-sakit teringat rupa-rupanya aku ni dah tua, apabila terpandang anak-anak yang dah besar-besar belaka teringat aku ni dah dekat nak dapat menantu, serta berbagai-bagai monolog lagi.

kita juga sering diingatkan oleh pelbagai pihak, agar jangan suka membazir, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali, ikut nafsu lesu ikut hati mati dan lain-lain lagi.

Kita juga ingin diingati, terutamanya diingati oleh anak-anak dan orang-orang lain yang kita sayang, misalnya selepas meninggal dunia tentu ternanti-nanti ingatan oleh anak-anak melalui doa dan zikir mereka, mahu diingati sebagai seorang yang baik semasa hayatnya.

Semuanya tentang ingat seperti di atas hanya boleh dicapai dengan selalu kita melakukan proses saling ingat-mengingati di antara suami dengan isteri,ibubapa dengan anak-anak, imam dengan makmum serta juga melalui proses muhasabah diri/introspeksi. Akhir sekali,jangan ingat apa yang kita telah buat selama ini semuanya betul/benar belaka - Sekian,jumpa lagi,InsyaAllah.

Thursday, August 11, 2011

Hal Lampu

Dalam hidup ini ada banyak perkara yang kita kejar/kena dikejar.Jenis yang ramai orang suka kejar seperti wangringgit,hartabenda,pangkat,wanita,kemewahan serta keseronokan.Jenis yang kena dikejar pula ialah seperti umur yang kian pendek,muda yang sebentar,sihat sebelum sakit dan hidup sebelum mati. Jenis kejar yang pertama di atas dibuat/diminati oleh hampir semua orang tanpa mengira umur,jantina,bangsa,agama,fahaman politik mahupun budaya.Bagi yang kedua pula hanya diminati oleh mereka yang beriman dan berakal sahaja.

Selain daripada mengejar perkara-perkara di atas,ada satu lagi perkara yang sangat gemar dikejar khususnya oleh golongan pemandu lori,kereta,bas,teksi serta penunggang motosikal pun iaitu mengejar lampu merah di persimpangan lampu isyarat.Cuba bayangkan bagaimanakah rupanya jika penunggang-penunggang basikal pun berminat sama mengejar lampu merah ni?!!

Jadi, sebagai pemandu apa pun kenderaan kenalah lebih berhati-hati di persimpangan lampu isyarat melebihi daripada di laluan lain. Sebab jika anda berhenti di lampu merah dalam keadaan tanpa diduga mungkin kenderaan kita akan dilanggar oleh pemandu yang mengekori di belakang, sebaliknya jika kita tak mahu berhenti walaupun lampu tu dah kuning/merah maka mungkin kita akan bertembung di tengah-tengah persimpangan tersebut dengan kenderaan lain yang memecut dari lorong hijau. Masalahnya,Yang merah kata yang di sana masih belum hijau lagi,yang belum hijau pula kata yang di sana dah merah,sebagai akibat kedua-duanya berbungkus dengan kain putih di hospital duduk katil sebelah-menyebelah,kau pandang aku aku pandang kau.

Mungkin perkara ini dapat diatasi dengan satu mekanisma baru iaitu satu palang besi (seperti palang besi di pintu masuk jabatan-jabatan kerajaan)akan turun serentak bersama dengan merahnya lampu isyarat berkenaan,jadi semua pemandu tentu akan berhenti kerana takut melanggar palang berkenaan. Sebelum cara ini dilaksanakan kenalah dijalankan dulu projek rintis di beberapa lokasi tertentu. Mungkin keluarga arwah pemandu degil yang melanggar palang besi berkenaan akan menyaman kerajaan pula. Oleh itu, palang besi berkenaan bolehlah dibuat daripada material lain yang jika dilanggar pun ia tidak akan merosakkan kenderaan serta tidak membahayakan 'pemandu bengong' berkenaan. Jika dah dilanggar kereta pun tak rosak pemandu juga tak cedera maka masalah akan kembalilah menjadi seperti sebelum ada palang berkenaan. Pulak dahh!!!!!

Sekian,jumpa lagi.