Sunday, December 12, 2010

Kisah Masuk Jawi

Ada beberapa nama tentang perkara ini seperti bersunat,berkhatan atau masuk jawi. Bersunat, kerana hukumnya sunat sahaja iaitu sunat muakkad. Lelaki dan perempuan kena bersunat tak boleh dielak. Orang perempuan lebih beruntung kerana ibu bapa menyunatkan mereka sewaktu masih kecil (tidak tahu apa-apa) sebaliknya kanak-kanak lelaki dalam konteks budaya Melayu nusantara kebiasaannya disunatkan ketika umur 6 hingga 12 tahun.

Kisah bagaimana kanak-kanak perempuan berkhatan kenalah ditanya kepada orang perempuan atau tok bidan khususnya, sebab orang lelaki sama ada bapa sendiri pun rasanya tiada yang terlibat secara langsung dalam urusan ini, apa alat yang digunakan bagaimana ia dilakukan, memang agaknya ramai lelaki yang tidak faham jika ditanya.

Pada zaman dulu, agaknya sebelum tahun 70-an atau sebelum 60-an, dikhabarkan ada 'budak' lelaki yang dah umur sekolah menengah baru mak bapak nak sunatkan yang tok mudim pulak rupa serta perawakannya macam pawang hantu dalam drama niang rapik, itu yang bila sampai hari nak masuk jawi dia pun cabut lari, satu kampung kena kejar dan tangkap ramai-ramai, orang kampung pun satu hal diusiknya 'budak' tu dengan macam-macam cerita yang menakutkan,itu kalau dapat ditangkap, jika tak dapat maka sampai tualah budak tu tak masuk jawi.

Jika menggunakan khidmat tok mudim kampung, maka alatan yang diperlukan ialah batang pisang untuk duduk,tempurung kelapa yang dibubuh abu dapur untuk menadah darah yang menitis,sejam atau setengah jam sebelum bersunat kena mandi sampai sejuk menggigil, duduk atas batang pisang dengan seorang dewasa berdiri di belakang pegang kepala dan dongakkan ke atas jangan benarkan pandang ke bawah takut budak tu pengsan atau pun takut tiba-tiba dia menjerit sekuat-kuat hati yang boleh menyebabkan semua budak lain yang sedang menunggu giliran cabut lari. Proses seterusnya terserahlah kepada mudim, biasanya beliau menggunakan dua batang buluh untuk menyepit dan pisau tajam untuk memotong, kemudian lukanya dibalut dengan kapas dan kain putih,maka bila sampai masa hendak dibuka balutan untuk dicuci, ya Allah rasa macam nak kiamat dunia ni, ditanggalkanlah sedikit demi sedikit balutan tu dan disiram dengan macam-macam jenis air dan macam-macam jenis minyak supaya mudah tanggal, itu ada yang dari 7.00 pagi hingga 12.00 tangahari belum lagi tanggal-tanggal.

Budak-budak sekarang ada dua pilihan, sama ada mahu masuk jawi dengan mudim atau dengan doktor, tapi ramai yang pilih doktor sebab tak sakit dan cepat baik,malah kalau berani boleh lihat sendiri kerja-kerja bersunat yang sedang dilakukan oleh doktor, selain ubat yang baik doktor juga menggunakan psikologi. Tok mudim sekarang pun okay kerana mereka juga telah menggunakan ubat dan teknik rawatan yang lebih saintifik berbanding zaman dulu.

Kesimpulannya, baik lelaki mahupun perempuan masing-masing melalui saat-saat yang 'mengerikan' di dalam kehidupan yang tak dapat dielakkan, bagi lelaki saat tersebut ialah semasa hendak masuk jawi sementara bagi perempuan pula saat berkenaan ialah semasa hendak bersalin, sebab itulah ada yang lepas bersalin anak pertama terus tak mahu mengandung lagi, sebab itulah semasa melahirkan anak dikatakan nyawa ibu berkenaan berada di hujung rambut, begitulah betapa besarnya pengorbanan seorang ibu kepada kita,hingga hadis mengatakan syurga di bawah tapak kaki ibu. Tapi dengan kemajuan bidang sains perubatan hari ini,bersalin pun dah jadi senang. Dulu-dulu pun ada orang perempuan yang bersalin senang, sambil motong getah pun boleh bersalin,alhamdulillah - sekian, jumpa lagi insya-Allah.

Monday, November 22, 2010

Minta

Daripada kata dasar minta,terbitlah frasa kata meminta-minta,minta maaf,minta izin,minta laluan,minta kebenaran,minta sedekah,minta nyawa,minta simpati,minta hutang,minta doa,minta derma,minta itu dan minta ini. Ada jenis minta yang positif dan ada yang negatif.Yang positif seperti minta doa,minta maaf,minta izin dsb. iaitu jenis minta yang disuruh oleh syarak serta yang ada menunjukkan ketinggian nilai budi seseorang.

Minta yang jenis negatif pula seperti minta sedekah,minta berhutang,suka meminta-minta dll sebab agama memberikan kemuliaan yang tinggi terhadap seseorang yang berusaha sendiri dalam memenuhi apa saja keperluan hidupnya seharian,contohnya seorang penoreh getah yang mengumpulkan wang sedikit-sedikit selama 20 tahun untuk menunaikan fardhu haji, iaitu mereka yang sentiasa berasa cukup dengan apa yang seadanya tanpa perlu meminta-minta daripada orang lain.

Cuma dalam era kehidupan yang serba moden hari ini yang penuh dengan pelbagai cabaran,dengan sumber makanan serta lain-lain sumber asli bumi yang kian berkurangan diikuti pula oleh agihan yang tidak seimbang,maka bolehkah kita membebaskan diri 100 peratus daripada fenomena 'meminta' ini. Bolehkah?. Hatta ayam itik serta arnab pun akan menerkam kaki tuannya jika ia dalam keadaan kelaparan dan kehausan. Bagaimana jika ada penduduk dunia yang dilanda banjir besar,tsunami,puting beliung,gempa bumi,rumah terbakar,bolehkah golongan malang ini diseru agar terus berdikari tanpa mengharapkan bantuan.

Meminta berhubung rapat dengan memberi. Meminta akan meningkatkan apa yang sedia dimiliki,sementara memberi akan 'mengurangkan' apa yang sedia ada pada seseorang,sebab itulah sesiapa pun lebih selesa meminta daripada memberi walaupun dia tahu tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.

Dalam isu ini sebenarnya Tuhan mahu menguji keimanan serta ketaqwaan pihak yang meminta sama ada dia mahu terus meminta atau sebaliknya. Sebenarnya Tuhan juga mahu menguji pihak yang sepatutnya memberi sama ada mahu memberi dengan ikhlas atau tanpa ikhlas atau enggan memberi langsung.

Akhirnya,adakah sama antara 'minta sesuatu' dengan 'mengharapkan sesuatu'. Namun ada juga peminta yang jahat,iaitu diberikan betis mahukan paha kerana puak-puak ini tidak reti/tidak mahu mengamalkan nilai murni 'orang berbudi kita berbahasa orang memberi kita merasa',puak ni bukan sekadar meminta-minta malah sampai mendesak-desak. Ok,jumpa lagi.

Monday, November 15, 2010

Musuh

Musuh usah dicari. Ertinya jangan mencipta musuh. Tapi harus diingat,kadang-kadang musuh yang mencari kita. Soalnya macamana pulak dia boleh menjadi musuh kita. Adakah ia terjadi tanpa disedari? Atau sebaliknya. Musuh di kalangan manusia biasanya wujud berpunca daripada rasa tidak puas hati/marah berkaitan sesuatu/beberapa perkara. Soalnya bukan senang untuk memuaskan hati semua orang di sekeliling kita,dan bukan senang untuk hidup di sebuah tempat yang tak ada seorang manusia pun di sekeliling. Ada musuh tradisi dan ada musuh yang dicipta sendiri, contoh musuh tradisi ialah iblis laknatullah, ia menjadi musuh kita sejak zaman Nabi Adam AS hinggalah kiamat kelak. Iblis ialah jenis musuh yang dia mencari kita seperti juga penyamun yang pecah masuk rumah kita letak parang di leher jam 3.30 pagi (tidak dinafikan memang terdapat juga yang sengaja mencari iblis). Sementara musuh yang dicipta pula akan wujud apabila kita mengambil sikap untuk bermusuh dengan orang lain, tak kiralah atas apa alasan pun.

Musuh tinggal dalam dua tempat, iaitu musuh di luar dan di dalam diri kita. Musuh yang di luar terdiri daripada manusia, haiwan dan alam sekitar. Sementara musuh di dalam pula terdiri daripada sifat malas, haloba, kedekut,takbur,bongkak,
pemarah,tidak amanah,dengki-kianat dsbnya. Seterusnya, jika kita asyik melayan musuh yang di luar maka kita tidak akan ada masa untuk melawan musuh yang di dalam,begitu juga jika kita menumpukan sebahagian besar masa untuk melawan musuh yang di dalam maka kita tidak akan punya masa untuk melayan musuh-musuh di luar sana yang memang sangat suka jika dilayan.

Jika mahu hidup tenang serta bahagia jangan ada musuh. Mustahil langsung tak ada
musuh. Jika ada juga musuh,biarkanlah dia saja yang bermusuh sebelah pihak, kita tak usahlah bermusuh dengannya. Mana boleh!. Boleh,jika permusuhannya tidak sampai ke tahap memudaratkan fizikal dan emosi. Sebaliknya jika ia sampai mengancam tubuh badan,nyawa,harta atau keluarga maka perlulah bangun melakukan sesuatu.

Kita tidak boleh mengawal/mengubah orang lain. Kita cuma boleh mengawal/mengubah diri kita sahaja. Justeru kawallah diri sendiri pastikan agar tidak menjadi musuh kepada orang lain. Secara umumnya semua orang ada orang lain yang tidak menyukainya.
Jika tidak dapat menewaskan musuh (yang jenis manusia) tukarkan dia menjadi kawan kita. Soalnya bolehkah berkawan dengan musuh? Boleh jika sekadar berkawan biasa,asalkan kita tidak mengikut perangai-perangai buruknya. Tapi kenalah lebih berhati-hati kerana dikhuatiri ia bertukar menjadi musuh dalam selimut pula - Kemahiran menewaskan (menguruskan) musuh-musuh hanya dimiliki oleh segelintir insan cuma - Jumpa lagi insyaAllah.

Wednesday, November 3, 2010

sukarnya nak balik kampung

Jika kita ada kampung, kita boleh balik kampung, jika berasal dari bandar pun masih juga boleh balik kampung, bandar tulah kampung kita, tak pernah/jarang orang berkata saya nak balik bandar, sebab dalam konteks ini kampung tidak lagi bermaksud 'village' tapi ia bermaksud tempat asal/tempat lahir/rumah ibu bapa. Jika tinggal dan nak balik ke bandar, lebih-lebih lagi jika bandar besar, orang itu akan berkata saya nak balik ke Ipoh/KL/JB/KB dsbnya tanpa menyebut kampung.

Antara perjalanan-perjalanan yang meyeronokkan tentulah salah satu daripadanya ialah perjalan pulang ke kampung, mungkin ia sama seronoknya dengan perjalanan pergi melancong ke sesuatu tempat/negara, mungkin lebih lagi. Perjalanan balik kampung biasanya tidak membosankan ianya seronok walaupun memenatkan, lebih-lebih lagi jika di kampung masih ada ibubapa yang menanti (atau salah seorang daripadanya) dan akan bertambah seronok lagi jika selepas itu dapat pula berjumpa dengan rakan-rakan sepermainan semasa kecil/remaja di kampung dapat berbual menceritakan kisah-kisah silam, lebih seronok lagi jika dapat pula bertemu dengan orang tua-tua di kampung serta juga sanak saudara yang telah sekian lama tidak bersua muka.

Fenomena balik kampung merupakan satu nikmat besar yang tidak dapat dinikmati oleh mereka yang tiada kampung halaman atau yang tidak pernah meninggalkan kampung, iaitu mereka yang dilahirkan di kampung Y, bersekolah/membesar di kampung Y,bekerja pun di kampung Y, berkahwin dengan orang kampung Y akhirnya tua dan meninggal dunia di kampung Y, mereka seperti ini mungkin tidak atau tak berapa faham erti/nikmat balik kampung. Dalam hal ini ertinya semakin jauh seseorang itu merantau meninggalkan kampung halaman tumpah darahnya maka sepatutnya semakin besarlah nikmat balik kampung yang dapat dikecapi olehnya.

Cuma kadang-kadang tanpa dirancang dan tanpa dipinta dengan faktor perubahan masa serta pertukaran suasana/tanggungjawab kerja,maka peluang untuk selalu dapat balik kampung seperti dulu-dulu menjadi semakin sukar, misalnya sebaik saja tarikh untuk berangkat telah ditetapkan, maka lepas tu mailah macam-macam hal menjadi penghalang umpamanya pada tarikh tersebut ada orang kampung nak menikah, nak buat kerja kawin, nak buat tahlil, nak bertunang/terima belanja, yang sakit nazak tunggu masa nak meninggal, ada mesyuarat masjid/JKKK/khairat kematian/jabatan, kursus, seminar, orang nak mai rumah dll. - Namun insyaAllah, biasanya dalam perkara yang baik Allah SWT akan berikan pertolongan dan lorongkan kemudahan, terutamanya jika yang baik itu berkaitan dengan ibubapa kita.

Situasi balik kampung seperti tersebut di atas mungkin akan berubah sedikit demi sedikit setelah tempat dimana kita merantau tersebut kini telah bertukar menjadi kampung pula kepada anak-anak kita (tempat mereka dilahir/dibesarkan), justeru itu kini nikmat balik kampung telah jadi nikmat berganda, pertama nikmat menanti anak-anak balik ke kampung mereka, seterusnya yang kedua membawa anak-anak/kelurga balik
kampung kita. Malah, jika umur panjang mungkin dapat merasai triple nikmat balik kampung - Ok, selamat balik kampung. Jumpa lagi.

Friday, October 22, 2010

Menu Menyorok TK Dulu2

Menu sarapan pagi TK dulu-dulu ialah pek nga (lempeng - tanpa minyak atau letak minyak semasa tempek di belanga)dicicah dengan kari semalam atau gula, susu pun boleh;cucoq kodok (masin/manis atau pisang/keledek);nasi goreng (minyak kelapa + garam); nasi perangat (panaskan nasi sejuk kosong); lempeng pisang; goreng pisang/keledek; bihun goreng (mesti masuk sotong tin); sekali-sekala bengkang ubi; bengkang tumis; cucoq badak; ketayap; buah melaka; apam betawi; tepung talam; pulut sekaya; pulut udang ;pulut panggang/bata; mertabak spesel; tepung bungkus; lepat pisang; lengat pisang; pulut dakap; cara; apom; puteri mandi; lompat tikam; qasidah; mageli; popia; roti canai dll. Menu yang sekali-sekala tu akan lebih kerap ditemui dalam bulan puasa. Zaman tu belum lagi kenal mee kuning, di Pendang tah ada tah tidak dijual pun tak tahu, mungkin ada sebab restoran mamak ada jual mee goreng zaman tu. Nasi lemak tak pernah buat pun, begitu juga mi goreng/kuah, sandwich dan nasi goreng spesel,donat,karipap,kuih lapis memang tak jumpa, dtg Melaka baru selalu jumpa. Ok, jumpa lagi.

Sunday, September 5, 2010

anak-anak budak PN

30 tahun dahulu iaitu pada era sebelum tahun 70-an PN merupakan sebuah kampung pedalaman yang tersorok kerana pada zaman tersebut ia hanya boleh dihubungi oleh sebatang jalan tanah merah yang sempit menyusuri ladang getah dan sawah padi yang berlubang-lubang serta becak pada musim hujan,tanpa bekalan air bersih dan tenaga elektrik. Kampung-kampung lain di sekitar yang senasib dengan PN ialah Kg.Lahar Batu,Paya Nedam Pak Da Budoi dan Banggol Tambak. Pada zaman tu yang PN ada hanyalah sebuah surau usang. Sekolah rendah,masjid dan balai raya kena tumpang Kg.Paya Kerchut punya. Jarak dari rumah TK ke SK Paya Kerchut(SK Hj.Mad Dahan) ialah lebih kurang 5km dan masjid 6km.

PN boleh didatangi dari jalan besar Pendang- Sg.Tiang iaitu susur masuk melalui Pondok Gajah Mati ataupun melalui Pondok Chegar seterusnya ke Paya Kerchut atau susur masuk dari jalan besar Pendang- Jenun melalui Kg.Ayer Putih Dalam. Mulai akhir tahun 70-an dan awal 80-an barulah PN dapat air paip serta elektrik serta sebatang jalan tar mini. Ada satu cerita tentang bagaimana PN boleh dapat jalan tar mini ini,iaitu pada satu tahun semasa Arwah Pak Lang Hj.Hamad masih ada (bekas ketua penerangan UMNO bahagian Pendang serta kenalan rapat Dr.Mahathir) tiba-tiba tersebar dan heboh cerita mengatakan Dr.M akan bertandang ke PN untuk melakukan ibadah korban di sana, maka JKR pun agaknya kelam kabutlah melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf jalan merah PN kepada jalan tar mini.Apabila jalan dah pun siap entah mengapa Dr.M tak dapat datang pulak, oklah yang penting orang PN dapat jalan baru yang jauh lebih selesa. Maka sejak peristiwa itulah PN pun tidaklah lagi rasa terpencil kerana jalan tersebut sentiasa digunakan siang malam oleh penduduk kampung sekitar yang menjadikannya jalan pintas menuju ke destinasi masing-masing.


Masa TK dan BT mula-mula pindah dari Pondok Gajah Mati ke PN dulu cuma ada 14 buah rumah saja di PN ketika itu, iaitu rumah TK, Tok Bakar, Tok Salleh, Pak Lang Kadir, Tok Yaakob, Tok Chik Timah, Pal Long Ail, Tok Saad, Md.Sin, Tok Minah, Tok Mek Mah, Chu Nui, Tok Mek Ka dan rumah Salleh Lemaga. Pada tahun 70-an meningkat kepada lebih kurang 25 buah seterusnya kini ada 40 buah rumah, mungkin lebih. Kini semua rumah orang PN mempunyai motosikal malah ada yang sampai 3-4 buah, ada juga yang berkereta,
begitulah juga dengan anak menantu masing-masing, malah anak sek.ren. dan tadika pun dah pandai bawa motor.

Pada era 60-an dan 70-an ramai juga budak PN yang tercicir dalam pelajaran peringkat rendah serta menengah kerana pelbagai faktor. Sebelum tahun 50-an (sebelum merdeka) memang tiada seorang pun budak PN yang belajar di sekolah menengah, berikutnya mulai tahun 50-an terdapat 3 orang yang berjaya menyambung pelajaran di sekolah Inggeris iaitu Aminah School di Alor Setar mereka ialah Pak lang Razak, Pak Njang Khalid dan Hassan Yaakob. Seterusnya pada tahun 60-an Pak Chik Wafi pula berjaya memasuki tingkatan 1 di Sek.Asrama Penuh Sultan Abdul Halim Jitra (SMSAH). Tahun-tahun selepasnya semakin ramailah budak-budak PN yang dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah khususnya di Pendang, Alor Setar (Maahad,Datok Syed Omar dan SM Teknik) serta KIK Kelang pun ada.

Ada juga kalangan budak PN yang melanjutkan pelajaran ke seberang laut. Orang pertama ialah Arwah Pak Chik Md.Enoh yang pernah belajar di Mekah, orang kedua ialah arwah Pak Lang Razak di Mesir dan yang ketiga ialah Adnan cucu Tok Salleh anak arwah Pak Chik Lah di US dan terakhir ialah arwah Us.Faisol(meninggal ketika usia masih muda) anak Pak Long Md.Zen Mak Lang Rahmah lepasan Al-Azhar Mesir,Allahyarham Us.Faisol merupakan anak PN pertama memiliki ijazah dalam bidang agama - nasib baiklah PN ada dua orang pengganti Us.Faisol iaitu Ustazah Alawiyah Ijazah Syariah Insaniah A.Setar dan Us.Halimuddin(abang Budin) Ijazah Usuluddin dalam proses, pun di Insaniah.

Perkembangan seterusnya, melibatkan generasi ke 3 PN iaitu anak-anak budak PN, yang kebanyakannya tinggal di luar PN yang berjaya melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di luar negara seperti di Egypt/Mesir,India dan UK tidak ketinggalan juga di dalam negeri merangkumi pelbagai bidang seperti perubatan,pergigian,kejuruteraan aeronautikal/awam/elektrik,fisioterapi,dietatik,perakaunan,katering,pelancongan,agamadsbnya.

Sangat diharapkan agar kumpulan generasi ke 3 PN ini lebih ramai yang akan berjaya di peringkat pendidikan tinggi di dalam pelbagai bidang demi melonjak imej PN di mata umum. Walaupun sebahagian daripada warisan ke 3 ini menetap di luar PN tapi ingatlah sentiasa dari mana asal usul kita - pulanglah selalu/sesekali ke PN - ilmu dan harta dicari,sanak saudara dan silaturrahim keluarga sekali-kali usah diketepi - Ok,Jumpa lagi.

Tuesday, August 10, 2010

Orang Dulu Orang Sekarang

Oleh kerana Tuhan telah memberikan akal kepada kita,maka macam-macamlah perkara yang boleh kita buat sama ada yang dirancang terlebih dahulu atau pun yang secara ad hoc. Tuhan beri kita akal supaya digunakan bagi mengtauhidkanNya, antara perkara yang wajib diesakan/ditauhidkan ialah perbuatan Allah SWT,tapi oleh kerana manusia ni memang bodoh (tidak semua) maka sesudah menerima anugerah nikmat akal daripada Tuhan,dia dah lupa tak nampak Tuhan pulak (bukan semua),iaitu dia mendakwa semua apa yang dibuat olehnya itu adalah dengan kuasa dan kehendak dia sendiri,dah diputuskannya pulak hubungannya dengan Allah dalam perkara ini,katanya dengan angkuh Tuhan dah beri kita kudrat dan akal maka suka hatilah apa kita nak buat pun,masyaAllah. Maknanya di sini dah ada dua kuasalah,kuasa Tuhan dan kuasa makhluk,maksudnya pada dia dah tak ada lagi esa/wahdaniah sifat Kudrat dan Iradat pada Allah SWT - Ini kes berat ni!

Sebagai khalifah di muka bumi berbagai-bagailah tanggungjawab yang kita kena laksanakan seperti belajar,cari rezeki,didik anak isteri,menjaga kebersihan,berjiran,bermasyarakat memimpin dan mengurus itu ini. Namun dalam keghairahan menjadi khalifah ni ada satu fakta tauhid yang kita kena selalu ingat iaitu pada zahir sahaja seolah-olah kita yang membuat semua tersebut di atas tu,tapi pada hakikatnya Allahlah yang buat dengan Kudrat serta IradatNya. Kita hanya disuruh berusaha tapi semua usaha kita tidak memberi apa-apa bekas pun, jika berusaha dapat pahala jika tidak berusaha dapat dosa - Buatlah nak buat apa pun, nak ke bulan,ke bintang,ke Marikh, ke dasar lautan,ke puncak Everest, nak jadi superman,apa saja!,asalkan bukan yang Allah larang. Khalifah lah katakan. Cuma kenalah dijaga iktikad KEESAAN seperti dinyatakan di atas, itu saja bukan susah sangat pun.

Orang dulu-dulu selalu berkata dunia ini hanya sandiwara,jika ia sandiwara maka kitalah pelakon-pelakonnya,bukankah sebagai pelakon kita tak boleh nak pandai-pandai/memandai, pelakon ikut dan patuh sajalah apa-apa yang diarah buat olah pengarah sandiwara seperti mana yang tertulis di dalam skrip,jika pelakon cuba nak ubah-ubah sendiri alamat kena pecatlah jawabnya - So, jika dunia ini pentas sandiwara, manusia ialah para pelakonnya, siapa pengarahnya? Tentulah Allah SWT. Nampaknya dalam konteks ini walaupun dari satu segi orang dulu-dulu tak berapa maju dalam aspek kehidupan duniawi namun mereka jauh lebih faham tauhid berbanding orang sekarang.

Topik yang diperkatakan ini jika nak diibaratkan,ianya macam keretalah,iaitu
macammana besar serta mahal pun kereta tu,macammana canggih pun teknologi enjinnya,macammana handal pun pemandunya ia tetap tak akan dapat bergerak jika tidak dimasukkan minyak petrol ke dalam tangkinya, kereta manusia yang buat enjin manusia jugak buat,petrol siapa buat manusia ke Allah? manusia hanya tukang ambik saja petrol dalam perut bumi,tu pun masih ramai yang tak sedar diri - Kalau tak faham Quran,kalau tak faham hukum akal,justeru takkan nak fikir cara logik hukum adat seperti di atas pun tak reti jugak,katanya orang sekarang banyak pandai,apa pandai?

Ingat! isu berkaitan tauhid ini bukan hal kecik, ini soal sama ada beriman atau kufur,bukan perkara boleh dibuat main-main cincai-cincai, dosa-dosa lain semua Allah ampun kecuali dosa syirik/menduakan Allah - Sempena ramadhan tahun ni pada yang belum mengaji taudid Imam Abu Hassan AsShaari dan Abu Mansur Mathuridi eloklah tanam azam lepas raya nanti nak pergi mempelajarinya hingga khatam,ambillah peluang sementara nyawa belum berpisah dengan badan,atau bertekadlah jika tidak sekarang satu hari nanti akan kucari juga ilmu iktikad ini, sabar perlahan-lahan, sikit-sikit lama-lama jadi bukit - Sekian selamat berpuasa. Wassalam.

Friday, August 6, 2010

Nostalgia - Pak Ngah Kasim

Ada beberapa orang kampung PN yang cukup rapat dengan keluarga kita, jika ada kenduri-kendara,sakit-demam atau apa saja orang-orang inilah yang dulu sampai dan akhir balik.Cukup mudah minta tolong dengan mereka ini tak kira siang atau malam - ini mungkin kerana mereka telah berkawan dengan Babatok dan Tok Kedah sejak dulu-dulu lagi,ada sesetengahnya masih kanak-kanak semasa BT dan TK berpindah ke PN dari Pondok Gajah Mati, sementelahan pula TK lah yang mengajar semua atau sebahagian daripada anak-anak mereka mengaji Muqaddam dan Quran hingga khatam 30 juz, atau kerana pada anggapan mereka BT tak ubah macam 'abang sulung' kalau pun tidak sebagai pengganti 'ayah' mereka.

Antara mereka yang tergolong seperti di atas ialah keluarga Pak Ngah Kasim,Pak Teh Sahak,Pak Njang Kelantan/Njang Lembut,Pak Su Halim,Abang Awang Pak Long Mihat,Pak Lang Hasan Pak Long Mihat, Chu Man dan lain-lain lagi, yang lain pun baik-baik belaka serta respect juga dengan BT dan TK cuma tidaklah serapat seperti mereka yang tersebut di atas.

