Tuesday, December 6, 2011

mandi

Budak-budak sekarang hanya kenal air paip untuk mandi.Kalau balik kampung pun mandi air paip juga sebab kebanyakan kampung kini telah ada bekalan air paip.Bekalan air paip mula masuk ke PN kira-kira 30 tahun lepas.Maknanya,budak-budak PN 30 tahun lalu dan sebelumnya hanya mandi-manda dengan air telaga,begitu juga untuk membasuh dan memasak.

Zaman tu tiap-tiap rumah di PN ada perigi dan kebanyakannya terletak di tepi sawah padi iaitu sempadan antara sawah dengan tanah kampung,ada perigi yang ditaruh yum dan ada yang kekal original begitu tanpa yum. Kesemua perigi ini mempunyai air yang banyak serta jernih,ada airnya melimpah hingga ke atas tebing perigi terutamanya pada musim hujan,ceduk terus dengan tangan sahaja tak perlu lagi gunakan timba yang bertali.Airnya juga cukup jernih kecuali jika hujan turun dengan lebat maka adalah juga air hujan yang mengalir dari bahagian atas masuk ke dalam perigi tersebut itupun jika tebing perigi berkenaan tidak tinggi,maka waktu itu keruhlah sedikit airnya.Mandi di perigi terbuka macam ni memang menyegarkan dengan siraman air perigi yang sedia sejuk sambil ditiup pula oleh angin yang datang dari arah sawah padi memang satu nikmat unik yang menyegarkan serta sukar dilupakan.

Ada juga sesetengah orang tua waktu tu yang memelihara ikan bujuk serta ikan kaloi di dalam perigi mereka,ada yang sampai sebesar pinggan ikan kaloi tersebut dan hingga sebesar betis ikan bujuk berkenaan,jadi sambil menceduk air dapatlah melihat ikan tersebut timbul dan berenang-renang di permukaan air perigi berkenaan,kadang-kadang anak kedak (rupanya seakan ikan haruan) pun menjadi penunggu di perigi-perigi berkenaan selain daripada katak pisang.

Sekali-sekala semasa menceduk air perigi dengan menggunakan timba bertali,maka terlepas tali tersebut daripada pegangan terus ia lesap ke dalam perigi.Kenalah cari buluh atau kayu panjang yang ada penyangkuk besi di hujungnya digunakan untuk meraba dan manarik naik timba tersebut dari dasar perigi,maka jika kurang kemahiran kerja ini boleh jadi melarat sampai berjam-jam,jika susah sangat beli saja timba baru.

Pada musim kemarau panjang,kebanyakan perigi-perigi ini airnya akan kering,kecuali ada beberapa buah perigi yang liat untuk kering ataupun 'last' sekali barulah dia yang kering macam telaga arwah Tok Chik Timah.Maka pada musim kemarau panjang perigi ni akan menjadi tumpuan orang kampung waktu tu untuk minuman dan mandi-manda,seawal jam 4 atau 5 pagi dah ada yang datang takut terlewat tak dapat air atau terpaksa berebut dengan orang lain.

Maka apabila semua perigi telah kering atau hampir kering akibat kemarau panjang,inilah masanya kesempatan diambil oleh tuan-tuan perigi masing-masing untuk melanyau/membersihkan perigi masing-masing daripada sampah sarap dan kotoran yang terpendam di dasarnya selama satu tahun atau lebih.Kerja ini memerlukan sekurang-kurangnya 2 orang iaitu seorang turun ke dasar perigi memasukkan sampah sarap ke dalam baldi dan yang di atas menarik baldi tersebut ke atas membuangkannya berkali-kali hingga dasar perigi benar-benar bersih dan lubang air matanya tidak lagi tersumbat.

Pada era yang lebih kurang sama,mungkin pada peringkat awal sekolah rendah, Pak Njang Kalid ada projek menanam kacang panjang dalam skala yang besar (satu Relung begitu) iaitu bersempadan dengan kampung arwah Pak Teh Mad Lembik.Di situ ada dua buah perigi,satu digunakan untuk mandi-manda serta untuk menyiram pokok-pokok kacang panjang berkenaan,sementara yang satu lagi betul-betul di pangkal serumpun buluh duri bersebelahan pagar Pak Teh ML,dah terbiar begitu saja entah berapa lama dah. Satu hari kami budak-budak pun berpakat dengan beberapa orang kawan membersihkan perigi tu daripada kayu dan sampah sarap, pastikan tiada benda merbahaya di dasarnya ,airnya separas dada lebih kurang,maka turunlah mandi di dalamnya 4-5 orang,dah puas mandi main kejar-kejar dan sembunyi-sembunyi pula di dalam air perigi buta tersebut.Luas perigi tersebut lebih kurang dua buah meja makan.apabila dah mandi 4-5 orang di dalamnya sambil bermain pula kejar-kejar dan selam-menyelam maka airnya pun bertukar daripada jernih menjadi keruh pekat dah macam rupa air teh susu yang Pn.Salmi buat untuk sarapan pagi atau minum petang.Tak kisah pun terus saja bermain dalam air tu sampai berjam-jam,nun di sempadan Pak Teh ML sana,tak siapa yang dengar tak siapa yang tahu.Masing-masing berlari dan menyelam takut dapat ditangkap oleh kawan yang terus-menerus mengejar sambil diiringi gelak-ketawa dan jerit-pekik masing-masing,sesekali bila muncul/timbul dipermukaan perigi rupa dah macam mat salleh sebab kepala,bulu kening dan bulu/lubang hidung semua dah bertukar menjadi warna kuning/perang kerana diselaputi oleh keladak/lumpur daripada 'air teh susu' telaga berkenaan- Memang sukar nak dilupakan- Ok jumpa lagi,insyaAllah.

No comments: