Sunday, November 29, 2009

Maa'had Mahmud

Setelah tamat darjah 6 pada hujung tahun 1970, isi borang untuk masuk tingkatan satu SMK Pendang. Tiba-tiba pada satu hari dimaklumkan oleh Tok Kedah akan menyambung pelajaran menengah di Maktab Mahmud Alor Setar pulak (lebih dikenali sebagai Ma'had di kalangan rakyat negeri Kedah). Kawan-kawan lain ada yang masuk SMK Pendang mungkin ada yang masuk sekolah arab Pendang dan ada yang tidak masuk kemana-mana pun, duduk rumah tolong ibu bapa, macam tulah nasib budak-budak kampung masa tu.


Dulu-dulu Maktab Mahmud tidak menjadi sekolah pilihan ibu bapa macam sekarang, masa dulu tidak keterlaluan jika dikatakan anak-anak yang cemerlang akademik di sekolah rendah tidak mahu masuk Maktab Mahmud, malah ibu bapa mereka pun tak mahu anak mereka belajar di situ. Mentaliti masyarakat waktu tu jika tamat belajar di Maktab Mahmud hanya layak jadi ustaz dan tok kadi sahaja. Hari ni, jika tak dapat UPSR 5A jangan disebut nak masuk Maktab Mahmud,itupun belum tentu lagi dapat.


Senario tersembunyi yang masyarakat era tersebut tak tahu atau tak berapa faham ialah pelajar-pelajar Maktab Mahmud yang lulus cemerlang dalam SRP/PMR akan ditawarkan menyambung pelajaran ke tingkatan 4 aliran sastera/agama dan aliran sains di Kolej Islam Kelang(KIK)(Kolej Islam Sultan Alam Shah Kelang). Melalui saluran inilah ada pelajar-pelajar Ma'had yang berjaya menjawat kerjaya bidang profesional seperti peguam, ahli farmasi (macam Fadhil Shafie), doktor (macam YB Dr.Hayati Parlimen Pendang) dll. Hari ini, anak-anak Maktab Mahmud tak perlu lagi ke KIK kerana aliran sains tulen-agama telah disediakan di sana.


Dulu-dulu yang berpusu-pusu menghantar anak-anak mereka ke Maktab Mahmud imajoritinya

ialah ibu bapa dari luar bandar iaitu sebelah Jitra, Kuala Nerang, Pendang, Sik, Baling, Yan dll. Ibu bapa bandar/pinggir bandar sangat kurang - cuba sama-sama fikir kenapa begitu?


Masa tu Maktab Mahmud hebat dalam bola sepak, selalu berentap dengan Kolej Sultan Abd. Hamid. Sekolah lain yang ternama di Kedah ialah Sekolah Sultan Abd. Halim Jenan (asrama penuh). Kehebatan Maktab Mahmud dalam kelasnya yang tersendiri, misalnya penggunaan "maktab" pada namanya serta beberapa lagi ciri tersendiri yang lain.


Sebenarnya, walau dibandingkan dengan sekolah mana pun, maka Maktab Mahmudlah yang paling hebat sekali, kerana pada setiap hari/minggu murid-muridnya kena belajar sebanyak 18 atau 19 mata pelajaran iaitu 8 subjek akademik dan 9-10 subjek arab-agama. Setelah tamat tingkatan 6 sekolah menengah pelajarnya hanya mendapat 3 sijil peperiksaan sahaja tapi di Maktab Mahmud boleh dapat 5 sijil. Memang hebat!
Akademik pun dapat,agama pun dapat.Tentulah hebat!!. Ok,jumpa lagi.

No comments: