Wednesday, December 30, 2009

Makan

Hidup untuk makan atau makan untuk hidup, yang mana satu betul, yang mana satu lebih betul, ataukah kedua-duanya betul. Ada banyak pilihan jawapan, salah satunya ialah bagi rakyat di negara-negara kategori miskin yang terkelompok di dalam 'negara dunia ketiga' mereka makan untuk hidup, di negara-negara kaya pula iaitu 'negara dunia pertama' seperti Jepun, Taiwan, USA, Britain dll, falsafah hidup sebahagian besar daripada penduduknya ialah mungkin hidup untuk makan, bakinya yang sebahagian kecil itu takut nak makan banyak/macam-macam atas alasan mahu menjaga kesihatan agar umur panjang agar lambat/susah mau mati. Lagi satu, penduduk di negara miskin apabila terasa lapar barulah mereka makan, tapi di negara kaya, belum pun terasa lapar masih lagi kenyang dah melantak lagi pada hal baru saja sekejap lepas makan.

Apa yang dimakan boleh menentukan jenis perangai/sikap/tingkahlaku/hatibudi seseorang, malah cara serta adab semasa makan pun dipengaruhi oleh apa yang dimakan dalam jangkamasa panjang sebelumnya. Ada yang begitu tertib semasa makan, ada pula yang kelihatan agak gelojoh.

Berhubung dengan makan, sebenarnya kita boleh menabung banyak wang jika kita dapat melihat semula apa yang kita belanja untuk membeli/menyediakan makanan selama ini. Misalnya, cuba kita lebih pentingkan kualiti menu berbanding kuantitinya, yang penting makanannya seimbang, untuk makan tengahari dan malam ada nasi bersama ikan atau daging/ayam, ada sayur atau kekacang/bijirin, jika mahu boleh tambah sambal belacan dan ikan masin, cuma semasa sarapan pagi sahaja minum minuman manis kemudian sepanjang hari minum air kosong/mineral cukup, seterusnya bolehlah agaknya sebulan sekali pergi makan KFC, piza, tom yam ke atau apa-apa.

Dalam kehidupan berkeluarga, tersangat penting pada setiap masa sentiasa mempunyai sejumlah wang simpanan/tabungan, ia perlu dimulakan sejak awal (sejak masih bujang?) sebagai persediaan untuk perbelanjaan keluarga dalam pelajaran, kesihatan, kenderaan, kecemasan, mala petaka,membantu saudara mara dan sebagainya.

Banyak wang yang boleh kita jimat jika dikaji semula amalan perbelanjaan yang selama ini mungkin kerapkali melebihi daripada yang sepatutnya dalam hal makanan, pakaian, kenderaan, perabot, hiburan, barang kemas dsbnya - Cuma dalam keghairahan mahu berjimat, kenalah dijaga jangan sampai jadi kedekut taik idung masin pulak mengalahkan pak hj. bakhil, tak boleh nak ditumpang langsung - duit berbakul-bakul, tapi tiap hari makan nasi dengan ikan masin cekik leher saja sayur pun tak menemu, macam ni lama-lama anak menantu pun lari, lepas tu isteri pulak lari, akhirnya tinggallah duduk terseringai sorang-sorang - jangan sampai jadi macam tu - Sekian, wassalam.


Sunday, December 27, 2009

Orang Tua

Orang tua ialah seseorang yang telah mencapai/melebihi umur bersara (58 tahun), sekarang golongan ini disebut juga sebagai warga emas. Seseorang itu dapat menjadi warga tua setelah dia berjaya melalui zaman bayi, kanak-kanak, remaja, muda dan seterusnya zaman dewasa, dikira berjaya sebab umurnya panjang dapat melalui semua fasa umur tersebut di atas, namun dianggap tidak berjaya jika dapat mencapai umur tua tapi fiil dan sikap tak macam orang tua, iaitu lebih banyak mirip macam orang tak berapa betul saja, menggunakan kayu ukur AlQuran dan Sunnah Nabi.

Setiap kitaran fasa umur di atas masing-masing memiliki cabaran dan nilai keseronokan yang tersendiri, itulah sunnah yang Allah SWT telah letakkan di situ, jangan teragak-agak dari segi psikologi untuk berpindah dari satu fasa ke fasa berikutnya, mesti berfikir dan bersedia secara positif, kerana dari segi biologi proses itu tetap akan berjalan terus, siapa yang tidak bersedia akan ketinggalan dan berdepan masalah. Cuba kita sama-sama senaraikan apakah keseronokan-keseronokan yang terdapat pada setiap fasa umur tersebut, nanti tentu senarai fasa yang lebih tinggi akan lebih panjang daripada fasa sebelumnya, jika andaian itu betul maka sudah tentu fasa orang tua akan mempunyai senarai keseronokan terpanjang, sepatutnya.

Pada adatnya, umur tua/tua bangka ialah peringkat umur menunggu saat kematian, ibarat hari dahpun senja dah nak malam, rumah kata pergi kubur kata mari. Apa seronoknya hari tua jika saat kematian akan muncul pada bila-bila masa sahaja, apa seronoknya saat hidup yang macam ni? Itulah rahsia yang Allah sembunyikan daripada kita, macam Tuhan rahsiakan keseronokan kanak-kanak daripada bayi dan seterusnya, dah rasa barulah tahu. Banyak perkara yang kita tak/belum faham, dah rasa barulah faham, ada jugak orang dah dapat rasa pun masih jugak tak faham-faham, dan memang ada sebilangan yang tak berpeluang langsung untuk merasa - sebab semua ilmu yang ada pada semua manusia tak sampai pun setitis daripada air yang begitu banyak di semua laut dan lautan.

Supaya kita menjadi orang tua, warga emas atau orang tua-tua yang lebih banyak seronok daripada sedih, maka eloklah jika kita menjadi orang tua lebih awal daripada sepatutnya. Berdoalah supaya panjang umur serta banyak ibadah - Sekian, jumpa lagi insyaAllah.

Monday, December 7, 2009

Orang Muda

Muda ialah satu peringkat umur di antara remaja dengan dewasa. Pada peringkat ini seseorang itu dinamakan 'orang muda'. Lebih mudah difahami jika dikatakan yang masih belajar di sekolah rendah itu ialah kanak-kanak, yang di sekolah menengah pula ialah remaja dan yang di kolej/universiti itu ialah golongan pemuda, kecuali mereka yang sambung belajar ketika umur dah tua.

Seperti remaja, orang muda juga masih mempunyai personaliti atau karektor tertentu yang belum mantap (tidak dinafikan mungkin ada satu dua kes terpencil yang terkecuali), dalam sesuatu perkara mereka selalu sukar membuat keputusan, emosi mudah bercelaru, pendirian sentiasa berubah-ubah, halatuju hidup masih dalam eksperimen, kematangan belum tergambar, mudah terpesona dengan keindahan-keindahan duniawi sementara dan sebagainya.

Ketidakmapanan sahsiah seperti tersebut di atas terbukti melalui beberapa salahlaku yang sering dibuat oleh golongan ini seperti merokok, penyalahgunaan dadah, merempit, lakumusnah harta awam, pergaulan bebas, black metal, minum arak, pergaulan bebas, menjauhi/anti agama dan lain-lain lagi - Memang orang tua pun ada yang bermasalah, iaitu mungkin masalah yang dibawa berterusan dari zaman muda, namun setelah memasuki alam tua/tua bangka, mereka mulai kehilangan tenaga serta sedikit demi sedikit mulai dimamah oleh berbagai penyakit kronik klasik dan moden yang suka tak suka menyebab golongan tua ini kini lebih cenderung menjadi orang baik.

Berapa ramai orang muda yang istiqamah melaksanakan suruhan agama sejak zaman remaja atau sejak kanak-kanak, terus begitu hingga zaman muda dan berlanjutan hingga dewasa/tua. Berapa orang? Berapa orang yang berjaya menjaga usia mudanya sebelum datang hari tuanya.
Berbahagialah orang muda yang dapat memelihara solat dan puasanya. Allah sangat sayang kepada orang muda yang hatinya sentiasa ingat masjid (mencintai agama) - Janganlah menjadi orang muda yang mudah sangat mengingkari apa yang Allah suruh serta selalu sangat mengamalkan apa yang Allah larang.

