Sunday, September 5, 2010

anak-anak budak PN

30 tahun dahulu iaitu pada era sebelum tahun 70-an PN merupakan sebuah kampung pedalaman yang tersorok kerana pada zaman tersebut ia hanya boleh dihubungi oleh sebatang jalan tanah merah yang sempit menyusuri ladang getah dan sawah padi yang berlubang-lubang serta becak pada musim hujan,tanpa bekalan air bersih dan tenaga elektrik. Kampung-kampung lain di sekitar yang senasib dengan PN ialah Kg.Lahar Batu,Paya Nedam Pak Da Budoi dan Banggol Tambak. Pada zaman tu yang PN ada hanyalah sebuah surau usang. Sekolah rendah,masjid dan balai raya kena tumpang Kg.Paya Kerchut punya. Jarak dari rumah TK ke SK Paya Kerchut(SK Hj.Mad Dahan) ialah lebih kurang 5km dan masjid 6km.

PN boleh didatangi dari jalan besar Pendang- Sg.Tiang iaitu susur masuk melalui Pondok Gajah Mati ataupun melalui Pondok Chegar seterusnya ke Paya Kerchut atau susur masuk dari jalan besar Pendang- Jenun melalui Kg.Ayer Putih Dalam. Mulai akhir tahun 70-an dan awal 80-an barulah PN dapat air paip serta elektrik serta sebatang jalan tar mini. Ada satu cerita tentang bagaimana PN boleh dapat jalan tar mini ini,iaitu pada satu tahun semasa Arwah Pak Lang Hj.Hamad masih ada (bekas ketua penerangan UMNO bahagian Pendang serta kenalan rapat Dr.Mahathir) tiba-tiba tersebar dan heboh cerita mengatakan Dr.M akan bertandang ke PN untuk melakukan ibadah korban di sana, maka JKR pun agaknya kelam kabutlah melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf jalan merah PN kepada jalan tar mini.Apabila jalan dah pun siap entah mengapa Dr.M tak dapat datang pulak, oklah yang penting orang PN dapat jalan baru yang jauh lebih selesa. Maka sejak peristiwa itulah PN pun tidaklah lagi rasa terpencil kerana jalan tersebut sentiasa digunakan siang malam oleh penduduk kampung sekitar yang menjadikannya jalan pintas menuju ke destinasi masing-masing.


Masa TK dan BT mula-mula pindah dari Pondok Gajah Mati ke PN dulu cuma ada 14 buah rumah saja di PN ketika itu, iaitu rumah TK, Tok Bakar, Tok Salleh, Pak Lang Kadir, Tok Yaakob, Tok Chik Timah, Pal Long Ail, Tok Saad, Md.Sin, Tok Minah, Tok Mek Mah, Chu Nui, Tok Mek Ka dan rumah Salleh Lemaga. Pada tahun 70-an meningkat kepada lebih kurang 25 buah seterusnya kini ada 40 buah rumah, mungkin lebih. Kini semua rumah orang PN mempunyai motosikal malah ada yang sampai 3-4 buah, ada juga yang berkereta,
begitulah juga dengan anak menantu masing-masing, malah anak sek.ren. dan tadika pun dah pandai bawa motor.

Pada era 60-an dan 70-an ramai juga budak PN yang tercicir dalam pelajaran peringkat rendah serta menengah kerana pelbagai faktor. Sebelum tahun 50-an (sebelum merdeka) memang tiada seorang pun budak PN yang belajar di sekolah menengah, berikutnya mulai tahun 50-an terdapat 3 orang yang berjaya menyambung pelajaran di sekolah Inggeris iaitu Aminah School di Alor Setar mereka ialah Pak lang Razak, Pak Njang Khalid dan Hassan Yaakob. Seterusnya pada tahun 60-an Pak Chik Wafi pula berjaya memasuki tingkatan 1 di Sek.Asrama Penuh Sultan Abdul Halim Jitra (SMSAH). Tahun-tahun selepasnya semakin ramailah budak-budak PN yang dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah khususnya di Pendang, Alor Setar (Maahad,Datok Syed Omar dan SM Teknik) serta KIK Kelang pun ada.

Ada juga kalangan budak PN yang melanjutkan pelajaran ke seberang laut. Orang pertama ialah Arwah Pak Chik Md.Enoh yang pernah belajar di Mekah, orang kedua ialah arwah Pak Lang Razak di Mesir dan yang ketiga ialah Adnan cucu Tok Salleh anak arwah Pak Chik Lah di US dan terakhir ialah arwah Us.Faisol(meninggal ketika usia masih muda) anak Pak Long Md.Zen Mak Lang Rahmah lepasan Al-Azhar Mesir,Allahyarham Us.Faisol merupakan anak PN pertama memiliki ijazah dalam bidang agama - nasib baiklah PN ada dua orang pengganti Us.Faisol iaitu Ustazah Alawiyah Ijazah Syariah Insaniah A.Setar dan Us.Halimuddin(abang Budin) Ijazah Usuluddin dalam proses, pun di Insaniah.

Perkembangan seterusnya, melibatkan generasi ke 3 PN iaitu anak-anak budak PN, yang kebanyakannya tinggal di luar PN yang berjaya melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di luar negara seperti di Egypt/Mesir,India dan UK tidak ketinggalan juga di dalam negeri merangkumi pelbagai bidang seperti perubatan,pergigian,kejuruteraan aeronautikal/awam/elektrik,fisioterapi,dietatik,perakaunan,katering,pelancongan,agamadsbnya.

Sangat diharapkan agar kumpulan generasi ke 3 PN ini lebih ramai yang akan berjaya di peringkat pendidikan tinggi di dalam pelbagai bidang demi melonjak imej PN di mata umum. Walaupun sebahagian daripada warisan ke 3 ini menetap di luar PN tapi ingatlah sentiasa dari mana asal usul kita - pulanglah selalu/sesekali ke PN - ilmu dan harta dicari,sanak saudara dan silaturrahim keluarga sekali-kali usah diketepi - Ok,Jumpa lagi.

No comments: