Monday, June 28, 2010

Babatok ( 3 )

BT merupakan salah seorang imam surau PN, imam-imam lain ialah Arwah Pak Chik Md. Enoh,Arwah Pak Lang Hj.Hamad dan sekali-sekala Pak Ndak Dahman, imam sekarang ialah Md.Yazid dan 1-2 orang yang lain. BT juga merupakan orang 10 Masjid Paya Kerchut (pegawai syarak/AJK).

BT berkahwin mungkin sekitar umur awal 30-an dengan TK yang berumur 18 tahun. Waktu itu BT baru pulang selepas merantau ke Pattani lebih kurang selama 2 tahun di sana, perantauan BT tersebut ibarat balik ke negeri asal, macam-macam peristiwa di Pattani yang sering BT cerita kepada kawan-kawannya, memang seronok tumpang sama dengar cerita-cerita tersebut.

Pakaian harian BT ialah kain pelikat bersama baju melayu butang tangan panjang separuh lengan dan ketayap putih, jika ke kampung lain atau ke Pendang dll barulah memakai baju melayu biasa serta berserban, jika berbuka puasa mesti ada kurma, minum kopi O panas, suka makan lempeng TK atau roti Kelin Mokhtar cicah kuah kari. Kemana-mana naik basikal, awal 1970-an baru beli motosikal Honda 70cc nombor pendaftaran KC 9619.

Terdapat 2 buah pondok berhampiran PN iaitu Pondok Gajah Mati dan Pondok Chegar, jarak antara kedua-dua pondok ini cuma lebih kurang 1km sahaja. Guru Pondok Chegar ialah Tok Guru Hj.Awang, beliaulah yang mewakafkan tanah kepada Tok Yah Doi yang menjadi tapak Pondok Gajah Mati sekarang ni. Tok Guru Hj.Awang ni pulak sepupu dengan Cher ('chair') Hj Said b. Mohd iaitu datuk TK yang menjadi kadi Kulim masa tu, semua mereka suami dan isteri berasal dari Pattani.

Anak Tok Guru Hj Awang ialah Tok Guru Hj Mohd. Robab (beliaulah yang memilih nama Abd.Bari kepada BT untuk diletakkan kepada anak no.6nya), dan kini anak beliau Tok Guru Hj Sulaiman (dah uzur, mungkin kita boleh ziarah beliau satu hari nanti) yang menguruskan Pondok Chegar, so sama ada nasab sebelah BT atau TK memang kita semua berasal usul dari Pattani. Simpanlah azam agar satu hari nanti kita dapat memijak tanah Negeri Pattani walaupun cuma untuk seketika yang tentunya akan menjadi satu saat yang cukup nostalgik dan penuh bermakna - baba telah merasai pengalaman unik ini kira-kira 10 tahun lalu semasa dalam perjalanan pulang dari Phuket, singgah di Masjid Gersik yang terkenal itu, lalu menanggalkan kasut terus memijak tanah pattani sambil bermonolog sendirian bahawa inilah tanah tumpah darah datuk nenekku - Sekian, jumpa lagi

Tuesday, June 15, 2010

Babatok (2)

Babatok (BT) tidaklah garang sangat, tapi anak-anak memang takut,budak-budak kampung pun takut kat dia,garang dia pun garang bertempat,tidaklah dia jenis suka baran tak tentu pasal.Paling dia pantang jika kita berkelahi adik beradik (itu yang nak kena masuk dalam guni tu) atau jika berkelahi dengan jiran dan jika apa yang kita buat menyalahi syarak serta adat resam memanglah kena marah/tengking, pernah satu hari dia pergi tengking sekumpulan orang kampung tua/muda sedang laga ayam, habis berterabur lari,ayam pun cabut lari sama. Dengan anak-anak dia tak ada nak gurau-gurau, jika dia nak suruh buat sesuatu suruhlah saja, jika dia nak cakap sesuatu cakaplah saja,tapi memang jarang/tak pernah dia saja2 nak bercakap dengan anak-anak,suruh belajar suruh baca buku suruh mengaji Quran pun tak pernah,sebab falsafah BT ialah duri di hutan boleh tajam sendiri tanpa perlu ada sesiapa pun menajamkannya - begitulah BT. Jika Tok Yah Doi lagi pulak bukan saja nak bercakap takut,nak pandang mukanya pun takut,orang tua pun takut. Paling nak jaga ialah jika BT sedang tidur siang hari dalam bulan puasa,janganlah bising tak tentu pasal hingga dia tersedar daripada tidur alamatlah ada yang kena tengking petir - Tapi BT hanya garang dengan anak-anak semasa kami kecil hingga umur darjah 6 saja, bila dah naik tingkatan satu dan seterusnya dia taklah garang lagi.

Masa BT masih ada dulu boleh dikatakan hampir setiap hari ada orang/tetamu datang rumah, tak datang pagi petang datang,malam pun ada yang datang,tak orang jauh orang dekat datang,paling tidak pun jiran sekampung yang datang,maka berbual dan berceritalah tentang pelbagai perkara,baba pun tumpanglah sekaki menjadi pendengar setia. Sebab agaknya BT ialah anak tok guru serta abang ipar Pak Chu Him maka banyaklah kawan dan kenalan dia tak kira tua dan muda, sebut Pak Chik Mat Paya Nedam semua orang kenal. Lagi pun orang dulu2 cukup hormat dengan tok guru hingga anak tok guru pun turut dihormati sama, lebih-lebih lagi hampir semua tok guru pondok lain,imam-imam,lebai-lebai kampung di daerah Pendang, Sik, Baling dll semuanya pernah belajar di Pondok Gajah Mati. Namun kekuatan sebenar BT ialah kerana dia seorang yang peramah,pemurah serta cukup menghormati orang lain. BT boleh bercakap negori dengan fasih hingga orang NS sendiri pun tak sangka BT orang Kedah sebab BT banyak bercampur dengan orang NS yang memondok di Gajah Mati, BT juga boleh bercakap bahasa Banjar dan Mandailing dengan baik melalui percampuran dengan mereka, itulah antara keistimewaan BT yang mungkin jarang terdapat pada orang lain.

Rutin harian BT ialah beri ayam makan padi dua kali sehari pagi dan petang, kadang-kadang dia ke ladang getah menebas semak atau membetulkan pagar yang roboh,kadang-kadang dia pikul senapang laras dua buatan Belgium keliling kampung tembak tupai yang datang makan kelapa atau tembak biawak yang makan anak ayam, jika ada kenduri kawin di Paya Nedam atau di kampung-kampung sekitar maka BTdan kumpulannya akan berzanji dan marhaban,satu lagi hobi BT ialah menggomol anak kucing, jika dia terjumpa dengan anak kucing/kucing dimana-mana memang lunyailah kucing tu terkiak-kiak digomolnya, sambil tu dia ketawalah menengok anak kucing tu jadi tak tentu harah - Seronok jika BT masih ada - OK jumpa lagi.

Wednesday, June 9, 2010

Babatok

Babatok (BT) meninggal dunia pada tahun 1979 pada usia 72 tahun. Pada hari tersebut arwah Awang Pa'K' ada membuat kenduri arwah/aqiqah (rumah arwah berhadapan dengan ladang getah yang Maklang toreh tu), pada sebelah pagi BT datang sembelih kambing, kemudian pulang ke rumah. Petangnya,selepas asar BT baru datang semula untuk makan. Lepas makan biasanya tidak terus balik, dia akan berbual dan bercerita dulu dengan rakan-rakan, dia ada banyak cerita, semua orang suka nak dengar cerita dia. Dah nak hampir maghrib barulah BT balik. Tiba-tiba motosikal yang ditunggang membelok perlahan ke arah kanan jalan dan terus rebah di atas pokok-pokok pagar anak di gigi jalan di hadapan rumah anak Saari yang sempadan dengan ladang getah Pak Chu Him tu, demikianlah menurut cerita Rohani Pak Ngah Kasim yang kebetulan sedang mengikuti BT dari belakang dengan suaminya Nawi. Rohani ialah anak murid Tok Kedah (TK) mengaji Quran. Merekalah yang tolong angkat/pangku BT dan Rohanilah yang berlari kira-kira 200m ke rumah TK memaklumkan kejadian berkenaan. Kecohlah malam tu, ada yang kata BT belum meninggal ada yang kata dah meninggal, tapi sebenarnya mungkin BT dan meninggal di tempat dia terjatuh tersebut. BT pernah bercerita bahawa Syeikh Kadir (seorang ulama) pernah memberitahu Bahawa BT akan meninggal dunia dengan penyakit pening (darah tinggi) sahaja. Memang pun BT tiada apa-apa penyakit lain semasa meninggal. BT mengamalkan berbekam pada setiap tahun.

BT mempunyai 4 orang adik beradik, yang sulung ialah Pak Long Hj. Hussin Pondok Guar Cempedak, beliau merupakan guru pondok, guru istana dan seorang aktivis politik level negeri, adiknya ialah Pak Ngah Hj. Hassan Al-Hafiz Pondok Hampar yang rumah sebelah masjid tepi sungai tu, Pak Ngah Hassan selalu pergi pasar Pendang menaiki bas mara untuk membeli lauk pauk, apabila drebar bas nampak dia mencangkung di tepi jalan terus berhenti tanpa perlu ditahan lagi, balik pun sama. Diikuti oleh BT dan yang bongsu ialah Mak Su Nab (Zainab) isteri Pak Chu Him Pondok Gajah Mati/Pondok Bawah. Ayah BT ialah Tok Yah Doi (Hj.Ismail b. Mustafa) berasal dari Kg.Anak Tanjung Pattani Selatan Thailand dan ibu BT ialah Tok Mek Ji (Hjh.Kalsom bt.Muhammad) juga berasal dari Pattani. Tok Yah Doi ialah pengasas Pondok Gajah Mati.

Dari segi fizikal saiz BT macam Pak Chu Basir atau macam Pak Njang Khalid, agak besar dan tinggi. ada tahi lalat hidup di sebelah hidung bawah mata. Kegemarannya ialah hisap curut cap ikan, kelebihannya ialah dalam bidang berzanji dan marhaban. Ok dulu, jumpa lagi.