Wednesday, December 30, 2009

Makan

Hidup untuk makan atau makan untuk hidup, yang mana satu betul, yang mana satu lebih betul, ataukah kedua-duanya betul. Ada banyak pilihan jawapan, salah satunya ialah bagi rakyat di negara-negara kategori miskin yang terkelompok di dalam 'negara dunia ketiga' mereka makan untuk hidup, di negara-negara kaya pula iaitu 'negara dunia pertama' seperti Jepun, Taiwan, USA, Britain dll, falsafah hidup sebahagian besar daripada penduduknya ialah mungkin hidup untuk makan, bakinya yang sebahagian kecil itu takut nak makan banyak/macam-macam atas alasan mahu menjaga kesihatan agar umur panjang agar lambat/susah mau mati. Lagi satu, penduduk di negara miskin apabila terasa lapar barulah mereka makan, tapi di negara kaya, belum pun terasa lapar masih lagi kenyang dah melantak lagi pada hal baru saja sekejap lepas makan.

Apa yang dimakan boleh menentukan jenis perangai/sikap/tingkahlaku/hatibudi seseorang, malah cara serta adab semasa makan pun dipengaruhi oleh apa yang dimakan dalam jangkamasa panjang sebelumnya. Ada yang begitu tertib semasa makan, ada pula yang kelihatan agak gelojoh.

Berhubung dengan makan, sebenarnya kita boleh menabung banyak wang jika kita dapat melihat semula apa yang kita belanja untuk membeli/menyediakan makanan selama ini. Misalnya, cuba kita lebih pentingkan kualiti menu berbanding kuantitinya, yang penting makanannya seimbang, untuk makan tengahari dan malam ada nasi bersama ikan atau daging/ayam, ada sayur atau kekacang/bijirin, jika mahu boleh tambah sambal belacan dan ikan masin, cuma semasa sarapan pagi sahaja minum minuman manis kemudian sepanjang hari minum air kosong/mineral cukup, seterusnya bolehlah agaknya sebulan sekali pergi makan KFC, piza, tom yam ke atau apa-apa.

Dalam kehidupan berkeluarga, tersangat penting pada setiap masa sentiasa mempunyai sejumlah wang simpanan/tabungan, ia perlu dimulakan sejak awal (sejak masih bujang?) sebagai persediaan untuk perbelanjaan keluarga dalam pelajaran, kesihatan, kenderaan, kecemasan, mala petaka,membantu saudara mara dan sebagainya.

Banyak wang yang boleh kita jimat jika dikaji semula amalan perbelanjaan yang selama ini mungkin kerapkali melebihi daripada yang sepatutnya dalam hal makanan, pakaian, kenderaan, perabot, hiburan, barang kemas dsbnya - Cuma dalam keghairahan mahu berjimat, kenalah dijaga jangan sampai jadi kedekut taik idung masin pulak mengalahkan pak hj. bakhil, tak boleh nak ditumpang langsung - duit berbakul-bakul, tapi tiap hari makan nasi dengan ikan masin cekik leher saja sayur pun tak menemu, macam ni lama-lama anak menantu pun lari, lepas tu isteri pulak lari, akhirnya tinggallah duduk terseringai sorang-sorang - jangan sampai jadi macam tu - Sekian, wassalam.


Sunday, December 27, 2009

Orang Tua

Orang tua ialah seseorang yang telah mencapai/melebihi umur bersara (58 tahun), sekarang golongan ini disebut juga sebagai warga emas. Seseorang itu dapat menjadi warga tua setelah dia berjaya melalui zaman bayi, kanak-kanak, remaja, muda dan seterusnya zaman dewasa, dikira berjaya sebab umurnya panjang dapat melalui semua fasa umur tersebut di atas, namun dianggap tidak berjaya jika dapat mencapai umur tua tapi fiil dan sikap tak macam orang tua, iaitu lebih banyak mirip macam orang tak berapa betul saja, menggunakan kayu ukur AlQuran dan Sunnah Nabi.

Setiap kitaran fasa umur di atas masing-masing memiliki cabaran dan nilai keseronokan yang tersendiri, itulah sunnah yang Allah SWT telah letakkan di situ, jangan teragak-agak dari segi psikologi untuk berpindah dari satu fasa ke fasa berikutnya, mesti berfikir dan bersedia secara positif, kerana dari segi biologi proses itu tetap akan berjalan terus, siapa yang tidak bersedia akan ketinggalan dan berdepan masalah. Cuba kita sama-sama senaraikan apakah keseronokan-keseronokan yang terdapat pada setiap fasa umur tersebut, nanti tentu senarai fasa yang lebih tinggi akan lebih panjang daripada fasa sebelumnya, jika andaian itu betul maka sudah tentu fasa orang tua akan mempunyai senarai keseronokan terpanjang, sepatutnya.

Pada adatnya, umur tua/tua bangka ialah peringkat umur menunggu saat kematian, ibarat hari dahpun senja dah nak malam, rumah kata pergi kubur kata mari. Apa seronoknya hari tua jika saat kematian akan muncul pada bila-bila masa sahaja, apa seronoknya saat hidup yang macam ni? Itulah rahsia yang Allah sembunyikan daripada kita, macam Tuhan rahsiakan keseronokan kanak-kanak daripada bayi dan seterusnya, dah rasa barulah tahu. Banyak perkara yang kita tak/belum faham, dah rasa barulah faham, ada jugak orang dah dapat rasa pun masih jugak tak faham-faham, dan memang ada sebilangan yang tak berpeluang langsung untuk merasa - sebab semua ilmu yang ada pada semua manusia tak sampai pun setitis daripada air yang begitu banyak di semua laut dan lautan.

Supaya kita menjadi orang tua, warga emas atau orang tua-tua yang lebih banyak seronok daripada sedih, maka eloklah jika kita menjadi orang tua lebih awal daripada sepatutnya. Berdoalah supaya panjang umur serta banyak ibadah - Sekian, jumpa lagi insyaAllah.

Monday, December 7, 2009

Orang Muda

Muda ialah satu peringkat umur di antara remaja dengan dewasa. Pada peringkat ini seseorang itu dinamakan 'orang muda'. Lebih mudah difahami jika dikatakan yang masih belajar di sekolah rendah itu ialah kanak-kanak, yang di sekolah menengah pula ialah remaja dan yang di kolej/universiti itu ialah golongan pemuda, kecuali mereka yang sambung belajar ketika umur dah tua.

Seperti remaja, orang muda juga masih mempunyai personaliti atau karektor tertentu yang belum mantap (tidak dinafikan mungkin ada satu dua kes terpencil yang terkecuali), dalam sesuatu perkara mereka selalu sukar membuat keputusan, emosi mudah bercelaru, pendirian sentiasa berubah-ubah, halatuju hidup masih dalam eksperimen, kematangan belum tergambar, mudah terpesona dengan keindahan-keindahan duniawi sementara dan sebagainya.

Ketidakmapanan sahsiah seperti tersebut di atas terbukti melalui beberapa salahlaku yang sering dibuat oleh golongan ini seperti merokok, penyalahgunaan dadah, merempit, lakumusnah harta awam, pergaulan bebas, black metal, minum arak, pergaulan bebas, menjauhi/anti agama dan lain-lain lagi - Memang orang tua pun ada yang bermasalah, iaitu mungkin masalah yang dibawa berterusan dari zaman muda, namun setelah memasuki alam tua/tua bangka, mereka mulai kehilangan tenaga serta sedikit demi sedikit mulai dimamah oleh berbagai penyakit kronik klasik dan moden yang suka tak suka menyebab golongan tua ini kini lebih cenderung menjadi orang baik.

Berapa ramai orang muda yang istiqamah melaksanakan suruhan agama sejak zaman remaja atau sejak kanak-kanak, terus begitu hingga zaman muda dan berlanjutan hingga dewasa/tua. Berapa orang? Berapa orang yang berjaya menjaga usia mudanya sebelum datang hari tuanya.
Berbahagialah orang muda yang dapat memelihara solat dan puasanya. Allah sangat sayang kepada orang muda yang hatinya sentiasa ingat masjid (mencintai agama) - Janganlah menjadi orang muda yang mudah sangat mengingkari apa yang Allah suruh serta selalu sangat mengamalkan apa yang Allah larang.

Sudah tentulah dari umur kanak-kanak hingga ke peringkat pemuda mesti dihabiskan untuk belajar, untuk lulus dengan cemerlang di dalam beberapa peperiksaan, untuk mendapat tempat di universiti dalam/luar negeri hingga mendapat satu, dua atau tiga gulung ijazah hinggalah menceburi bidang kerjaya. Namun, satu lagi aspek kehidupan yang tak semua orang muda sedari ialah tentang keperluan untuk mempelajari dan menguasai ilmu mempertahankan diri (sama ada yang fizikal mahupun batin, salah satu atau kedua-duanya) - Persiapan ini cukup penting kerana ada beberapa perkara dalam hidup kita ini seperti nyawa, harta, maruah diri dan maruah keluarga, agama dan bangsa yang satu ketika nanti secara tiba-tiba tanpa diduga (rujuk sejarah lalu) wajib dipertahankan daripada penjenayah dan orang-orang sekeliling yang tak pernah senang melihat kita senang - Ok jumpa lagi, wassalam.

Sunday, November 29, 2009

Maa'had Mahmud

Setelah tamat darjah 6 pada hujung tahun 1970, isi borang untuk masuk tingkatan satu SMK Pendang. Tiba-tiba pada satu hari dimaklumkan oleh Tok Kedah akan menyambung pelajaran menengah di Maktab Mahmud Alor Setar pulak (lebih dikenali sebagai Ma'had di kalangan rakyat negeri Kedah). Kawan-kawan lain ada yang masuk SMK Pendang mungkin ada yang masuk sekolah arab Pendang dan ada yang tidak masuk kemana-mana pun, duduk rumah tolong ibu bapa, macam tulah nasib budak-budak kampung masa tu.


Dulu-dulu Maktab Mahmud tidak menjadi sekolah pilihan ibu bapa macam sekarang, masa dulu tidak keterlaluan jika dikatakan anak-anak yang cemerlang akademik di sekolah rendah tidak mahu masuk Maktab Mahmud, malah ibu bapa mereka pun tak mahu anak mereka belajar di situ. Mentaliti masyarakat waktu tu jika tamat belajar di Maktab Mahmud hanya layak jadi ustaz dan tok kadi sahaja. Hari ni, jika tak dapat UPSR 5A jangan disebut nak masuk Maktab Mahmud,itupun belum tentu lagi dapat.


Senario tersembunyi yang masyarakat era tersebut tak tahu atau tak berapa faham ialah pelajar-pelajar Maktab Mahmud yang lulus cemerlang dalam SRP/PMR akan ditawarkan menyambung pelajaran ke tingkatan 4 aliran sastera/agama dan aliran sains di Kolej Islam Kelang(KIK)(Kolej Islam Sultan Alam Shah Kelang). Melalui saluran inilah ada pelajar-pelajar Ma'had yang berjaya menjawat kerjaya bidang profesional seperti peguam, ahli farmasi (macam Fadhil Shafie), doktor (macam YB Dr.Hayati Parlimen Pendang) dll. Hari ini, anak-anak Maktab Mahmud tak perlu lagi ke KIK kerana aliran sains tulen-agama telah disediakan di sana.


Dulu-dulu yang berpusu-pusu menghantar anak-anak mereka ke Maktab Mahmud imajoritinya

ialah ibu bapa dari luar bandar iaitu sebelah Jitra, Kuala Nerang, Pendang, Sik, Baling, Yan dll. Ibu bapa bandar/pinggir bandar sangat kurang - cuba sama-sama fikir kenapa begitu?


Masa tu Maktab Mahmud hebat dalam bola sepak, selalu berentap dengan Kolej Sultan Abd. Hamid. Sekolah lain yang ternama di Kedah ialah Sekolah Sultan Abd. Halim Jenan (asrama penuh). Kehebatan Maktab Mahmud dalam kelasnya yang tersendiri, misalnya penggunaan "maktab" pada namanya serta beberapa lagi ciri tersendiri yang lain.


Sebenarnya, walau dibandingkan dengan sekolah mana pun, maka Maktab Mahmudlah yang paling hebat sekali, kerana pada setiap hari/minggu murid-muridnya kena belajar sebanyak 18 atau 19 mata pelajaran iaitu 8 subjek akademik dan 9-10 subjek arab-agama. Setelah tamat tingkatan 6 sekolah menengah pelajarnya hanya mendapat 3 sijil peperiksaan sahaja tapi di Maktab Mahmud boleh dapat 5 sijil. Memang hebat!
Akademik pun dapat,agama pun dapat.Tentulah hebat!!. Ok,jumpa lagi.

Monday, November 23, 2009

Orang Cerdik

Orang cerdik tidak semestinya datang daripada keluarga yang ahli-ahlinya semua cerdik, begitu juga orang bodoh tidak semestinya berasal daripada keluarga yang terdiri daripada orang-orang bodoh belaka. Bukan semua orang cerdik dilahirkan terus jadi cerdik, demikian juga dengan orang bodoh bukannya dia bodoh sejak lahir atau sejak sebelum lahir. Justeru, sesiapapun tanpa mengira latar belakang boleh menjadi orang cerdik jika dia diasuh untuk menjadi cerdik atau setelah besar dia sendiri mahu berusaha sendiri untuk menjadi orang cerdik.

Cerdik atau tidak bukan ada kaitan dengan keturunan atau genetik. Macam rambut kerinting, hidung mancung, kulit hitam bolehlah dikaitkan dengan genetik ibubapa, itupun jika sianak tersebut mewarisi gen dominan dari kedua ibubapa, sebaliknya jika dia mewarisi gen resesif maka rambutnya akan lurus hidungnya kemek dan kulitnya putih berbeza fizikal dengan adik beradiknya yang lain. Cerdik ialah sifat mendatang yang diperolehi oleh seseorang itu setelah dilahirkan sama seperti sifat rajin, amanah, periang, ikhlas dll yang boleh dibina dari masa ke semasa.

Dalam Islam orang yang ditakrifkan sebagai cerdik ialah mereka yang memahami asas-asas agama memahami yang rukun-rukun yang fardhu-fardhu yang sentiasa berminat dan sentiasa mendalami ilmu-ilmu agama di samping tidak mengabaikan tuntutan hidup di dunia.
Orang cerdik yang sebenarnya ialah orang-orang yang kenal Allah dan Rasulnya - bodoh macam manapun, miskin atau hina macam manapun jika kenal Allah maka cerdiklah orang tu - sebaliknya bijak macam manapun, kaya dan pangkat tinggi macam manapun tetap dikira bodoh jika tak kenal Allah. Sebab itulah tauhid ialah setinggi-tinggi dan semulia-mulia ilmu kerana ia membahaskan tentang zat dan sifat yang maha mulia, inilah ilmu mengenal Allah.

Kita mesti jadikan diri kita cerdik di dunia dan cerdik di akhirat, nak cerdik di akhirat salah satu syarat utamanya ialah kena kenal Allah dengan kenal yang jazam iaitu tanpa ada syak,zhan dan waham. Dengan kelas tauhid di surau-surau dan di masjid-masjid yang semakin sukar ditemui pada masakini maka makin berlipatgandalah bilangan puak-puak yang cerdik di dunia bodoh di akhirat atau bodoh di dunia dan akhirat, walhal seperti yang telah dinyatakan di awal tadi orang bodoh pun boleh kenal Allah, lalu jadilah ia cerdik - Ok jumpa lagi.

Wednesday, November 4, 2009

Rumah

Menurut Abraham Maslow (1943) terdapat 5 keperluan asas manusia iaitu makanan/minuman, keselamatan/perlindungan, kasih sayang, penghargaan dan kepuasan diri. Memiliki sebuah rumah sendiri merupakan keperluan asas dari segi keselamatan/perlindungan. Rumah sangat penting dalam kehidupan seseorang, jika tidak mempunyai rumah sendiri maka seseorang itu akan mencari rumah sewa untuk diduduki terutamanya jika sudah beristeri dan mempunyai anak-anak, jika tak mampu menyewa rumah orang akan mencari jambatan atau kotak untuk dijadikan rumah, atau tikar plastik untuk dijadikan atap/bumbung rumah untuk berlindung daripada hujan dan panas, lantai dan dinding kurang penting tak ada pun tak apa.

Rumah yang selesa ialah sebuah rumah yang mempunyai garis sempadan yang jelas dan sah yang menentukan autoriti dan autonomi antara kita dengan jiran-jiran. Justeru itu sebuah rumah sendiri di atas sebidang tanah sendiri sangatlah penting dan perlu diusahakan, kerana sebuah rumah dengan terpaksa berkongsi lantai, bumbung, dinding, pagar dsbnya dengan jiran-jiran kiri dan kanan atas dan bawah sudah tentu akan membatas rasa kepunyaan dan kebebasan serta mudah mencetuskan pertelingkahan.