Dalam kalangan tersebut,Arwah Pak Ngah Kasimlah antara yang paling akrab dengan BT, anak-anak beliau semuanya belajar Quran dengan TK iaitu Rokiah,Rohani,Masitah,Mahmud,ZainulAbidin,Zamnah dan Rohaiza cuma yang bongsu iaitu Pak Su Di sorang saja kut yang terkecuali,tak sempat kerana TK dah bersara.Malah Rokiah khabarnya pun menjadi guru mengajar Quran di tamannya di Sg.Petani- Apabila anak murid berjaya menjadi guru itu tandanya beberkatan guru.

Bukan Pak Ngah Kasim sorang saja yang senang diminta tolong,malah isteri beliau Ngah Meah serta anak-anak mereka berdua seperti tersebut di atas semuannya cukup mudah memberi pertolongan jika diminta. Misalnya,jika BT hendak ke mana-mana pada waktu malam maka PNK lah yang akan menjadi pemandu motosikalnya, Rohani atau Masitah pula akan diminta menunggu rumah jika BT dan TK balik ke Kilang Lama dan sebagainya. Mud dan Non pula pernah mengembala lembu BT bersama-sama Baba dan Pak Chu Basir selama berbulan-bulan tanpa bertanya tentang upah serta ibu bapa pun tidak pernah mempersoalkan apa-apa. Bayangkanlah jika keadaan itu berlaku pada zaman sekarang,tentu bermacam-macam tohmah dilemparkan - tapi memang adalah TK berikan ganjaran tertentu kepada Mud dan Non cuma bukan dalam bentuk wang ringgit saja, maksudnya ialah orang berbudi kita berbahasa.

Masa arwah PNK ada dulu, semua perkara jadi beres, beliau macam penyelesai masalah, jika ada yang tak beres serahkan saja pada beliau tentu akan beres, keistimewaan PNK ialah selain ringan tulang beliau juga merupakan seorang tukang rumah, pawang, tukang masak orang kawin,fasih cakap Siam dan lain-lain lagi.Rumah PNK ialah berhadapan rumah Pak Teh Sahak di sebelah rumah Pa dan Chik Jab. - Untuk keluarga PNK semua,sumbangan kalian tidak terbalas dan akan selalu kami kenang. AlFatihah untuk PNK. - Jumpa lagi, wassalam.

Friday, July 9, 2010

Budak-Budak PN ( 2 )

Budak-budak PN semuanya bersekolah rendah di SK Paya Kerchut (SK Hj.Md.Dahan). Setiap pagi berjalan kakilah ramai-ramai ke sekolah, ada juga yang berbasikal sendiri, ada yang dihantar oleh bapa dengan basikal atau motosikal. Masa tu tahun 60-an dan awal 70-an budak-budak PN memang ada yang rajin pergi sekolah dan ada juga yang tak berapa rajin. Ada satu kes seorang budak ayah dia hantar ke sekolah dengan basikal, satu pagi apabila tiba di gon Salleh Lemaga budak ni pun terjun daripada basikal bapanya lari masuk ke dalam getah tua semak, terus lesap.

Setelah tamat darjah 6 (ada juga yang tidak tamat,separuh jalan saja), sambung tingkatan 1 di SMK Pendang, tu jam belum lagi ada SMK Ayer Putih Dalam, maka kenalah naik basikal tiap-tiap hari ulang alik ke Pendang pergi balik lebih kurang 20km. Nak naik bas Mara kena tunggu di Ayer Putih, jadual bas pulak tidak menentu, kadang ada kadang tak ada, dari rumah ke Ayer Putih naik apa pulak? Banyak masalah. Akhirnya, tak berapa kerat budak PN yang pergi menyambungkan pelajaran di Pendang, masalah kewangan pun satu perkara lagi. Era tersebut semua rumah orang PN menpunyai basikal, tapi hanya dua tiga rumah sahaja yang ada motosikal, kereta jauh sekali, hanya Arwah Pak Lang Kadir sahaja yang ada kereta. Maka ramailah yang 'terpaksa' tercicir dalam pelajaran. Ada juga yang menyambung pelajaran di Sekolah Arab Banggul Tambak dan Pendang.

Jika tak silap hanya ada tiga keluarga saja masa tu yang mewakili budak-budak PN lain yang menghantar anak-anak dari peringkat menengah hingga ke universiti iaitu keluarga arwah Pak Chik Mat, keluarga arwah Pak Chik Lah Tok Salleh dan keluarga Pak Long Md.Zen Mak Lang Rahmah, itu pun kerana bersekolah menengah di Alor Setar tinggal di asrama/rumah sewa, jika bersekolah di Pendang naik basikal tiap-tiap hari agak tak taulah apa nasibnya. Tapi Pak Chu Basir berbasikal dengan 3 orang kawan selama 3 tahun mengharungi hujan dan panas dari PN ke Pendang dari tingkatan 1 - 3, tingkatan 4-5 motosikal ganti basikal, dan akhirnya berjaya jugak, kira macam ajaiblah jugak.

Dalam keadaan penuh cabaran begitu, akhirnya ada juga budak-budak PN zaman tu dan sebelumnya yang berjaya jadi konduktor bas, pegawai parit dan tali air, pegawai polis, pengurus estet,pengetua,guru,kemahiran dan sebagainya. Dan budak-budak PN era 80-an dan seterusnya lebih bernasib baik kerana PN dah ada macam-macam kemudahan, sekolah menengah pun dah dekat,pengangkutan pun bukan masalah lagi, tinggal mahu rajin belajar atau malas belajar sahaja, kewangan pun dah tak lagi menjadi masalah utama. Kini tiap-tiap hari nampak berderet-deret budak-budak PN yang ke sekolah menengah dengan motosikal, kalau ada pun basikal ia hanya untuk main-main naik dalam kampung sahaja. Begitulah, harap pada masa depan akan ramailah lagi budak PN yang dapat masuk universiti dan seterusnya menjawat pelbagai jawatan tinggi atau menjadi usahawan berjaya - Seronok serta bangga jadi budak PN. Terima kasih PN - OK jumpa lagi,insyaAllah.

Monday, June 28, 2010

Babatok ( 3 )

BT merupakan salah seorang imam surau PN, imam-imam lain ialah Arwah Pak Chik Md. Enoh,Arwah Pak Lang Hj.Hamad dan sekali-sekala Pak Ndak Dahman, imam sekarang ialah Md.Yazid dan 1-2 orang yang lain. BT juga merupakan orang 10 Masjid Paya Kerchut (pegawai syarak/AJK).

BT berkahwin mungkin sekitar umur awal 30-an dengan TK yang berumur 18 tahun. Waktu itu BT baru pulang selepas merantau ke Pattani lebih kurang selama 2 tahun di sana, perantauan BT tersebut ibarat balik ke negeri asal, macam-macam peristiwa di Pattani yang sering BT cerita kepada kawan-kawannya, memang seronok tumpang sama dengar cerita-cerita tersebut.

Pakaian harian BT ialah kain pelikat bersama baju melayu butang tangan panjang separuh lengan dan ketayap putih, jika ke kampung lain atau ke Pendang dll barulah memakai baju melayu biasa serta berserban, jika berbuka puasa mesti ada kurma, minum kopi O panas, suka makan lempeng TK atau roti Kelin Mokhtar cicah kuah kari. Kemana-mana naik basikal, awal 1970-an baru beli motosikal Honda 70cc nombor pendaftaran KC 9619.

Terdapat 2 buah pondok berhampiran PN iaitu Pondok Gajah Mati dan Pondok Chegar, jarak antara kedua-dua pondok ini cuma lebih kurang 1km sahaja. Guru Pondok Chegar ialah Tok Guru Hj.Awang, beliaulah yang mewakafkan tanah kepada Tok Yah Doi yang menjadi tapak Pondok Gajah Mati sekarang ni. Tok Guru Hj.Awang ni pulak sepupu dengan Cher ('chair') Hj Said b. Mohd iaitu datuk TK yang menjadi kadi Kulim masa tu, semua mereka suami dan isteri berasal dari Pattani.

Anak Tok Guru Hj Awang ialah Tok Guru Hj Mohd. Robab (beliaulah yang memilih nama Abd.Bari kepada BT untuk diletakkan kepada anak no.6nya), dan kini anak beliau Tok Guru Hj Sulaiman (dah uzur, mungkin kita boleh ziarah beliau satu hari nanti) yang menguruskan Pondok Chegar, so sama ada nasab sebelah BT atau TK memang kita semua berasal usul dari Pattani. Simpanlah azam agar satu hari nanti kita dapat memijak tanah Negeri Pattani walaupun cuma untuk seketika yang tentunya akan menjadi satu saat yang cukup nostalgik dan penuh bermakna - baba telah merasai pengalaman unik ini kira-kira 10 tahun lalu semasa dalam perjalanan pulang dari Phuket, singgah di Masjid Gersik yang terkenal itu, lalu menanggalkan kasut terus memijak tanah pattani sambil bermonolog sendirian bahawa inilah tanah tumpah darah datuk nenekku - Sekian, jumpa lagi

Tuesday, June 15, 2010

Babatok (2)

Babatok (BT) tidaklah garang sangat, tapi anak-anak memang takut,budak-budak kampung pun takut kat dia,garang dia pun garang bertempat,tidaklah dia jenis suka baran tak tentu pasal.Paling dia pantang jika kita berkelahi adik beradik (itu yang nak kena masuk dalam guni tu) atau jika berkelahi dengan jiran dan jika apa yang kita buat menyalahi syarak serta adat resam memanglah kena marah/tengking, pernah satu hari dia pergi tengking sekumpulan orang kampung tua/muda sedang laga ayam, habis berterabur lari,ayam pun cabut lari sama. Dengan anak-anak dia tak ada nak gurau-gurau, jika dia nak suruh buat sesuatu suruhlah saja, jika dia nak cakap sesuatu cakaplah saja,tapi memang jarang/tak pernah dia saja2 nak bercakap dengan anak-anak,suruh belajar suruh baca buku suruh mengaji Quran pun tak pernah,sebab falsafah BT ialah duri di hutan boleh tajam sendiri tanpa perlu ada sesiapa pun menajamkannya - begitulah BT. Jika Tok Yah Doi lagi pulak bukan saja nak bercakap takut,nak pandang mukanya pun takut,orang tua pun takut. Paling nak jaga ialah jika BT sedang tidur siang hari dalam bulan puasa,janganlah bising tak tentu pasal hingga dia tersedar daripada tidur alamatlah ada yang kena tengking petir - Tapi BT hanya garang dengan anak-anak semasa kami kecil hingga umur darjah 6 saja, bila dah naik tingkatan satu dan seterusnya dia taklah garang lagi.

Masa BT masih ada dulu boleh dikatakan hampir setiap hari ada orang/tetamu datang rumah, tak datang pagi petang datang,malam pun ada yang datang,tak orang jauh orang dekat datang,paling tidak pun jiran sekampung yang datang,maka berbual dan berceritalah tentang pelbagai perkara,baba pun tumpanglah sekaki menjadi pendengar setia. Sebab agaknya BT ialah anak tok guru serta abang ipar Pak Chu Him maka banyaklah kawan dan kenalan dia tak kira tua dan muda, sebut Pak Chik Mat Paya Nedam semua orang kenal. Lagi pun orang dulu2 cukup hormat dengan tok guru hingga anak tok guru pun turut dihormati sama, lebih-lebih lagi hampir semua tok guru pondok lain,imam-imam,lebai-lebai kampung di daerah Pendang, Sik, Baling dll semuanya pernah belajar di Pondok Gajah Mati. Namun kekuatan sebenar BT ialah kerana dia seorang yang peramah,pemurah serta cukup menghormati orang lain. BT boleh bercakap negori dengan fasih hingga orang NS sendiri pun tak sangka BT orang Kedah sebab BT banyak bercampur dengan orang NS yang memondok di Gajah Mati, BT juga boleh bercakap bahasa Banjar dan Mandailing dengan baik melalui percampuran dengan mereka, itulah antara keistimewaan BT yang mungkin jarang terdapat pada orang lain.

Rutin harian BT ialah beri ayam makan padi dua kali sehari pagi dan petang, kadang-kadang dia ke ladang getah menebas semak atau membetulkan pagar yang roboh,kadang-kadang dia pikul senapang laras dua buatan Belgium keliling kampung tembak tupai yang datang makan kelapa atau tembak biawak yang makan anak ayam, jika ada kenduri kawin di Paya Nedam atau di kampung-kampung sekitar maka BTdan kumpulannya akan berzanji dan marhaban,satu lagi hobi BT ialah menggomol anak kucing, jika dia terjumpa dengan anak kucing/kucing dimana-mana memang lunyailah kucing tu terkiak-kiak digomolnya, sambil tu dia ketawalah menengok anak kucing tu jadi tak tentu harah - Seronok jika BT masih ada - OK jumpa lagi.

Wednesday, June 9, 2010

Babatok

Babatok (BT) meninggal dunia pada tahun 1979 pada usia 72 tahun. Pada hari tersebut arwah Awang Pa'K' ada membuat kenduri arwah/aqiqah (rumah arwah berhadapan dengan ladang getah yang Maklang toreh tu), pada sebelah pagi BT datang sembelih kambing, kemudian pulang ke rumah. Petangnya,selepas asar BT baru datang semula untuk makan. Lepas makan biasanya tidak terus balik, dia akan berbual dan bercerita dulu dengan rakan-rakan, dia ada banyak cerita, semua orang suka nak dengar cerita dia. Dah nak hampir maghrib barulah BT balik. Tiba-tiba motosikal yang ditunggang membelok perlahan ke arah kanan jalan dan terus rebah di atas pokok-pokok pagar anak di gigi jalan di hadapan rumah anak Saari yang sempadan dengan ladang getah Pak Chu Him tu, demikianlah menurut cerita Rohani Pak Ngah Kasim yang kebetulan sedang mengikuti BT dari belakang dengan suaminya Nawi. Rohani ialah anak murid Tok Kedah (TK) mengaji Quran. Merekalah yang tolong angkat/pangku BT dan Rohanilah yang berlari kira-kira 200m ke rumah TK memaklumkan kejadian berkenaan. Kecohlah malam tu, ada yang kata BT belum meninggal ada yang kata dah meninggal, tapi sebenarnya mungkin BT dan meninggal di tempat dia terjatuh tersebut. BT pernah bercerita bahawa Syeikh Kadir (seorang ulama) pernah memberitahu Bahawa BT akan meninggal dunia dengan penyakit pening (darah tinggi) sahaja. Memang pun BT tiada apa-apa penyakit lain semasa meninggal. BT mengamalkan berbekam pada setiap tahun.

BT mempunyai 4 orang adik beradik, yang sulung ialah Pak Long Hj. Hussin Pondok Guar Cempedak, beliau merupakan guru pondok, guru istana dan seorang aktivis politik level negeri, adiknya ialah Pak Ngah Hj. Hassan Al-Hafiz Pondok Hampar yang rumah sebelah masjid tepi sungai tu, Pak Ngah Hassan selalu pergi pasar Pendang menaiki bas mara untuk membeli lauk pauk, apabila drebar bas nampak dia mencangkung di tepi jalan terus berhenti tanpa perlu ditahan lagi, balik pun sama. Diikuti oleh BT dan yang bongsu ialah Mak Su Nab (Zainab) isteri Pak Chu Him Pondok Gajah Mati/Pondok Bawah. Ayah BT ialah Tok Yah Doi (Hj.Ismail b. Mustafa) berasal dari Kg.Anak Tanjung Pattani Selatan Thailand dan ibu BT ialah Tok Mek Ji (Hjh.Kalsom bt.Muhammad) juga berasal dari Pattani. Tok Yah Doi ialah pengasas Pondok Gajah Mati.

Dari segi fizikal saiz BT macam Pak Chu Basir atau macam Pak Njang Khalid, agak besar dan tinggi. ada tahi lalat hidup di sebelah hidung bawah mata. Kegemarannya ialah hisap curut cap ikan, kelebihannya ialah dalam bidang berzanji dan marhaban. Ok dulu, jumpa lagi.

Friday, May 28, 2010

Budak-Budak PN

Budak-budak Paya Nedam (PN) yang menjadi kanak-kanak atau remaja sekitar era 60-an dan 70-an atau sebelum itu, boleh dikatakan semuanya tidak ada yang takut kepada hantu (mungkin adalah yang takut sikit-sikit tapi tidaklah sampai nak melangkah pun takut). Zaman tersebut PN belum lagi ada lampu elektrik,air paip dan jalan mini tar seperti sekarang, masa tu yang ada ialah jalan mini tanah merah yang akan becak,berlumpur serta dipenuhi lopak air semasa hari/musim hujan malah ada di tempat-tempat tertentu jalannya bergelung-gelung/berparit akibat hakisan oleh air hujan. Pada waktu malam bulan 30 suasana PN masa tu memang gelap gelemat/gelita, jika tiba-tiba lepas waktu isyak baru perasan gula,tepung,minyak kelapa atau curut cap ikan dah habis,maka anak-anaklah yang disuruh pergi ke kedai TokPek Yam,Hj.Awang Senapi (Ayer Puteh) atau kedai ArwahHj.Bedon (Paya Kerchut) untuk membeli barang-barang tersebut, bukannya boleh cakap takut,jika sorang takut pergilah dua orang,pergi tetap kena pergi jugak, zaman tu belum lagi ada motosikal, kereta jauh sekali, pergilah naik basikal, kalau kedai TokPek Yam jalan kaki pun boleh, suluhlah jalan dengan lampu picit itu pun jika baterinya masih ok sebaliknya jika cahaya yang keluar malap bak api curut cap ikan saja maka lebih baik bawa pelita tanglung saja dan jangan lupa bawa sebatang kayu/buluh jika terserempak dengan ular kapak boleh terus bantai, itu pun jika sempat nampak dulu ular tu,jika dah terpijak dulu baru nampak maka berangkatlah malam tu ke hospital Alor Setar duduk wad 7.

Kanak-kanak PN zaman tu jika penakut maka pada malam hari apa benda pun tak dapat dibuat,tidur sajalah yang boleh, seperti tak dapat nak ke surau bulan ramadhan,tak dapat pergi nonton tv di rumah Paklang Kadir, tak dapat pergi tahlil di rumah jiran, tak dapat pergi ngaji Quran dll. - Maksudnya,suasana dan persekitaran masa tu menjadikan budak-budak PN mahu tak mahu kena jadi berani.

Terdapat beberapa lokasi dalam PN yang dikatakan ada penunggu dan memang pun meremang bulu roma setiap kali melintasi tempat-tempat tersebut lebih-lebih lagi pada malam hari seorang diri pulak. Jika dari rumah Tok Kedah (TK) menghala ke arah matahari naik lokasi seram pertama ialah sempadan TK dengan rumah Pakteh Mat Lembik iaitu di kaki gon/bukit berkenaan, lokasi kedua ialah di selekoh atas gon tersebut yang masa tu ada sebatang pokok cempedak kilas serta sebatang pokok remia/kundang yang merimbun, seterusnya di kawasan berhutan antara rumah Arwah Paklong Yaakob dengan selekoh PakChik Mat Enoh, berikutnya ialah di gon Arwah Salleh Lemaga (Abang Arwah PakTeh Sahak) iaitu sempadan PN dengan P.Kerchut. Adalah beberapa cerita/insiden menyeramkan berlaku di tempat-tempat berkenaan seperti yang pernah diceritakan oleh Arwah PakTeh Sahak serta beberapa orang lain. Malah di gon Arwah Salleh Lemaga jika nasib tak baik hingga sekarang pun boleh terjumpa perkara pelik seperti ramai orang berpakaian serba putih berarak memenuhi jalan mengusung keranda waktu tengah malam/awal pagi.

Kalau kita boleh nampak hantu, maka rupanya mungkin samalah seperti yang sering dipaparkan melalui siri-siri seram/drama dalam tv - sama ada boleh dilihat atau tak boleh dilihat apa yang nak ditakutkan, belum ada lagi kita terdengar di mana-mana pun ada hantu yang pukul,bunuh atau samun orang (yang guna hantu melalui sihir adalah,itu cerita lain) .
Hantu ni ialah sejenis makhluk yang dilaknat oleh Allah SWT, hantu/syaitan/iblis ialah musuh Allah dan musuh orang Islam/Mukmin, tak perlu kita takut kat dia macam kita tak perlu takut pada orang kafir. Sebaliknya hantulah yang sepatutnya perlu takut kat kita orang mukmin - Jika kita melaksanakan solat dan puasa serta lain-lain, dan telah ada ilmu tauhid dan tasauf di dada insyaAllah tak ada sekor hantu pun yang berani mau berjumpa secara sengaja atau tak sengaja dengan kita - Ada sebuah peristiwa, pernah pada satu malam semasa baba berumur lingkungan awal 20-an, berbasikal seorang diri balik dari Pondok Gajah Mati (Pondok PakChu Him) jam 3.30 pagi melaui beberapa tempat yang dikatakan 'keras' seperti di simpang masuk ke Kg. Paya Nedam Pak Da Budoi, rumah Pak Long Li, pokok gerko, gon Salleh Lemaga dan seterusnya, Alhamdulillah selamat sampai ke rumah tak ada pun hantu yang cuba datang menyakat. Cuma pesan arwah Babatok jika pergi ke mana-mana seorang diri terutamanya waktu malam bawalah senjata tajam (besi) paling tidak pun sebatang paku pun jadi, kerana katanya syaitan takut besi/senjata.

Ok, sekian dulu.

Sunday, May 23, 2010

Iktikad yang Jazam

Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, disusuli pula dengan kewafatan seorang demi seorang para sahabat,tabiin dan pengikut-pengikut tabiin, maka telah muncul di dalam masyarakat pelbagai aliran fahaman yang pelik-pelik khususnya dalam ilmu tauhid yang bertentangan dengan Quran, Hadis dan Ahli-Sunnah-Waljamaah seperti fahaman muktazilah, jabariah, qadariah, mujassimah, musabbihah dan sebagainya. Sebuah hadis Nabi yang mafhumnya : Pada akhir zaman kelak umatku akan berpecah kepada 73 puak, hanya satu yang benar iaitu Ahli-Sunnah-Waljamaah - Yang 72 lagi sesat belaka.

Pelbagai tafsiran yang batil tentang zat, sifat, asma’ dan perbuatan Allah taala disebarkan di dalam masyarakat oleh puak-puak ini – maka seandainya kita tidak mempelajari / mendalami ilmu tauhid (ilmu sifat 20) dengan guru-guru yang mahir/ ahli secara berkitab maka pada adatnya begitu sukar untuk kita menghindarkan diri daripada terjerumus ke dalam perigi buta salah satu / beberapa daripada fahaman-fahaman karut berkenaan.

Dalam kemelut ini mujurlah telah bangun Imam Abu Hassan As-Shaari dan Imam Abu Mansur Al Maturidi yang telah menjawab dan membetulkan penyelewengan akidah yang dilakukan oleh puak-puak tersebut – Ingatlah bahawa awal-awal agama ialah mengenal Allah, tauhid ialah semulia-mulia ilmu. Bahawa Allah hanya menerima keimanan / iktikad kesimpulan iman yang jazam ( yang tiada syak, zan dan waham) sahaja dan tidak taqlid buta tuli.

Oleh itu, maka gigitlah ilmu tauhid / sifat 20 ini dengan gigi gerahammu wahai muslimin dan muslimat iaitu aqidah yang berteraskan kepada Imam As-Shaari dan Imam Maturidi yang menjadi dasar pegangan tauhid Ahli-Sunnah-Waljamaah – Cuba kita khatamkan kitab Risalah Tauhid dan Qatrul-ghaisiah di rumah sebelum masa lapang yang ada menjadi bertambah sibuk atau ketika muda sebelum tua – Ok jumpa lagi, insyaAllah.



Monday, May 17, 2010

Memahami Perkahwinan

Biasanya sesebuah perkahwinan itu didirikan atas dua asas penting iaitu kasih sayang dan belas kasihan, sama ada kedua-dua asas ini wujud sebelum akad atau selepas akad itu soal lain. Namun, selepas beberapa minggu atau beberapa bulan atau beberapa tahun, kejayaan perkahwinan tersebut bergantung pula kepada dua faktor penting iaitu perkongsian dan pengorbanan. Perkahwinan ialah perkongsian hidup antara suami dengan isteri, iaitu berkongsi pendapatan, tempat tinggal, kenderaan, perasaan, kesenangan, kesusahan, harta, suka, duka dsbnya. Perkahwinan juga sangat memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan ianya akan menjadi sukar. Banyak rumah tangga yang akhirnya runtuh kerana sisuami dan siisteri masing-masing enggan melakukan pengorbanan, iaitu masing-masing tidak mahu mengalah. Malah perlu diingat, bahawa pengorbananlah satu-satunya cara terakhir bagi menyelamatkan sesebuah perkahwinan yang bermasalah. Pengorbanan menjadi penting kerana sebagai insan yang serba lemah, maka kedua-dua pihak suami dan isteri mempunyai beberapa kelemahan dan kekurangan tertentu yang sukar diatasi/dirawat, maknanya ada kelemahan tertentu yang 'terpaksa' diwarisi sampai ke akhir hayat. Misalnya, jika kebetulan isteri tak pandai berhias, masakan tak pernah yang sedap, suka berleter, kuat cemburu, kedekut pulak tu dll maka suami
kenalah berkorban untuk menerima dan membiasakan diri dengan salah satu atau beberapa kelemahan isteri seperti tersebut. Sebaliknya, jika sang suami pula sangat suka mengeteh di warung, suka keluar malam, gemar menonton tv cerita hindustan, minat memetir dsb, maka kenalah pula isteri berkorban menerima hakikat ini - jika kedua-dua pihak enggan mengalah tak mahu menerima hakikat-hakikat ini maka ibarat retak menunggu belah - memang akan terbelah.

Kebanyakannya, dalam mana-mana perkahwinan pun, pada satu peringkat tertentu, kebahagiaan suami dengan isteri bukan lagi menjadi perkara penting kerana pada waktu itu yang lebih penting ialah kebahagiaan untuk anak-anak, seterusnya apabila anak-anak bahagia maka ibu bapa juga turut bahagia, maksudnya jika salah seorang atau kedua-dua suami isteri enggan melakukan pengorbanan maka pada adatnya semua orang dalam keluarga tersebut sukar mengecap erti kebahagian - malangnya ada pasangan yang gagal menguruskan takdir ini secara bijaksana, emosi dibiarkan menguasai rasional, begitulah Allah SWT menguji keimanan kita dalam urusan berumahtangga.

Moral kisahnya ialah, pilihlah bakal suami atau bakal isteri yang mempunyai tidak terlalu banyak sangat kelemahan dan kekurangan seperti tak tau baca Quran, tak tau sembahyang, tak tau memasak, tak tau menjahit, tak reti nak hormat orang, berbahasa kasar, suka mencarut, minat menjerit tak tentu pasal, tangkai jering, suka membetu, suka dedah aurat, hasad dengki, tak boleh lebih kurang, gemar pawang-memawang, malas mandi, tak suka dengar hal agama, canggih dll semua ada pada dia, susahlah macam tu. Elok carilah orang lain, banyak lagi.
Ok jumpa lagi, insyaAllah.

Monday, March 15, 2010

Pondok Sewa 23B

Jarak antara Maktab Mahmud (MM) dengan Paya Nedam ialah lebih kurang 35 km. Tidak mungkin boleh berulang-alik dari rumah ke sekolah tiap-tiap hari, iaitu dari rumah ke Ayer Putih Dalam
10 minit, tunggu bas mara datang 30 minit, perjalanan ke Pendang 20 minit, tunggu bas UTC 15 minit dan perjalanan ke Simpang Kuala 45 minit,turun bas berjalan kaki ke sekolah 15 minit, jumlah semua 135 minit.Agak mustahil. Pukul berapa mesti bangun tidur.Pukul berapa pula baru nak sampai Maktab Mahmud. Itu tahun 1971. Tapi memang ada budak-budak Pendang
yang berulang-alik ke Maahad naik bas UTC nombor 6, tak apalah mereka naik satu bas saja,
kalau naik bas pukul 6.00 pagi,pukul 7.00 dah sampai sekolah, jika naik bas pukul 6.30 pagi pun
masih boleh sampai sekolah sebelum loceng berbunyi.

Apabila diarahkan supaya meneruskan pelajaran menengah di Maahad pada tahun1971, maka
sudah tentulah kena tinggal di Alor Setar.Semasa tahun pertama dalam kelas persediaan/remove/ikdaadi 1 (masa tu MM ada dua tahun persediaan) tinggallah di Taman BB Park belakang Shell Simpang Kuala menumpang di rumah Ustaz Zakaria seorang guru di MM, iateri Us.Zakaria ialah Allahyarhamah Kak Khir anak Tok Long Hj.Hussin Che'Doi iaitu abang babatok. Abang Zakaria dah lama pencen, kini aktif mengajar agama di Kedah termasuk di radio. Lebih kurang setahun tinggal di situ bersama dengan Mahfuz, masa tu Jalaludin dan Tajudin
iaitu anak Us.Zakaria pun sedang belajar di MM.

Tahun berikutnya, pindah ke rumah/pondok sewa berhadapan dengan SMK Keat Hwa di jalan Kuala Kedah lebih kurang jaraknya 1km dari MM. Tinggal di rumah/pondok sewa tersebut bersama Mahfuz dan abangnya iaitu Hishamuddin (Us.Mad). Di sini terdapat 7 buah pondok
dan 2 buah rumah yang disewa kepada budak-budak Maahad. Tuan rumah-rumah sewa ini ialah Arwah Pak Usup dan isterinya Arwah Kak jam. Terkenal dengan nama pondok 23B. Lokasi 23B ini diapit oleh dua buah kedai runcit iaitu kedai runcit kepunyaan Pak Usup dan sebuah lagi milik seorang mamak.

Maka duduklah di 23B tu selama 3 tahun masak sendiri menggunakan dapur semawar guna kuasa minyak tanah. Ada 2 jenis dapur yang biasa digunakan waktu tu iaitu dapur minyak yang guna banyak sumbu kain benang macam pelita atau dapur semawar yang kena dipam macam dapur orang jual apam balik, dapur ini mengeluarkan bunyi yang agak kuat. Tiap-tiap hari makan nasi dengan sayur sawi dan ikan kering saja, sekali sekala adalah masak kari kadang bubuh santan kadang santah tah di mana, serta goreng ikan basah. Tiap-tiap pagi ada seorang penjual ikan Melayu dengan motosikal datang jual ikan dan sayuran. Satu atau Dua minggu sekali balik kampung ambil beras dan duit untuk belanja.Time paling mencabar ialah pada bulan
puasa iaitu kena masak sendiri lauk untuk berbuka dan bersahur. Inilah latihan hidup ketika umur 13 hingga 16 tahun, yang mungkin tidak dialami pun oleh peserta-peserta PLKN hari ni.

Waktu tu terdapat beberapa lokasi pondok sewa di sekitar MM, di jalan Kuala Kedah saja kalau tak silap ada 5 lokasi yang setiap satunya mempunyai tidak kurang daripada 5 buah pondok. Pondok-pondok ini berlantai dan dinding papan dan kebanyakannya beratap rumbia,apabila hujan turun bocor sana bocor sini, saiznya sama seperti pondok di Pondok-Pondok yang banyak terdapat di Kedah dan Kelantan. Ramai
pelajar MM yang menyewa di pondok yang berjaya di dalam pelajaran seterusnya menjawat pelbagai jawatan di dalam berbagai bidang termasuklah bidang profesional, misalnya Brigadier
Jeneral(B) Najmi Ahmad bekas pengarah KAGAT ialah salah seorang product 23B, malah boleh dikatakan semua pelatih PLKN 23B waktu itu berjaya dalam mengejar cita-cita masing-masing-sekian.
Jumpa lagi, wassalam.

Monday, March 8, 2010

Amalan Harian Kita

Antara tugas utama manusia setelah dicipta oleh Tuhan ialah untuk mentauhidkan Allah SWT.
Tauhid atau iman ialah berikrar dengan lisan,tasdiq dengan hati dan membuktikan dengan amal.
Dalam konteks amal, maka berikut ialah antara amalan-amalan harian yang perlu dilaksanakan
oleh individu muslim bagi menjamin kesejahteraan di dunia dan akhirat:

` solat 5 waktu
` puasa bulan ramadhan
` doa-doa harian
` zikir ayat-ayat AlQuran tertentu selepas solat
` minimum 100 selawat Nabi
` minimum 100 istighfar
` minimum 100 Qulhuwallah
` minimum 200 lailahaillallah
` membaca AlQuran
` sentiasa menutup aurat
` terus mendalami agama
` berbuat baik dengan ibu bapa
` berbuat baik dengan jiran
` hubungan baik dengan adik beradik
` sederhana dalam makan minum,pakaian,rumahtangga dan kenderaan
` Mencari/makan rezeki halal
` selalu menderma/sedekah/hadiah
` sentiasa bercita-cita untuk menambahpanjangkan lagi senarai ini.

Wassalam.

Thursday, February 18, 2010

nostalgia zaman kanak-kanak

Main cak pelong
main tuju botol
main lon
tunggu pengantin bersanding jam 4.00 pagi
bangun pagi ke SK Paya Kerchut
pergi sekolah naik basikal/motosikal abang Cha/jalan kaki
tangkap ketam di jalan selepas hujan lebat
cari buah bacang,kerko,sentul,remia,guncar,keriang,mertajam,jentik,rotan,asam jawa,janggus,mata itik,rakna,kemuyu,staq,lemba,letup,larak,kote dll.
menonton tv di rumah Pak lang kadir
berjalan malam bawa jamong,lampu tanglung
pakai seluar pendek simpul
pergi rumah Kak Suraya di Bt. Lima Sik
Kak Suraya mai Paya Nedam
naik/tolak kereta sorong keliling rumah babatok di Kilang Lama Kulim
goreng biji gajus dalam takung getah di laman rumah
tangkap belalang, bakar dan makan
tangkap kumbang tanduk di pokok kote
pancing semut hitam di dalam lubang
tangkap anak patung/dayung
buat dan main wau di sawah musim kemarau
kena sengat oleh 2 ekor tebuan di kepala
sedih emak dan baba pergi Mekah 3 bulan
tangan patah jatuh basikal
tolong emak basuh pinggan mangkuk
tolong emak angkut air dari perigi
tolong emak buat kuih raya dan balut ketupat daun palas
kisar tepung beras
cari, potong dan susun kayu api ke atas panggau
beri ayam makan
makan bekal nasi dalam kebun getah belakang sekolah
cari dan pelihara anak ikan karin/pelaga
memancing di lubuk tanah liat
menimba dan tangkap ikan dalam kubang di sawah musim kemarau
makan daging goreng nasi bekal Cina Aleng - entah daging apa?
makan kuih bakul Cina Aleng bagi setiap tahun baru cina
beli roti benggali masih panas kat keling Mokhtar
basuh lantai rumah/lantai papan guna sabun fab dan berus tembaga setahun 1-2 kali
basuh tahi cicak atas lantai
lastik sarang tebuan dengan limau perut
mengaji muqaddam/quran dengan Tok Kedah tengahari dan malam
tidur bawah katil dengan bebudak mengaji quran yang kadang-kadang tak balik
sebelum maghrib tutup semua tingkap dan pintu
maghrib nyalakan lampu minyak tanah, tambah minyak jika perlu
jadi mentara rumah orang kawin, paling suka tugas basuh pinggan mangkuk
belajar naik basikal, bergesel dengan kawat duri
sangat takut jika orang suntik datang sekolah
kengerian nak kena bersunat
letak lampu minyak tanah dalam dulang besar berisi air untuk perangkap kelkatu
mandi perigi buta bawah pokok buluh sempadan Pak Teh Mat Lembik
jual jambu di sekolah
dapat hadiah komik keris berpuaka daripada Cikgu Ramli
berlakon drama keling botol di sekolah
nombor satu lumba jalan kaki dengan melompat ke garisan penamat, nasib tak batal
lawan bola sepak dengan SK Ayer Putih Dalam dan SK Padang Pusing
wakil catur sekolah lawan di Rumah Guru Alor Setar depan Maktab Mahmud
first time makan mi rebus sedap depan Kolej Sultan Abd. Hamid, Cikgu Mad bawa
makan nasi/tengahari rumah jiran
dengar babatok bersembang/bercerita dengan rakan-rakannya,macam-macam cerita
kena jual beli zakat fitrah kerana babatok tiba-tiba bangun pergi ke tandas
main tarik upih pinang
main kejar-kejar/aci dan terjatuh di hujung ekor ular tedung selar kelabu sebesar batang pinang
mercun roket yang di bakar melayang masuk atap rembia rumah, kecut perut
angkut air dari sungai malaysia dengan basikal di Pondok Chegar musim kemarau
tanam telur ayam dalam nasi yang air dah nak kering
dengar drama TP dan sandiwara di radio
basuh baju sekolah celup tepung ubi
seterika baju guna kayu arang
Tok Kedah goreng ayam yang telah dibuat sup, sebab anak nak makan jugak ayam goreng
malam mak suruh baca buku
kena sebat dengan lidi kelapa
Awang Pak Chik Mat Enoh langgar dari belakang dengan basikal waktu balik sekolah
main getah bulat
main jengket
cari lepek bawah rumah dalam lubang pasir halus
babatok hambat nak masukkan dalam guni
tolong potong bawang, daging dan siang ikan
pegang ayam apabila babatok nak sembelih
tangkap ayam untuk di sembelih
gembala lembu
mandi sungai di Pondok Guar Cempedak
kena penabuh dengan babatok
ligan burung puyuh
main/buat gasing
main laga biji getah
main congkak
main sorong kong/rim basikal/gerek
berbuka puasa, makan sahur, gendang sahur, solat terawih
tiup serunai batang padi
bagi lembu minum air garam
demam campak biji
buat pelita tempurung hari raya
sapu daun getah di ladang musim kemarau
menebas, menarah rumput, meyiram pokok bunga
naik basikal atas palang depan
malam pijak babatok
tengok panel meter kereta waktu malam jika sesekali makan angin ke KL atau P.Pinang

Wassalam.

Tuesday, February 16, 2010

Taman Negara Pahang

Jumaat 12.2.2010 jam 11.45 malam bergerak dari rumah ke 'PKG Batu Putih' (rumah Joey), janji berjumpa di sini jam 12.00 mlm, pukul 12.20 bergerak ke Kg.Gubah mengambil Cikgu Sabar, seterusnya menjemput En.Amran (Pengerusi PKG 12/Masjid Baru) di Nyalas. Rombongan 14 orang ini dengan manaiki 3 buah kenderaan meneruskan perjalanan dan singgah minum di medan selera simpang empat Serting lebih kurang jam 2.00 pagi Sabtu 13.2.10, kerana terlalu mengantuk hanya 13 orang sahaja pergi minum, baba tidur dalam van kerana kepenatan sehari suntuk tidak dapat tidur atau berehat, 6.25 pagi tadi ke sekolah 12.15 tengahari balik solat jumaat di kampung 2.45 petang ke sekolah semula 5.00 petang ke Tg.Bidara jemput Hasanah yang tamat praktikal tiba di rumah hampir 8.00 mlm, solat dan 'packing' barang-barang yang nak dibawa, cuba nak membasuh dua baldi kain baju tapi dah tak larat dah, curi tidur sekejap bangun dan bergegas ke PKG Batu Putih.

Lepas depa minum, menyambung perjalanan yang masih lagi jauh ke Temerloh dengan van dipandu oleh Cikgu Zinul, baba menyambung tidur sebab yakin dengan kecekapan pemandu yang juga dah lima tahun menggunakan Van Serena, entah bila van melintasi bandar Temerloh pun tak tahu, sedar-sedar dah tiba di bandar Jerantut dah memasuki jalan nak ke Taman Negara melalui Padang Piol. Tiba di Kuala Tahan (KT) pada pukul 6.30 pagi Sabtu, masih gelap kerana matahari terbit jam 7.25 pagi, ofis dan tandas awam belum lagi buka, nasib baik surau tidak dikunci.

Jalan tar dari Padang Piol ke Kuala Tahan baru saja dibuat beberapa tahun yang lepas, panjangnya lebih kurang 40km kut, sebelum tu merupakan jalan lori balak. Sebelum tu jika nak ke Taman Negara dari Jerantut pergi ke Kuala Tembeling, dan dari sini naik bot selama tiga jam setengah ke Kuala Tahan. Kuala Tahan ialah pintu masuk ke Taman Negara Pahang, di sini terdapat pejabat Taman Negara di mana pengunjung perlu mendaftar jika mahu mendaki Gunung Tahan atau jika hendak menikmati beberapa aktiviti di seberang sana Sungai Tembeling (Taman Negara) seperti berkelah di Lubuk Simfon, menara memerhati hidupan liar, menginap di chalet, berkhemah, jambatan kanopi dll. Kemudahan-kemudahan yang terdapat di seberang sini ialah beberapa buah restoran/warung terapung, surau, tandas awam, chalet bajet dan sederhana kedai cenderamata dan pejabat-pejabat pakej percutian.

Beberapa orang kawan agak gelisah kerana tandas belum dibuka sedangkan badan sudah biasa bila awal pagi ke tandaslah agenda utama. Kemudian turun ke jeti yang agak jauh di bawah sana, penat menanti bot pergi minum dulu di warung terapung yang awal pagi sudah dibuka, sedap juga rasa roti canai dan nasi lemak yang sambal bilisnya agak manis-manis sikit. 8.30 pagi bot pun tiba, yang telah ditempah lebih awal sebelum datang ke sini yang dikendalikan oleh bapa angkat En. Amran yang pernah mengajar di Sek.Keb. Kg.Pagi selama dua tahun pada awal 1990-an. Seterusnya memulakan perjalanan dengan dua buah bot selama 1 jam ke Kg.Pagi melalui sungai Tembeling dan menempuh beberapa buah jeram. Tentu sangat mengujakan bagi rakan-rakan yang baru kali pertama datang ke sini. Baba sudah kali kedua sebab 1988 dulu telah pernah berkunjung ke sini, masa tu jalan tar ke KT belum ada lagi.

Lepas makan tengahari di Kg.Pagi, sambung perjalanan dengan bot lagi setengah jam ke Lubuk Melompat untuk berkhemah di situ, tiba-tiba bot terlanggar kayu dan mengalami kebocoran yang agak besar serta air masuk membuak-buak ke dalam bot, masing-masing nampak panik serta menyambar 'life jacket' yang kebetulan kurang dua, nasib baik Pak Njang Sulaiman pemandu bot agak cekap dan berpengalaman, dia memecut bot ke satu lagi pantai di depan sana, bila bot rapat saja ke pantai masing-masing tanpa berlengah terus terjun ke dalam air menarik bot ke tepi serta memunggah semua beg ke atas pantai, seluar habis basah paras paha dan beg yang di bawah pun semua basah, tapi alhamdulillah semua selamat.

Entah kenapa Sungai Tembeling kali ini macam kosong tanpa ikan, mungkin kerana baru lepas daripada banjir besar kut, yang peliknya menjaring pun tak dapat ikan, ada le dapat 2-3 ekor anak ikan baung, yang datang dengan pelbagai kelengkapan memancing seperti Cikgu Sabar dan Cikgu Baha, Akim dan Bung Somat memang frust habis, yang datang dengan tujuan semata-mata nak mandi sungai puas-puas memang menyeronokan, dari tengahari Sabtu memancing berterusan hingga tengahari Ahad tak dapat ikan memang mengecewakan, naik lagi bot selama 30 minit ke Kuala Keniam memancing di sana pula pun tiada hasil. Maka pelan asal nak balik pada hari isnin pun diubah, pada pikul 3.30 petang hari ahad bergerak balik dari Lubuk Melompat ke KT selepas singgah lunch 4.30 ptg. di Kg.Pagi, jam 7.00 ptg bertolak dari KT, 10.30 mlm minum dan solat di Jerantut, 12.30 mlm minum di tepi sungai Bandar Temerloh, 2.30 pagi isnin minum dan makan mi goreng di simpang empat Serting dan tiba di rumah pikul 4.30 pagi.

Keseluruhan perjalanan pergi balik sejauh 615 km. Sekarang orang ramai dari seluruh negara/dunia dah senang nak ke Taman Negara Pahang, kereta pun dah banyak macam di Bantang semasa cuti umum malah lebih banyak lagi, lubuk-lubuk yang berhampiran dengan jeti dipenuhi dengan orang ramai yang datang bercuti secara bersendirian dengan kawan-kawan atau dengan keluarga, budak-budak pun ramai di dalam sungai semuanya memakai life jaket, mungkin pakej percutian sekolah masing-masing atau sebagai peserta kursus anjuran pihak tertentu. Kalau tak dikawal betul-betul oleh pihak berwajib di sana, tak berapa tahun lagi jika kita datang ke sana maka akan terjumpalah pelbagai sampah sarap dan pampers yang dibuang di merata-rata tempat terutamanya di gigi air, itulah dilemanya dimajukan salah tak dimajukan pun salah. Ok, jumpa lagi.