Sudah tentulah dari umur kanak-kanak hingga ke peringkat pemuda mesti dihabiskan untuk belajar, untuk lulus dengan cemerlang di dalam beberapa peperiksaan, untuk mendapat tempat di universiti dalam/luar negeri hingga mendapat satu, dua atau tiga gulung ijazah hinggalah menceburi bidang kerjaya. Namun, satu lagi aspek kehidupan yang tak semua orang muda sedari ialah tentang keperluan untuk mempelajari dan menguasai ilmu mempertahankan diri (sama ada yang fizikal mahupun batin, salah satu atau kedua-duanya) - Persiapan ini cukup penting kerana ada beberapa perkara dalam hidup kita ini seperti nyawa, harta, maruah diri dan maruah keluarga, agama dan bangsa yang satu ketika nanti secara tiba-tiba tanpa diduga (rujuk sejarah lalu) wajib dipertahankan daripada penjenayah dan orang-orang sekeliling yang tak pernah senang melihat kita senang - Ok jumpa lagi, wassalam.

Sunday, November 29, 2009

Maa'had Mahmud

Setelah tamat darjah 6 pada hujung tahun 1970, isi borang untuk masuk tingkatan satu SMK Pendang. Tiba-tiba pada satu hari dimaklumkan oleh Tok Kedah akan menyambung pelajaran menengah di Maktab Mahmud Alor Setar pulak (lebih dikenali sebagai Ma'had di kalangan rakyat negeri Kedah). Kawan-kawan lain ada yang masuk SMK Pendang mungkin ada yang masuk sekolah arab Pendang dan ada yang tidak masuk kemana-mana pun, duduk rumah tolong ibu bapa, macam tulah nasib budak-budak kampung masa tu.


Dulu-dulu Maktab Mahmud tidak menjadi sekolah pilihan ibu bapa macam sekarang, masa dulu tidak keterlaluan jika dikatakan anak-anak yang cemerlang akademik di sekolah rendah tidak mahu masuk Maktab Mahmud, malah ibu bapa mereka pun tak mahu anak mereka belajar di situ. Mentaliti masyarakat waktu tu jika tamat belajar di Maktab Mahmud hanya layak jadi ustaz dan tok kadi sahaja. Hari ni, jika tak dapat UPSR 5A jangan disebut nak masuk Maktab Mahmud,itupun belum tentu lagi dapat.


Senario tersembunyi yang masyarakat era tersebut tak tahu atau tak berapa faham ialah pelajar-pelajar Maktab Mahmud yang lulus cemerlang dalam SRP/PMR akan ditawarkan menyambung pelajaran ke tingkatan 4 aliran sastera/agama dan aliran sains di Kolej Islam Kelang(KIK)(Kolej Islam Sultan Alam Shah Kelang). Melalui saluran inilah ada pelajar-pelajar Ma'had yang berjaya menjawat kerjaya bidang profesional seperti peguam, ahli farmasi (macam Fadhil Shafie), doktor (macam YB Dr.Hayati Parlimen Pendang) dll. Hari ini, anak-anak Maktab Mahmud tak perlu lagi ke KIK kerana aliran sains tulen-agama telah disediakan di sana.


Dulu-dulu yang berpusu-pusu menghantar anak-anak mereka ke Maktab Mahmud imajoritinya

ialah ibu bapa dari luar bandar iaitu sebelah Jitra, Kuala Nerang, Pendang, Sik, Baling, Yan dll. Ibu bapa bandar/pinggir bandar sangat kurang - cuba sama-sama fikir kenapa begitu?


Masa tu Maktab Mahmud hebat dalam bola sepak, selalu berentap dengan Kolej Sultan Abd. Hamid. Sekolah lain yang ternama di Kedah ialah Sekolah Sultan Abd. Halim Jenan (asrama penuh). Kehebatan Maktab Mahmud dalam kelasnya yang tersendiri, misalnya penggunaan "maktab" pada namanya serta beberapa lagi ciri tersendiri yang lain.


Sebenarnya, walau dibandingkan dengan sekolah mana pun, maka Maktab Mahmudlah yang paling hebat sekali, kerana pada setiap hari/minggu murid-muridnya kena belajar sebanyak 18 atau 19 mata pelajaran iaitu 8 subjek akademik dan 9-10 subjek arab-agama. Setelah tamat tingkatan 6 sekolah menengah pelajarnya hanya mendapat 3 sijil peperiksaan sahaja tapi di Maktab Mahmud boleh dapat 5 sijil. Memang hebat!
Akademik pun dapat,agama pun dapat.Tentulah hebat!!. Ok,jumpa lagi.