Rumah penting kerana di rumahlah tempat kita berehat selepas kepenatan balik dari tempat kerja, rumah tempat kita melahirkan dan mendidik anak-anak, tempat anak-anak membesar dan belajar berbagai perkara, ia juga tempat kita melayan tetamu, kaum kerabat serta sahabat handai, pelbagai aktiviti dan majlis-majlis diadakan di rumah, sifat seorang isteri pula memang dia memerlukan sebuah rumahnya sendiri untuk dia bebas 'berkarya' dan berkreativiti sama ada di dapur, bilik tidur, ruang tamu, tandas, halaman dsbnya, sisuami mesti memahami hakikat ini.

Lokasi rumah yang bebas daripada banjir dan banjir kilat, bebas daripada bau busuk, kebisingan, asap kilang, habuk, haiwan liar, penjenayah , jiran yang jahat dll memang diimpikan oleh semua orang. Ciri-ciri rumah idaman seterusnya ialah mempunyai persefahaman di kalangan penghuni, bilik dan tandas mencukupi, ada bahan bacaan dan tv, pendapatan keluarga yang memadai, pokok buah-buahan, haiwan peliharaan, kenderaan, tidak terlalu jauh dari bandar, hospital, sekolah (jika ada lagi yang lain tambahlah sendiri).

Kita belajar rajin-rajin kuat-kuat untuk masuk universiti untuk dapat kerja untuk dapat gaji lumayan sebagai jaminan untuk mencapai semua keperluan asas seperti yang disebut oleh Maslow di atas - Kita belajar rajin-rajin dan kuat-kuat demi satu hari nanti mudah-mudahan menjadi seorang individu atau sebuah keluarga atau satu keturunan yang tidak pincang - Kerana kepincangan di dalam keluarga akhirnya akan menyukarkan peluang dan laluan bagi mencapai kebahagian di akhirat. Sekian, jumpa lagi insya-Allah.

Friday, October 16, 2009

Mari Memasak

Menurut sebuah artikel di dalam majalah Mickey, beberapa ribu tahun dahulu seketul daging/ubi telah terjatuh ke dalam api/bara api secara tidak sengaja,kemudian diambil semula dan dimakan, didapati rasanya jauh lebih sedap, sejak peristiwa itulah maka manusia mendapat idea/ilmu untuk memasak dahulu makanan berkenaan sebelum dimakan. Kemahiran memasak sangat penting, sama pentingnya kalau pun tidak lebih dengan kemahiran memandu, bercucuktanam,bertukang kayu, membasuh dsb. Kadang-kadang kita terlepas pandang atau mengambil mudah dalam menguasai bidang kemahiran memasak ini.

Seorang ibu yang pandai memasak pelbagai masakan akan dapat menawan kasih sayang anak-anak, isteri yang mahir memasak akan dapat menakluki hati sisuami, suami yang pandai memasak dapat menyelamatkan keadaan, anak-anak yang minat memasak ibu jadi senang dan kawan-kawan pun suka. Malah hari ini dunia masakan telah menjadi salah satu kerjaya yang lumayan. Lihat saja Chef Wan personaliti yang bertanggungjawab memberi wajah, senario dan perspektif baru terhadap bidang masakan di Malaysia. Kini terdapat banyak IPTA dan IPTS yang menawarkan pengajian dalam bidang ini pada peringkat diploma mahupun ijazah di negara kita.

Memasak boleh dijadikan satu hobi masa lapang selain melancong, membaca, menonton, berkebun, futsal, memelihara ayam,angsa,ikan betuk,kucing dll. Ada banyak resepi (Pelbagai nasi, lauk-pauk,kuih-muih,minuman) yang menanti untuk dicuba (beberapa resepi telahpun dicuba dan berjaya). Kita ada 156 buah majalah Saji yang dilanggan sejak keluaran pertama pada tahun 1996, jika setiap majalah katakan ada 30 resepi, maka kita ada hampir 5,000 resepi untuk
dicubamasak. Ertinya setiap kali cuti panjang tak ada kerja lain lah - Itu belum termasuk resepi keluarga turun temurun yang perlu dikuasai seperti nasi daging, murtabak, limpa goreng berempah, kerabu perut, solok ikan kembung/temenung, bantut ikan terbuk, serundimg udang/daging, pulut sekaya/seri muka, tepung talam, dangai, qasidah, tepung bungkus, pulut dakap dll.

Dalam keadaan harga barang-barang yang sentiasa naik setiap hari, diikuti dengan lonjakan harga katering, maka untuk majlis-majlis jamuan yang melibatkan 30 hingga 40 orang tetamu/jemputan seperti majlis tahlil, doa selamat, 'open house' dan harijadi umpamanya, jauh lebih menjimatkan jika menunya dimasak sendiri - Yang penting jangan jadi macam sebahagian besar peniaga pasar ramadhan sudah lah, masakan tak tentu arah rasa.

Disarankan, walau apa pun kerjaya kita, sama ada guru, doktor, doktor gigi, engineer, pilot, polis apa saja, jadikanlah bidang masakan ini sebagai pelengkap, sebagai nilai tambah/value added kepada diri kita. Selamat mencuba resepi-resepi baru sambil mempertajamkan lagi resepi lama. "memasak mengeratkan keluarga hidup ceria". Sekian.

Wednesday, October 7, 2009

Ramadhan ( 4 )

Dulu-dulu pun ada jugak main mercun, iaitu mercun tarik, mercun beras dan mercun biasa yang bersaiz punting rokok tu. Mungkin waktu tu ada lagi mercun-mercun jenis lain, tapi yang budak-budak paya nedam main kala tu hanya yang 3 di atas tulah saja, bunga api pula ialah yang jenis kawat dawai, bila bunga api dah habis percik yang tinggal di tangan hanya kawat dawai. Zaman tu ibu bapa tak banyak duit, semua mereka kerja kampung saja, semua mereka tak kompromi langsung dengan pembaziran untuk membeli mercun dan bunga api yang di jual di kedai Tok Pek Yam (the only kedai runcit di p.nedam, dan pindah ke Pendang lepas kejadian 13 Mei 69) - Tapi segarang-garang babatok pun, jika tak salah ingatan ada jugak dia belikan mercun dan bunga api untuk anak-anak dia main, dia tau setahun sekali anak-anaknya nak berseronok menjelang hariraya. Babatok ni paling garang dalam bulan puasa la, jika dia tengah tidur waktu petang atau tengahari, tiba-tiba kita berjalan terkuat sikit atas rumah lantai papan, alamat kena tengking petir, jika nasib tak baik penampar/penabuh jepun pun sama sampai, so jika nak selamat kenalah berjalan perlahan-lahan tonjitkan tapak kaki tumit jangan jejak lantai sebab rumah kayu dah tua lantai papan memang mudah mengeluarkan bunyi berkeriut-keriut. Ada juga budak kampung yang pandai buat meriam buluh, ada yang buat meriam tanah iaitu buat lubang dalam tanah, bunyinya lebih kuat dan lebih padu daripada meriam buluh hingga menghasilkan gegaran.


Bila umur dah tua dah melebihi 40 atau 50 tahun tak salah jika nak main mercun, tapi puasa orang golongan umur ini lebih kepada nak tambah amal ibadah seperti puasa nak penuh serta berkualiti, solat terawih nak 20 rakaat tiap-tiap malam, 10 malam terakhir nak qiamullail (jika mampu tiap-tiap malam sejak 1 puasa). nak khatam quran minimum sekali, nak solat berjemaah setiap waktu sepanjang ramadhan, banyak berzikir berselawat berishtigfar, cuba dapatkan lailatulqadar dan sebagainya - semua ini sesuai dengan pandangan ulamak yang mengatakan ramadhan umpama kem latihan untuk membaiki diri selaku hamba yang lemah. Sebenarnya puasa, solat terawih, khatam quran seperti dinyatakan di atas dan puasa 6 merupakan 'satu standard' yang patut tertanam/terbiasa dalam diri sebaik saja kita mencapai umur lepas SPM, jangan dinanti umur dah meningkat baru kebiasaan ini nak disemai, sukar jadinya- sebagai orang muda macam-macam nak dibuat, nak tonton astro, nak karaoke, nak menyanyi, nak melancong, nak main futsal dan sebagainya, tapi 'standard' tersebut di atas mesti digapai dalam masa yang sama, itulah antara bukti disiplin diri. Sekian.

Wednesday, August 26, 2009

Ramadhan ( 3 )

Ada 12 bulan dalam setahun. Namun, Ramadhan ialah bulan yang paling mulia serta sangat unik. Antara keunikannya ialah semua orang Islam tidak dibenarkan makan atau minum pada siang hari sepanjang bulan berkenaan. Mereka yang dibolehkan makan dengan syarat tertentu hanyalah golongan bayi, kanak-kanak, orang sakit, orang sangat tua, perempuan mengandung/menyusu anak dan orang musafir, yang lain malam baru boleh makan. Keunikan lain ialah dalam bulan ini ada malam lailatulqadar, solat sunat terawih, berbuka puasa, makan sahur, makan moreh, ramai orang pergi masjid/surau kerana nak sembahyang walaupun bulan-bulan lain tak berapa rajin nak sembahyang (baguslah jika ini jadi titik perubahan), perasaan seronok ketika berbuka dan seronok menanti ketibaan hari lebaran - seronok yang tak boleh nak digambarkan dengan perkataan.

Lagi 7 hari nak raya, dah mula pasang pelita raya pada malam hari - dulu-dulu pelita raya berfungsi untuk menerangkan rumah dan halaman rumah serta untuk mencantikkan dan menceriakan suasana malam kerana belum ada elektrik - hari ini pelita raya hanya untuk hiasan semata-mata. Nak beli pelita raya tak ada duit, so pergi cari buluh potong ikut ruas-ruas, tebuk lubang,masukkan sumbu daripada kain buruk, isi minyak tanah dan cucuh/nyalakan. kalau pelita tak ada, minyak tanah pun tak menemu, maka halaman rumah masih boleh diterangkan pada malam raya dengan menggunakan pelita tempurung kelapa - caranya mudah saja, cari tempurung kelapa banyak-banyak, tebuk lubang di tengah-tengah, ada sisi tempurung yang dah sedia berlubang, susunkannya ikut posisi terlentang pada sebatang anak kayu hidup/besi kemudian cacakkan ke tanah besi yang telah dipenuhi susunan tempurung tersebut, sebaik-baik tingginya sama paras bahu atau lebih, bila hari dah malam, cari tiub basikal lama, lantun pun boleh, nyalakannya dan letakkan pada tempurung yang paling atas, nanti semua tempurung tersebut akan terbakar/menyala satu demi satu sikit demi sikit dari atas ke bawah, untung-untung boleh tahan sampai subuh.

Keunikan lain dalam bulan ini ialah semua budak tak takut nak keluar rumah waktu malam kerana cukup yakin semua hantu syaitan telah diikat dan dirantai oleh Tuhan, itulah yang diberitahu dan diindoktrinkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Bulan-bulan lain bukan main takut jika nak terbuang air besar waktu malam sebab tandas nun jauh tepi sawah bawah pokok rembia, sangat takut kalau kena suruh pergi kedai beli cerut atau lain-lain barang kerana kedai terhampir ialah 3 kilometer serta terpaksa menempuh beberapa tempat yang dianggap 'keras' .
Atau, tiba-tiba emak suruh pergi angkat air di perigi, memang takut. Tapi, dalam bulan puasa tak takut hantu langsung, semua hantu dah kena ikat apa nak ditakutkan, kalau tu jam hantu dapat dilihat, boleh pergi sengkeh kepala dia, apa dia boleh buat sebab tangan dan kaki dah kena rantai.

Dulu-dulu, tilawah al-quran diadakan dalam bulan puasa, kalau tak silap kedua-dua peringkat kebangsaan dan antarabangsa berturut-turut dijalankan dalam bulan Ramadhan. Apabila sampai masa tilawah, maka tiap-tiap malam kecik besar tua muda pergi ke rumah Pak Lang Kadir menonton siaran langsung di televisyen selepas solat terawih. Zaman tu belum lagi ada karaoke, belum ada konsert sana konsert sini, astro dan internet pun belum ada, tv pun masih hitam putih, kebetulan bulan puasa pula ialah bulan untuk beribadah, maka pada waktu malam, semua keluarga muslim di kampung dan di bandar di Kedah dan di Melaka malah di seluruh pelosok negara semuanya tahu dan menonton tilawah alquran pada waktu itu, kalau yang tiada tv boleh ikuti siaran langsung di radio. Begitulah besarnya impak dan pengaruh tilawah ke atas orang Melayu pada zaman itu. Setelah negara dah maju, orang bijak pandai pun dah ramai, maka tilawah dipindahkan ke bulan lain, lalu pengurusan tilawah jadi lebih senang namun impaknya bagaimana? - Yang pasti menonton dan mendengar hanya yang berada di dalam dewan tempat tilawah tersebut berlangsung sahaja, yang lain yang di rumah lebih baik saja tonton HBO, movie, Nasional Geographic, sukan astro dan banyak lagi hiburan lain yang jauh lebih menarik - begitulah nasib tilawah zaman IT - begitulah jadinya jika kita melaksanakan sesuatu perkara tanpa mengambil kira faktor kesesuaian masa, suasana dan psikologi kumpulan sasaran/masyarakat Melayu - tidak bolehkah tilawah dikembalikan semula ke pangkuan Ramadhan? Sekian dulu.

Wednesday, August 19, 2009

Ramadhan ( 2 )

menyambut serta menjalani ramadhan pada zaman kanak-kanak dan remaja sangat nostalgik. Seronok ketika berbuka puasa dan akan lebih seronok lagi apabila menjelang hari raya. Tapi nak tunggu saat dapat berbuka sejak pagi sampai tengahari hingga ke petang rasa bukan main lama. Rasa, masa berjalan begitu perlahan dalam bulan ramadhan zaman itu. Jenuh menunggu. Kebanyakan budak-budak kampung waktu itu semuanya berpuasa walaupun tak dapat upah (Tak macam Rauf dan Alawi, tahun ni naik kepada rm3.00) kalau ada pun jika boleh dianggap sebagai upah ialah janji oleh ibu atau ayah masing-masing untuk membeli baju dan seluar raya di Pekan Sabtu Pendang, itu pun kadang-kadang ada kawan yang hanya dapat uniform sekolah baru buat pakai hari raya seterusnya pakai pergi sekolah-kira 2 in 1 lah tu. Itu pun bersyukur, tak pandai nak protes-protes macam bebudak sekarang. Hal ini demikian kerana sikap masyarakat kita masa tu jika tak solat ok lagi, tapi jika seseorang itu tidak berpuasa memanglah akan dilihat sebagai sangat leceh serta haprak.

Alat hiburan yang ada masa tu hanyalah radio, tv memang tiada sebab elektrik pun belum ada, kalau ada pun tv time tu hanya orang kaya saja yang mampu beli. Setiap hari bila dah hampir dengan waktu berbuka, maka masing-masing pasang telinga dengar azan di radio, bagi yang tiada radio boleh tunggu dengar dentuman meriam yang ditembak di Alor Setar pada setiap hari sebagai isyarat waktu berbuka, sebab kampung agak jauh dari AS kadang-kadang bunyi meriam tu tak kedengaran, maka kenalah pula berpandukan bulu roma di lengan atau bunyi gendang maghrib yang dipalu di surau, biasanya gendang dari surau Pondok Gajah Mati/Pondok Bawah.

Malam. Pergi solat isyak dan terawih di surau. Lelaki, perempuan dan kanak-kanak ramai yang ke surau. Jika malam tu moreh laksa maka kehadiran akan meningkat, surau hampir penuh (maklumlah, zaman tu tak ada KFC tiada pizza tiada kebab so kalau laksa tu kira speciallah). Terawih 20 rakaat, tambah witir 3. Jam tu puak 8 rakaat belum muncul lagi. Setiap kali selesai 2 rakaat maka semua jemaah akan berselawat beramai-ramai kuat-kuat sekuat-kuat hati terutamanya kanak-kanak, boleh didengari hingga ke kampung-kampung sebelah - kalau menu moreh malam tu sedap, maka makin kuatlah berselawat gegak gempita bergegar balaisah. Habis terawih makan moreh. Sebelum balik rumah, ada satu soalan yang perlu ditanya, 'malam esok moreh apa?' - sekian dulu.

Sunday, August 16, 2009

Ramadhan

Masa kecil, time sekolah rendah dan time sebelum sekolah rendah, merupakan zaman yang cukup bahagia dan seronok. Iaitu sebelum 1970. Time tu bila fikir nak kena puasa bulan Ramadhan agak susah hati sikit, tapi bila puasa dikaitkan dengan hari raya maka baru datang semangat. Menyambut Ramadhan zaman tersebut tanpa elektrik, air paip, telefon dan tanpa jalan tar. Kalau tak silap tahun 1979 baru api masuk Paya Nedam.

Bulan puasa barulah dapat makan makanan/kuih yang sedap-sedap, seperti kuih pulut sekaya/seri muka, cucur badak, tepung talam, tepung bungkus, buah melaka, popia, kanji/bubur lambuk dan sebagainya, kalau kuih tersebut daripada tepung beras maka kenalah rendam beras dulu dan kena tolong kisarkan esoknya dengan menggunakan lesung/pengisar batu pusing pakai tangan.

Kalau nak minum air batu kena tunggu orang jual air batu datang, seketul 20 sen, air batu tu siap dipotong-potong bersaiz 1 biji bata atau 2 bata dan ditimbus dalam serbuk papan, yang menjual biasanya anak muda pakai basikal nak cari duit raya, perniagaan ni hanya muncul dalam bulan ramadhan saja, air batu tu beli di Pendang. Kadang-kadang belum sampai rumah kita air batu tu dah habis dijual, tunggu penjual kedua pula datang, pun sama, maka tak merasalah nak berbuka air batu petang tersebut.

Malam. Sebelum pergi terawih di balaisah/surau. Pergi merayau dulu rumah Pak Ngah Kasim, rumah Pak Teh Sahak, Rumah Njang Lembut cari kuih lebih berbuka. Memang seronok. Pergi sampai ke dapur, itulah istimewanya jadi anak Pak Chik Mat Cucu TokYah Doi. Lepas solat terawih makan moreh, menu tukar-tukar ikut giliran, ada bihun goreng, laksa, bubur kacang, bubur lambuk/kanji dan lain-lain. Moreh dimasak secara gotong-royong di balaisah bermula jam 4.00 atau 5.00 petang. Lepas makan moreh pukul gendang pula riuh rendah budak-budak dan orang tua bergilir-gilir pukul macam-macam rentak sampai dua tiga orang serentak pukul, memang seronok.

Wednesday, July 29, 2009

Solat


Sebagai seorang muslim, solat 5 waktu sehari semalam ialah satu kewajipan, ini semua orang tahu. Ok, lebih senang bercakap mengenai perkara yang orang dah tahu berbanding dengan perkara yang orang lain belum tahu. Kadang-kadang perkara yang kita dah tahu jauh lebih penting daripada perkara yang kita belum tahu - apa contohnya? cuba fikir. Tapi ada orang yang cukup berbangga kalau dapat bercakap sesuatu perkara yang orang lain belum tahu, dan citarasa inilah yang membantu penularan yang pantas khabar angin, gossip dan fitnah khususnya dalam komuniti kita .


Kita kena juga solat walau dalam situasi apa sekalipun. Tiada kompromi. Selagi ada akal. Hatta dalam peperangan sekalipun. Lari panjat pokok, kat pangkal ada harimau, pun kena solat. Kena ikat dengan perompak kat atas kerusi/katil/tiang, pun kena solat. Dalam kapal terbang, kereta api, kereta kebal, pun kena solat. Situasi yang dimaafkan cuma jika terlupa, tertidur atau hilang akal/ingatan umpama pitam/pengsan/koma sahaja, itu pun bila dah tersedar/terjaga kena wajib qadak balik. Kita tetap kena solat kerana:-


1. Allah SWT memerintahkan kita supaya mendirikan solat

2. Solat merupakan salah satu daripada Rukun Islam

3. Solat merupakan bukti keimanan

4. Nabi SAW menerima solat terus daripada Allah SWT semasa israk-mikraj

5. Solat ialah amalan yang mula-mula dihisab

6. Ia merupakan syarat bagi diterima amalan-amalan lain

7. Ia membezakan antara muslim dengan kafir

8. Saat-saat terakhir ulamak-alamak banyak berwasiat kepada kita agar jangan abaikan solat

9. Dapat cegah fahsyak dan mungkar

10. Dalam seruan azan, nak berjaya di dunia dan di akhirat kena solat dulu

11. Sehari semalam 5 kali - perkara penting biasanya memang lebih kerap dilakukan.

12. Ikut kemampuan - berdiri,duduk,baring, mengiring, telentang dsb - tetap laksana

13. Solat hormat waktu - tak boleh elak, kena buat juga.

14. Musafir - solat jamak dan qasar - kemudahan, jangan beri alasan

15. Ada orang meninggal kita solatkan

16. Kita meninggal orang solatkan - insya-Allah.

17. Masjid dan surau dibina kerana ibadat solat

18. Seminggu sekali hari Jumaat wajib solat di masjid

19. Nabi bina masjid dulu sebelum bina yang lain

20. Anak 7th. disuruh solat, 10th. boleh dirotan jika enggan.

21. Solat berjemaah sekian-sekian kelebihan - puasa tak ada jemaah.

22. Solat tiang agama

23. Tinggal solat runtuhkan agama

24. Solat bukti keyakinan terhadap pertemuan dengan Allah di akhirat.

25. Dll. Sekian, minta pada Allah agar dipanjangkan umur dalam ibadah. Amin.

Tuesday, July 21, 2009

Buih (2)

Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita, sama ada yang sedang berlaku atau yang telah berlaku sejak manusia dicipta - Justeru untuk mendapat iktibar yang lebih maka kita perlulah sekali sekala berpergian ke tempat/negeri orang lain, tak bolehlah duduk saja di kampung sendiri sambil mengharapkan macam-macam terjadi, apa sangatlah yang akan berlaku, balik-balik benda yang sama saja berulang-ulang.

Pada hari Ahad (19.7.09) yang lepas, sebaik keluar dari Pulau Kapas, melencung pula ke Pasar Payang, dalam pukul 2.00 petang memulakan perjalanan balik ke Jasin, berhenti jamak zohor dan asar di masjid baru Marang berhampiran jeti. Kali terakhir ke Marang dulu masjid ni belum lagi siap. Antara pengalaman baru trip kali ini ialah pertama kali dapat melalui Lebuhraya Pantai Timur yang belum siap sepenuhnya, harap kerajaan dapat segera siapkan. Singgah di surau Plaza Tol Jabor jam 7.30 malam untuk solat jamak manghrib dengan isyak. Bagus juga berjalan dengan Amri ni sebab dia suka buat jamak taqdim.

Terdapat 4 orang musafir yang sedang solat di saf hadapan secara berasingan, dua orang berumur dalam lingkungan 30-an, seorang sekitar 40-an dan seorang lagi dah agak lanjut mungkin 60-an. Semuanya tiada tomakninah semasa iktidal. Dah depan mata nampaklah, nak buat macam mana, maka hati pun berkata-kata - Bayangkan dalam begitu ramai pengguna lebuhraya, hanya segelintir yang terpilih sahaja yang teringat nak berhenti solat, dalam pada itu pula, hanya yang terpilih kali kedua sahaja yang dengan izin Allah dapat menyempurnakan segala syarat dan rukun solat.

Menurut Ustaz Zakaria Limat, berdasarkan pemerhatian beliau daripada 10 orang yang bersolat, 2 orang tidak sah solatnya kerana tiada tomakninah, itu belum lagi termasuk yang tidak sah kerana faktor-faktor lain. So, daripada 10 berapa yang ok? Hanya Allah saja yang mengetahui. Kesimpulannya, yang solat pun buih (kerana cuai), yang tak pernah atau sesekali saja solat dah memang tentulah buih. Semoga Allah ampunkan dan terima solat semua orang yang bersolat di surau tol Jabor hari tersebut - Hanya dengan taufik dan hidayah Allah sahaja dapat menyelamatkan kita daripada terus terusan menjadi insan buih. Sekian.

Thursday, July 16, 2009

buih


Buih merupakan satu fenomena biasa saja dalam kehidupan kita. Orang ramai tak memberi perhatian pun kepada buih. Setakat yang kita tahu tak ada guna apa-apa pun buih ni. Tak ada pun nilai komersial. Mungkin ada la sikit nilai estetika - Tak ada orang yang tak pernah lihat buih. Ada air adalah buih. Masa mandi, masa membasuh pinggan mangkuk atau pakaian, masa basuh kereta dan sebagainya buih akan terbentuk. Ada juga sejenis permainan meniup buih yang sangat digemari oleh kanak-kanak, buih terhasil berderet-deret berterbangan di udara pecah dan hilang. Definasi mudah, buih ialah gelembung air yang berisi udara, mudah terbentuk semudah ia pecah, tiada kekuatan langsung - Sebab itulah Nabi SAW mengambil buih sebagai contoh dalam sabda baginda untuk mengibarat di akhir zaman umat Islam yang ramai. Ramai tapi umpama buih di lautan.


Ada buih kecil ada buih besar, namun ia sama sahaja, terhasil terus pecah dan ghaib. Cakap berdegar-degar, tapi buih. Ke hulu ke hilir macam orang penting sangat, tapi buih. Seminar sana seminar sini, mesyuarat sana mesyuarat sini, tapi buih. Itu jenis yang sibuk, jenis yang duduk rumah tak buat apa-apa tak kemana-mana, pun buih jugak - Betullah yang nabi sabda tu. Masa ramai buih, masa sorang-sorang pun lagilah buih.


Satu bangsa. Satu agama. Sama bahasa. Tapi berpuak-puak, ada sampai tiga empat puak, kadang-kadang lebih. Puak A tak boleh berpakat dengan puak B, puak C tak boleh berbaik dengan puak A, B, D dan seterusnya - Tapi dengan puak lain yang berlainan bangsa, berbeza bahasa, adat dan akidah mahu pula berbaik-baik, mahu pula bermesra bertepuk bertampar, apa dicakap semua diikut. Pelik betul bangsa aku ni. Apa nak dipelikkan, buih lah katakan, buih memang macam tulah feilnya.


Duduk dalam puak mana pun, dua kali lima lima kali dua saja, kalau dah buih tu buih jugak. Baik lagi duduk atas pagar! . Yang atas pagar pun buih jugak! Agaknya dari dulu-dulu sampailah sekarang memang sentiasa buih - Patut pun lah bangsa aku ni sampai pernah dijajah oleh 6 bangsa penjajah iaitu oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Siam, Jepun dan Bintang Tiga - Ada ke bangsa/negara lain di dunia ni yang dijajah oleh begitu banyak jenis penjajah? Ada ke? - Kalau terus leka jadi buih, jika terus menerus seronok jadi buih, tak mustahil langsung Bintang Tiga akan bangun lagi sekali. Mampuih!


Halangan paling besar ialah kerana ramai sangat bangsa aku ni yang suka benar jadi buih, macam suka benar dapat makan free, suka benar dapat offer pergi jalan-jalan/melancong free dll. Macam-macam usaha dilakukan semata-mata untuk jadi buih, untuk kekal jadi buih. Ada yang bangga pulak tu dapat jadi buih. Malang betul! - Tunggu tua/pencen baru nak mendalami agama, nanti bersara baru nak belajar tajwid, tunggu umur lebih 40 baru nak beramal ibadah baru nak buat yang sunat-sunat, tunggu dah dekat nak mati baru nak bertaubat baru nak puasa nak sembahyang. Apabila dah pencen dah bersara dah tua, dah datang perasaan malu pulak nak belajar, dah rasa pulak alang-alang buat ibadah pun dah tak sempat lagi nak cover dosa-dosa yang lepas. Nasib engkaulah buih - Mana ada buih yang tak pecah-pecah sampai berjam-jam sampai berhari-hari. Nasib engkaulah buih. Orang nasihat tak nak dengar.


Kita sendiri, masing-masing punya diri, kenalah memastikan agar diri kita tidak menjadi buih. Orang lain tak boleh nak pastikannya bagi pihak diri kita. Sebab itulah ada ilmu yang bangsa fardhu ain dan ada yang fardhu kifayah. Beruntunglah sesiapa yang sejak kecil bukan buih atau yang sedang berusaha keras untuk berhenti jadi buih.


Kesimpulannya, Semoga Allah SWT hindarkan kita daripada menjadi golongan muflis di akhirat kelak, yang merayu-rayu kepada Allah minta dikembalikan semula ke dunia walaupun sebentar kerana kononnya nak belajar agama sungguh-sungguh, nak beribadah betul-betul kuat-kuat, konon. Sekian. Wassalam.










Saturday, July 11, 2009

kawan


Manusia ialah makhluk yang lemah. Semua makhluk lemah. Hanya Allah SWT yang maha berkuasa dan maha perkasa. Manusia juga merupakan makhluk jenis sosial, iaitu hidup dalam komuniti, tidak menyendiri. Jika ada pun yang menyendiri tak tahu nak bercampur orang lain, itu kes terpencil, devian - kerana lemahlah maka kita perlu berkawan, perlu kepada kawan. Cuba lihat semut api, semut gatal, semut 'laju' dan lain-lain semut, anai-anai, lebah, kerengga, cengkiak (bukan kelingjangka) serta lain-lain hidupan bersaiz kecil, lemahlah tu, semuanya hidup dalam koloni/kelompok/kawanan - Lihat pula harimau, beruang, jerung, ular sawa, anakonda dan sebagainya jarang mereka bergerak dalam berkumpulan macam semut, tidak pernah orang terserempak di dalam hutan dengan lima ekor harimau atau sepuluh ekor ular sawa, kerana apa? kerana orang kuat tak selalu perlu kepada kawan/berkawan.

Sejak dilahirkan/kecil manusia sudah ada naluri ingin berkawan. Seorang bayi akan sentiasa selesa dan riang jika kawan rapatnya selalu ada di sampingnya, sentiasa membelai dan menyentuhnya, siapa lagi, ibunya lah. Apabila telah besar sikit atau setelah punya adik, ibunya dah sibuk pula dengan adik baru, maka dia akan beralih pula berkawan dengan anak kucing yang ada dalam rumah tersebut, kalau tak ada anak kucing bantal busuk pun ok, kalau hilang bantal busuk tu satu rumah tak dapat lelap sampai pagi - Demikianlah, proses berkawan dan mencari kawan berterusan sejak kecil hingga dewasa, kawan datang dan pergi silih berganti.

Setiap orang ada kawan biasa, kawan baik dan kawan yang sangat baik/rapat, macam isi dengan kuku. Kadang-kadang dah puas berkawan tiba-tiba dah berkelahi pulak, sampai mati tak baik kembali pun ada - Putus silaturrahim. Berdosa. Dalam berkawan perlu banyak bersabar, bertolak-ansur, kena boleh lebih-kurang, kena ada 'give and take'.

Jangan takut nak berkawan dengan orang lain di sekeliling kita. Jangan takut nak buat baik dengan orang lain. Kalau jadi bos jangan teragak-agak nak buat baik kepada orang bawah, jangan berbelah-bagi untuk berkawan dengan orang bawah. Siapa pun kita, apa pun kita, hidup dan urusan hidup akan jadi lebih mudah/lancar jika ada ramai kawan/kawan baik, kerana adat kawan baik sanggup melakukan apa saja demi kawan baiknya. Apa saja.

Namun, perlu berhati-hati dalam berkawan, dalam memilih kawan. Buat baik barpada-pada buat jahat jangan sekali. Perlu ditapis kawan yang ramai mana satu yang nak dijadikan kawan baik. Sebab ada orang makan orang, ada kawan makan kawan. Antara karenah kawan-kawan ialah hutang tak mau bayar, pinjam barang tak reti nak pulang, bergurau tak kira masa, usik tak kena tempat dan macam-macam lagi. Dah resam dunia begitu. Bermusuh biar satu berkawan biar seribu. Bersahabatlah dengan orang baik maka kita juga akan mendapat kebaikan, jika berkawan dengan orang jahat/tak senonoh lambat laun kita pun jadi tak senonoh jugak.

Antara perkara yang menyeronokkan dalam hidup ini ialah apabila tanpa diduga terjumpa dengan kawan baik/kawan lama yamg telah lama tidak berjumpa, maka macam-macamlah nostalgia lama yang akan diungkap semula. Antara soalan wajib tentang hal semasa ialah 'dah berapa orang anak?' Memang seronok jika dapat jumpa kawan-kawan lama yang sama-sama belajar dulu di Paya Kerchut, Ma'had AS, member 23B, Kolej Islam, Khir Johari SP dan UPM. Rindu benar nak berjumpa dengan Pak Chat, Pak Syeikh, Bai, Rashid, Wan Hassan, Mat Majid,
Salleh Osman, Fadzil Shafie, Jan, Fizi, (Shahrudin dah dua tiga kali jumpa di AS), Man Khamis,Saari, Omar dan ramai lagi yang lain.

Jika sudah berkeluarga tapi tak punya ramai kawan, atau tak ada kawan baik, maka jadikanlah isteri/suami dan anak-anak kita sebagai kawan baik. Api masa kecil jadi kawan dah besar jadi lawan. Anak-anak masa kecil jadi lawan dah besar jadi kawan. Ingat, kita juga merupakan kawan kepada kawan-kawan kita. Mesti ada semangat setiakawan. Nak kenal kawan, ajaklah dia untuk bersama dalam satu perjalanan jauh, nanti kenallah siapa dia selama ini - Alhamdulillah, kerana isteri dan anak-anak merupakan rakan yang baik/teman yang akrab di dalam banyak perjalanan jauh dan dekat yang telah dilalui bersama - Sekian. Jumpa lagi. Insya-Allah.

Tuesday, July 7, 2009

Hati

Hati ialah salah satu daripada organ penting di dalam tubuh manusia. Kemajuan sains perubatan telah membolehkan pembedahan pemindahan hati dilakukan oleh doktor pakar, iaitu A boleh mendermakan hatinya kepada B bagi membolehkan B meneruskan kehidupannya seperti orang lain yang sihat. Kita boleh mendermakan hati setelah kita meninggal dunia kepada sesiapa yang belum meninggal dunia, wasiat boleh dibuat, fatwa mengatakan boleh.

Ada banyak kata frasa yang berkaitan dengan hati seperti hati-hati, puas hati, mata hati, keras hati, buta hati, ambil hati, patah hati, hati batu, baik hati, busuk hati, kecil hati, sampai hati, jatuh hati, ada hati, jauh hati, dekat di hati, ikut hati mati dan sebagainya. Ada yang membawa makna positif dan ada pula yang membawa maksud negatif.

Maksud sebuah hadis Nabi SAW : di dalam badan manusia terdapat seketul daging jika baik daging tersebut maka baiklah seluruh badan dan jika rosak daging tersebut maka rosaklah seluruh badan, iaitulah hati - hati ialah raja dan anggota-anggota yang lain ialah rakyatnya. Jika raja perintahkan yang baik maka beruntunglah rakyat jika sebaliknya maka rugilah mereka. Macam dalam hikayat Pak Kaduk, oleh kerana raja suka berjudi dan berlaga ayam maka rakyat pun ikut berjudi dan berlaga ayam beramai-ramai, sebagai hobi nombor satu. Kepimpinan melalui teladan.

Setiap hari kita membersih/mengemas rumah. Setiap hari kita mencuci pinggan-mangkuk, mencuci pakaian, kereta, motosikal, mengelap lantai, cermin tingkap dll. Setiap hari lebih dari sekali kita cuci badan/mandi, gosok gigi dan berkumur tapi berapa orang yang teringat untuk membersihkan hati. Bersihkan hati tak boleh setahun sekali atau sebulan sekali, seminggu sekali pun tak boleh. Bersihkan hati kena buat tiap-tiap hari, kalau rajin tiap-tiap minit/saat, rehat masa tidur saja. Faham yang mudah, cara nak bersihkan hati ialah buat yang Allah suruh tinggal apa yang dilarang. Hati jadi kotor disebabkan dalamnya ada sifat-sifat yang syarak cela seperti sifat sombong, riak, ujub, sum'ah, pemarah, kedekut, tidak ikhlas dan lain-lain lagi.

Cuci pinggan guna sabun, cuci kereta dan rambut guna syampu, cuci getah nangka pada tangan guna minyak, cuci tile lantai guna asid. Tiap-tiap kotoran ada alat pencucinya yang khusus. Nak cuci najis babi kena guna air tanah, kalau salah satu daripadanya bukan air tanah, habis air satu laut pun takkan cuci. Nak cuci hati dengan apa? Apa alatnya? - Kena belajar/faham ilmu feqah barulah boleh elakkan sembahyang dan puasa daripada perkara-perkara yang boleh membatalkannya. Kena belajar/faham ilmu tauhid barulah boleh membersihkan iktiqat daripada perkara-perkara yang mensyirikkan dan kena belajar/faham ilmu tasauf barulah boleh membersihkan hati daripada sifat-sifat tercela tersebut. Belajarlah sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Ilmu yang fardu kifayah pun kena belajar jugak - Minta pada Allah agar panjang umur supaya dapat terus balajar. Insya-Allah. Sekian.

Thursday, July 2, 2009

Ter..

Di dalam Bahasa Melayu terdapat banyak kata imbuhan, salah satu daripadanya ialah imbuhan 'ter' Tapi bukan semua ter ialah imbuhan. Misalnya, di dalam perkataan terjun, terbit, terbang,terkam, termos dan lain-lain lagi, semua ter tersebut bukanlah ter imbuhan kerana semua ter tersebut ialah merupakan salah satu suku kata daripada kata dasar bagi lima perkataan tersebut. 'Ter' imbuhan pula ialah seperti terkawal, terdaki, terhiris, terlaris, (terkahwin?) dan sebagainya.

Imbuhan/awalan ter memberi beberapa makna seperti berikut:-
1. Makna sudah, contohnya :
terbukti = sudah dibuktikan
terhunus = sudah dihunus
terhasil = sudah dihasilkan
2. Makna keupayaan/dapat, contohnya :
terbayang = dapat dibayangkan
tertanggung = dapat ditanggung
tercapai = dapat dicapai
3. Makna tidak sengaja/tiba-tiba, contohnya :
terjatuh = tiba-tiba jatuh
terpegang = tiba-tiba pegang
tertembak = tiba-tiba tembak
4. Makna paling, contohnya :
terbaik = paling baik
tertinggi = paling tinggi
terpantas = paling pantas

Kali ini, kita hanya akan menumpukan perhatian kepada ter yang bermakna tidak sengaja sahaja (no. 3). Tiga contoh ter ini telahpun dinyatakan di atas, contoh-contoh seterusnya seperti terduduk, tertikam, tergunting, tertusuk, tercium, (terkahwin?) dll. 'Ter' yang tanpa sengaja ini ianya terjadi tanpa dirancang, tanpa diduga, tanpa sempat berfikir, tanpa bersedia/persediaan, ia terjadi/berlaku dalam sekelip mata sahaja secara tiba-tiba, contohnya :
i) Dia terjatuh ketika sedang berjalan kaki menuju ke surau. ii) Ali terpegang kepala ular tedung selar ketika sedang mendaki tebing bukit tersebut. iii) Anggota polis tersebut tertembak rakan setugasnya semasa mereka mengejar seorang perompak.

Sekarang, cuba kita sama-sama bayangkan pula, bagaimanakah rupanya permulaan dan pengakhiran bagi sesuatu perkahwinan yang dibina (terkahwin?) tanpa diduga/tanpa dirancang/tanpa difikir/sekelip mata - akan lebih parah lagi jika disertai pula faktor tanpa restu. Dimanakah perkahwinan seumpama ini akan bernokhtah? - Tentu kita tak mahu melalui atau melihat jenis perkahwinan yang seronoknya/intan payungnya cuma enam bulan lepas tu susah/kelam- kabut/huru-hara/haru-biru sampai mati.

Sebenarnya, dalam masyarakat Islam/Melayu tidak wujud konsep perkahwinan yang terjadi secara tiba-tiba/tak sengaja. Mana mungkin begitu? Kerana sesebuah perkahwinan/pernikahan itu melibatkan beberapa proses, seperti proses memilih pasangan, proses saling bersetuju, proses menetapkan tarikh,hari dan masa, proses persetujuan/izin oleh wali, proses ijab kabul dan macam-macam lagi, lebih-lebih lagi jika inilah baru pertama kali nak mengahwinkan anak, anak sulung pulak tu, anak perempuan pulak tu, mak tak nak bersanding, nenek kata apa jadi pun kena bersanding, bapa nak potong lembu, datuk kata lembu tak cukup besar mesti potong gajah, macam-macam hal hingga prosesnya boleh jadi sampai berbulan-bulan jika pun tidak bertahun-tahun.

Kesimpulannya, isu (Terkahwin) ni tak boleh nak disamakan dengan lain-lain ter (no. 3 - tak sengaja) seperti yang telah dinyatakan di atas. Allah SWT mahu setiap perkahwinan itu mestilah dirancang, dihalusi, diteliti dengan sebaik-baiknya terlebih dulu supaya ianya menjadi ibadah yang berpanjangan. Allah tak suka sesuatu kerja itu dilakukan secara gopoh-gapah,tergesa-gesa dan terburu-buru lebih-lebih lagi yang melibatkan kesejahteraan diri dan keturunan/zuriat masa hadapan. Sekian. Jumpa lagi. Insya-Allah.

Monday, June 29, 2009

Insan Seimbang


Umur umat ini makin lama makin pendek, tak macam umat dulu-dulu, umur sampai ratusan malah ribuan tahun pun ada - hidup cuma sekejap tapi macam-macam nak buat/nak kena buat - nak belajar, nak mengajar, nak bermain, berehat, bekerja, melancong, berjiran, bermasyarakat, berkebun, berkahwin, menguruskan keluarga, nak jadi cikgu, nak jadi ustaz, imam pun nak jadi, menguruskan itu menguruskan ini dan macam-macam lagi. Kata ulamak perut kena dibahagi tiga iaitu ruang untuk makanan, udara dan air. Usia kita pun terbahagi tiga iaitu usia kanak-kanak, muda dan tua kecuali jika meninggal masa kanak-kanak tak dapatlah gemulah tersebut usia yang lagi dua tu. Bulan pun kena bahagi tiga iaitu awal bulan, pertengahan bulan dan hujung bulan, tahun pun sama macam bulan. Pendek kata ada banyak lagi perkara yang kena bahagi tiga, cubalah fikir.
Oleh kerana pelbagai benda nak dibuat sedangkan setiap hari cuma ada dua puluh empat jam sahaja, maka kenalah setiap hari yang dilalui dibahagi tiga iaitu masa untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Ada orang yang tidak berapa faham tentang pembahagian masa ini, justeru inilah salah satu punca yang melahirkan golongan orientalis, ateis, materialistik, individualistik dan lain-lain lagi - Kata nak jadi insan seimbang. Nak lahirkan insan seimbang. Apa yang seimbang? Seimbang jasmani, emosi, rohani dan inteleks, seimbang dunia dan akhirat. Nak jadi manusia seimbang kenalah pandai bahagikan masa - Jika tidak pandai bahagi masa, mungkin kita akan mati dalam keadaan belum/tidak seimbang. Nak seimbang macam mana kalau pagi fikir kerja, tengahari fikir kerja, petang fikir kerja, siang malam fikir kerja, muda sampai tua fikir kerja, mimpi kerja mengigau pun kerja. Rumah besar boleh buat, dusun/kebun besar boleh usahakan, aset macam bukit, sekali basuh/gosok kereta sampai berjam-jam - hal agama tunggu dulu, nanti pencen aku belajarlah aku dalamilah - kau tak faham ka, buat rumah buat kebun cari harta basuh kereta pun agama jugak, tuu diaa!
Umur dah banyak/lanjut, tiap-tiap kali solat (jika solatlah) masih lagi dok baca fatihah yang dihafal masa umur empat tahun kelmarin dengan gayanya sekali, wuduk entah betul entah tidak, tomakninah entah ada entah tidak, kat mana nak tomakninah pun tak tau, qosot ta'arut ta'ayin tu apa benda? Entahh, bersara nanti aku belajar le, yang engkau tiba-tiba nyebuk ni apa hal, kubur kan masing-masing, engkau pun belum tentu lagi dapat masuk syurga, tuu diaa! - Itu baru hal feqah, baru usik sikit, belum lagi cuit hal aqidah dan tasauf, memang tunggang-langgang - Dunia yang hanya tempat singgah sebentar ni bekalan bukan main banyak, punya pulun macam nak rak, akhirat tempat tinggal selama-lamanya kekal a'radi buat endah tak endah pandang tak pandang saja. Bukan anti dunia bukan suruh buang dunia, kalau urusan dunia 8 jam, logiknya urusan akhirat pun kenalah 8 jam juga, kata nak seimbang nak jadi insan seimbang, makna ikhlas pun tak berapa pasti, seimbang apa!
Kesimpulannya, berdasarkan kepada gelagat masing-masing, rasanya ramai yang belum seimbang, tapi dok perasan sorang-sorang macam dah cukup seimbang - begitulah betapa bijaknya iblis menipu manusia - tapi iblis kan tak boleh menipu orang yang bertaqwa, orang bertaqwa tu macam mana? Kalau dah tak seimbang bertaqwa ke? Kenalah seimbang dulu barulah datang taqwa - Yang penting sekali setiap orang kenalah ada usaha yang munasabah pada akal dan munasabah pada syarak ke arah menjadi insan seimbang, capai tak capai tu urusan Allah SWT. Insya-Allah kita semua dimasukkan oleh Allah bersama golongan hambanya yang bertaqwa, amin.

Saturday, June 20, 2009

Yang Menyeronokkan

Ada banyak perkara yang boleh menyeronokkan kita. Zaman kanak-kanak cukup seronok kalau dapat keluar pada hari Sabtu ke Pekan Pendang kerana ada ‘pekan hari’ pada setiap hari Sabtu macam Jasin jugak – Zaman bayi pula agaknya cukup seronok kalau dipeluk dan didukung oleh ibu atau sesesiapa sebab itulah boleh berhenti menangis sebaik saja didukung,seronoklah tu. Masa remaja pula cukup seronok jika dapat pergi ke Alor Setar naik bas UTC nombor 6 (Pendang-Alor Setar) – semua budak akan berasa seronok apabila dapat mainan baru, baju baru,menanti hari raya menjelang pada setiap bulan puasa dan sebagainya – Masa di U dulu cukup seronok kalau dapat balik kampung setiap kali cuti semester.

Justeru itulah apabila dah sampai usia patut berkahwin, ada sesetengah orang muda eggan berbuat demikian walaupun dia ada kemampuan, mungkin dia takut setelah berkahwin nanti maka berakhirlah segala keseronokan yang sedang dikecapi selaku orang bujang, umpamanya tidak dapat lagi melepak dengan kawan-kawan hingga larut malam, terikat dengan isteri dan anak-anak, tak boleh nak merapu lagi dan sebagainya – Sebenarnya itu adalah satu premis berfikir atau andaian fikiran yang tak berapa betul – Kebiasaannya apabila seseorang itu menamatkan zaman bujangnya, maka semua keseronokan yang hilang itu akan diganti oleh Allah dengan keseronokan alam rumah tangga yang jauh lebih menyeronokkan – Suami seronok isteri melahirkan anak-anak, seronok membesarkan anak-anak, seronok melihat keletah anak-anak, seronok melihat anak-anak dapat/mahu belajar hingga ke peringkat tinggi, seronok anak-anak mahu sembahyang,puasa,tahu/selalu baca Quran dll – Semua ini jauh lebih menyeronokkan berbanding seronok naik pangkat,naik gaji,naik kereta besar/baru dll seperti langit dengan bumi – Keseronokan-keseronokan seterusnya insya-Allah ialah ketika anak-anak masing-masing membawa balik segulung ijazah, ketika melihat anak-anak melangkah masuk ke alam kerjaya, ketika mereka membina hidup berumahtangga dengan manantu-manantu, seterusnya ketika mereka membawa balik cucu-cucu ke rumah babatok.

Kesimpulannya , semua keseronokan di atas tidak datang bergolek tidak datang melayang, semuanya terhasil ekoran daripada melakukan sesuatu pada masa yang betul, seperti berkahwin sesudah ada kerja, membuat persediaan ilmu (terutama ilmu yang 3 tersebut),persiapan psikologi dan personaliti, pilih calon isteri yang sesuai/betul dan sebagainya yang hakikatnya terlebih dulu Allah telah tentukan – Sekian.

Tuesday, June 16, 2009

Persepsi Minima Terhadap Ilmu

Manusia setelah ia berilmu-barulah menjadi insan yang bermakna. Ilmu apa? Ada macam-macam ilmu. Mengikut syarak ada tiga disiplin ilmu yang berstatus fardhu ain iaitu yang wajib dituntut/dipelajari oleh tiap-tiap orang/mukallaf-iaitu ilmu feqah,tauhid dan tasauf. Tanpa tiga ilmu ini ditakuti buat apa pun tidak jadi ibadat. Juga ditakuti jadi sia-sia saja Allah SWT beri kita peluang hidup di atas dunia ini. Dunia ialah jambatan ke akhirat. Ingat! Akhirat ada dua dimensi iaitu syurga dan neraka. Jagalah agar dunia ini tidak menjadi jambatan ke neraka (dijauhkan Allah). Jadi,setiap orang yang mengaku beriman kenalah mahu tidak mahu mempelajari 3 bidang ilmu ini. Setidak-tidaknya merangkumi topik-topik yang berkaitan dengan amalan/rutin hidup sehari-harian sama ada amalan wajib, sunat atau harus sama ada amalan dunia mahupun akhirat. Belajar ialah satu proses yang memakan masa. Proses ini perlu diselitkan di dalam proses kehidupan kita. Beruntunglah bagi mereka yang telah menyempurnakan proses ini ketika usia masih muda . Masalahnya apakah ukuran minima untuk melepasi garis kewajipan dalam mempelajari 3 ilmu di atas? – Senang saja – Belajarlah secara berguru dari kulit depan hingga kulit belakang sekurang-kurangnya sebuah kitab bagi setiap bidang ilmu tersebut. Tanpa sengaja ponteng-ponteng atau tebuk sana tebuk sini. Kesimpulannya ada banyak lagi ilmu yang kita kena pelajari mencakupi ilmu dunia dan ilmu akhirat. So, Nampak-nampaknya kenalah kita belajar dari buaian hinggalah ke liang lahad
-insya-Allah.