Friday, August 6, 2010

Nostalgia - Pak Ngah Kasim

Ada beberapa orang kampung PN yang cukup rapat dengan keluarga kita, jika ada kenduri-kendara,sakit-demam atau apa saja orang-orang inilah yang dulu sampai dan akhir balik.Cukup mudah minta tolong dengan mereka ini tak kira siang atau malam - ini mungkin kerana mereka telah berkawan dengan Babatok dan Tok Kedah sejak dulu-dulu lagi,ada sesetengahnya masih kanak-kanak semasa BT dan TK berpindah ke PN dari Pondok Gajah Mati, sementelahan pula TK lah yang mengajar semua atau sebahagian daripada anak-anak mereka mengaji Muqaddam dan Quran hingga khatam 30 juz, atau kerana pada anggapan mereka BT tak ubah macam 'abang sulung' kalau pun tidak sebagai pengganti 'ayah' mereka.

Antara mereka yang tergolong seperti di atas ialah keluarga Pak Ngah Kasim,Pak Teh Sahak,Pak Njang Kelantan/Njang Lembut,Pak Su Halim,Abang Awang Pak Long Mihat,Pak Lang Hasan Pak Long Mihat, Chu Man dan lain-lain lagi, yang lain pun baik-baik belaka serta respect juga dengan BT dan TK cuma tidaklah serapat seperti mereka yang tersebut di atas.

Dalam kalangan tersebut,Arwah Pak Ngah Kasimlah antara yang paling akrab dengan BT, anak-anak beliau semuanya belajar Quran dengan TK iaitu Rokiah,Rohani,Masitah,Mahmud,ZainulAbidin,Zamnah dan Rohaiza cuma yang bongsu iaitu Pak Su Di sorang saja kut yang terkecuali,tak sempat kerana TK dah bersara.Malah Rokiah khabarnya pun menjadi guru mengajar Quran di tamannya di Sg.Petani- Apabila anak murid berjaya menjadi guru itu tandanya beberkatan guru.

Bukan Pak Ngah Kasim sorang saja yang senang diminta tolong,malah isteri beliau Ngah Meah serta anak-anak mereka berdua seperti tersebut di atas semuannya cukup mudah memberi pertolongan jika diminta. Misalnya,jika BT hendak ke mana-mana pada waktu malam maka PNK lah yang akan menjadi pemandu motosikalnya, Rohani atau Masitah pula akan diminta menunggu rumah jika BT dan TK balik ke Kilang Lama dan sebagainya. Mud dan Non pula pernah mengembala lembu BT bersama-sama Baba dan Pak Chu Basir selama berbulan-bulan tanpa bertanya tentang upah serta ibu bapa pun tidak pernah mempersoalkan apa-apa. Bayangkanlah jika keadaan itu berlaku pada zaman sekarang,tentu bermacam-macam tohmah dilemparkan - tapi memang adalah TK berikan ganjaran tertentu kepada Mud dan Non cuma bukan dalam bentuk wang ringgit saja, maksudnya ialah orang berbudi kita berbahasa.

Masa arwah PNK ada dulu, semua perkara jadi beres, beliau macam penyelesai masalah, jika ada yang tak beres serahkan saja pada beliau tentu akan beres, keistimewaan PNK ialah selain ringan tulang beliau juga merupakan seorang tukang rumah, pawang, tukang masak orang kawin,fasih cakap Siam dan lain-lain lagi.Rumah PNK ialah berhadapan rumah Pak Teh Sahak di sebelah rumah Pa dan Chik Jab. - Untuk keluarga PNK semua,sumbangan kalian tidak terbalas dan akan selalu kami kenang. AlFatihah untuk PNK. - Jumpa lagi, wassalam.

No comments: