Wednesday, July 29, 2009

Solat


Sebagai seorang muslim, solat 5 waktu sehari semalam ialah satu kewajipan, ini semua orang tahu. Ok, lebih senang bercakap mengenai perkara yang orang dah tahu berbanding dengan perkara yang orang lain belum tahu. Kadang-kadang perkara yang kita dah tahu jauh lebih penting daripada perkara yang kita belum tahu - apa contohnya? cuba fikir. Tapi ada orang yang cukup berbangga kalau dapat bercakap sesuatu perkara yang orang lain belum tahu, dan citarasa inilah yang membantu penularan yang pantas khabar angin, gossip dan fitnah khususnya dalam komuniti kita .


Kita kena juga solat walau dalam situasi apa sekalipun. Tiada kompromi. Selagi ada akal. Hatta dalam peperangan sekalipun. Lari panjat pokok, kat pangkal ada harimau, pun kena solat. Kena ikat dengan perompak kat atas kerusi/katil/tiang, pun kena solat. Dalam kapal terbang, kereta api, kereta kebal, pun kena solat. Situasi yang dimaafkan cuma jika terlupa, tertidur atau hilang akal/ingatan umpama pitam/pengsan/koma sahaja, itu pun bila dah tersedar/terjaga kena wajib qadak balik. Kita tetap kena solat kerana:-


1. Allah SWT memerintahkan kita supaya mendirikan solat

2. Solat merupakan salah satu daripada Rukun Islam

3. Solat merupakan bukti keimanan

4. Nabi SAW menerima solat terus daripada Allah SWT semasa israk-mikraj

5. Solat ialah amalan yang mula-mula dihisab

6. Ia merupakan syarat bagi diterima amalan-amalan lain

7. Ia membezakan antara muslim dengan kafir

8. Saat-saat terakhir ulamak-alamak banyak berwasiat kepada kita agar jangan abaikan solat

9. Dapat cegah fahsyak dan mungkar

10. Dalam seruan azan, nak berjaya di dunia dan di akhirat kena solat dulu

11. Sehari semalam 5 kali - perkara penting biasanya memang lebih kerap dilakukan.

12. Ikut kemampuan - berdiri,duduk,baring, mengiring, telentang dsb - tetap laksana

13. Solat hormat waktu - tak boleh elak, kena buat juga.

14. Musafir - solat jamak dan qasar - kemudahan, jangan beri alasan

15. Ada orang meninggal kita solatkan

16. Kita meninggal orang solatkan - insya-Allah.

17. Masjid dan surau dibina kerana ibadat solat

18. Seminggu sekali hari Jumaat wajib solat di masjid

19. Nabi bina masjid dulu sebelum bina yang lain

20. Anak 7th. disuruh solat, 10th. boleh dirotan jika enggan.

21. Solat berjemaah sekian-sekian kelebihan - puasa tak ada jemaah.

22. Solat tiang agama

23. Tinggal solat runtuhkan agama

24. Solat bukti keyakinan terhadap pertemuan dengan Allah di akhirat.

25. Dll. Sekian, minta pada Allah agar dipanjangkan umur dalam ibadah. Amin.

Tuesday, July 21, 2009

Buih (2)

Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita, sama ada yang sedang berlaku atau yang telah berlaku sejak manusia dicipta - Justeru untuk mendapat iktibar yang lebih maka kita perlulah sekali sekala berpergian ke tempat/negeri orang lain, tak bolehlah duduk saja di kampung sendiri sambil mengharapkan macam-macam terjadi, apa sangatlah yang akan berlaku, balik-balik benda yang sama saja berulang-ulang.

Pada hari Ahad (19.7.09) yang lepas, sebaik keluar dari Pulau Kapas, melencung pula ke Pasar Payang, dalam pukul 2.00 petang memulakan perjalanan balik ke Jasin, berhenti jamak zohor dan asar di masjid baru Marang berhampiran jeti. Kali terakhir ke Marang dulu masjid ni belum lagi siap. Antara pengalaman baru trip kali ini ialah pertama kali dapat melalui Lebuhraya Pantai Timur yang belum siap sepenuhnya, harap kerajaan dapat segera siapkan. Singgah di surau Plaza Tol Jabor jam 7.30 malam untuk solat jamak manghrib dengan isyak. Bagus juga berjalan dengan Amri ni sebab dia suka buat jamak taqdim.

Terdapat 4 orang musafir yang sedang solat di saf hadapan secara berasingan, dua orang berumur dalam lingkungan 30-an, seorang sekitar 40-an dan seorang lagi dah agak lanjut mungkin 60-an. Semuanya tiada tomakninah semasa iktidal. Dah depan mata nampaklah, nak buat macam mana, maka hati pun berkata-kata - Bayangkan dalam begitu ramai pengguna lebuhraya, hanya segelintir yang terpilih sahaja yang teringat nak berhenti solat, dalam pada itu pula, hanya yang terpilih kali kedua sahaja yang dengan izin Allah dapat menyempurnakan segala syarat dan rukun solat.

Menurut Ustaz Zakaria Limat, berdasarkan pemerhatian beliau daripada 10 orang yang bersolat, 2 orang tidak sah solatnya kerana tiada tomakninah, itu belum lagi termasuk yang tidak sah kerana faktor-faktor lain. So, daripada 10 berapa yang ok? Hanya Allah saja yang mengetahui. Kesimpulannya, yang solat pun buih (kerana cuai), yang tak pernah atau sesekali saja solat dah memang tentulah buih. Semoga Allah ampunkan dan terima solat semua orang yang bersolat di surau tol Jabor hari tersebut - Hanya dengan taufik dan hidayah Allah sahaja dapat menyelamatkan kita daripada terus terusan menjadi insan buih. Sekian.

Thursday, July 16, 2009

buih


Buih merupakan satu fenomena biasa saja dalam kehidupan kita. Orang ramai tak memberi perhatian pun kepada buih. Setakat yang kita tahu tak ada guna apa-apa pun buih ni. Tak ada pun nilai komersial. Mungkin ada la sikit nilai estetika - Tak ada orang yang tak pernah lihat buih. Ada air adalah buih. Masa mandi, masa membasuh pinggan mangkuk atau pakaian, masa basuh kereta dan sebagainya buih akan terbentuk. Ada juga sejenis permainan meniup buih yang sangat digemari oleh kanak-kanak, buih terhasil berderet-deret berterbangan di udara pecah dan hilang. Definasi mudah, buih ialah gelembung air yang berisi udara, mudah terbentuk semudah ia pecah, tiada kekuatan langsung - Sebab itulah Nabi SAW mengambil buih sebagai contoh dalam sabda baginda untuk mengibarat di akhir zaman umat Islam yang ramai. Ramai tapi umpama buih di lautan.


Ada buih kecil ada buih besar, namun ia sama sahaja, terhasil terus pecah dan ghaib. Cakap berdegar-degar, tapi buih. Ke hulu ke hilir macam orang penting sangat, tapi buih. Seminar sana seminar sini, mesyuarat sana mesyuarat sini, tapi buih. Itu jenis yang sibuk, jenis yang duduk rumah tak buat apa-apa tak kemana-mana, pun buih jugak - Betullah yang nabi sabda tu. Masa ramai buih, masa sorang-sorang pun lagilah buih.


Satu bangsa. Satu agama. Sama bahasa. Tapi berpuak-puak, ada sampai tiga empat puak, kadang-kadang lebih. Puak A tak boleh berpakat dengan puak B, puak C tak boleh berbaik dengan puak A, B, D dan seterusnya - Tapi dengan puak lain yang berlainan bangsa, berbeza bahasa, adat dan akidah mahu pula berbaik-baik, mahu pula bermesra bertepuk bertampar, apa dicakap semua diikut. Pelik betul bangsa aku ni. Apa nak dipelikkan, buih lah katakan, buih memang macam tulah feilnya.


Duduk dalam puak mana pun, dua kali lima lima kali dua saja, kalau dah buih tu buih jugak. Baik lagi duduk atas pagar! . Yang atas pagar pun buih jugak! Agaknya dari dulu-dulu sampailah sekarang memang sentiasa buih - Patut pun lah bangsa aku ni sampai pernah dijajah oleh 6 bangsa penjajah iaitu oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Siam, Jepun dan Bintang Tiga - Ada ke bangsa/negara lain di dunia ni yang dijajah oleh begitu banyak jenis penjajah? Ada ke? - Kalau terus leka jadi buih, jika terus menerus seronok jadi buih, tak mustahil langsung Bintang Tiga akan bangun lagi sekali. Mampuih!


Halangan paling besar ialah kerana ramai sangat bangsa aku ni yang suka benar jadi buih, macam suka benar dapat makan free, suka benar dapat offer pergi jalan-jalan/melancong free dll. Macam-macam usaha dilakukan semata-mata untuk jadi buih, untuk kekal jadi buih. Ada yang bangga pulak tu dapat jadi buih. Malang betul! - Tunggu tua/pencen baru nak mendalami agama, nanti bersara baru nak belajar tajwid, tunggu umur lebih 40 baru nak beramal ibadah baru nak buat yang sunat-sunat, tunggu dah dekat nak mati baru nak bertaubat baru nak puasa nak sembahyang. Apabila dah pencen dah bersara dah tua, dah datang perasaan malu pulak nak belajar, dah rasa pulak alang-alang buat ibadah pun dah tak sempat lagi nak cover dosa-dosa yang lepas. Nasib engkaulah buih - Mana ada buih yang tak pecah-pecah sampai berjam-jam sampai berhari-hari. Nasib engkaulah buih. Orang nasihat tak nak dengar.


Kita sendiri, masing-masing punya diri, kenalah memastikan agar diri kita tidak menjadi buih. Orang lain tak boleh nak pastikannya bagi pihak diri kita. Sebab itulah ada ilmu yang bangsa fardhu ain dan ada yang fardhu kifayah. Beruntunglah sesiapa yang sejak kecil bukan buih atau yang sedang berusaha keras untuk berhenti jadi buih.


Kesimpulannya, Semoga Allah SWT hindarkan kita daripada menjadi golongan muflis di akhirat kelak, yang merayu-rayu kepada Allah minta dikembalikan semula ke dunia walaupun sebentar kerana kononnya nak belajar agama sungguh-sungguh, nak beribadah betul-betul kuat-kuat, konon. Sekian. Wassalam.










Saturday, July 11, 2009

kawan


Manusia ialah makhluk yang lemah. Semua makhluk lemah. Hanya Allah SWT yang maha berkuasa dan maha perkasa. Manusia juga merupakan makhluk jenis sosial, iaitu hidup dalam komuniti, tidak menyendiri. Jika ada pun yang menyendiri tak tahu nak bercampur orang lain, itu kes terpencil, devian - kerana lemahlah maka kita perlu berkawan, perlu kepada kawan. Cuba lihat semut api, semut gatal, semut 'laju' dan lain-lain semut, anai-anai, lebah, kerengga, cengkiak (bukan kelingjangka) serta lain-lain hidupan bersaiz kecil, lemahlah tu, semuanya hidup dalam koloni/kelompok/kawanan - Lihat pula harimau, beruang, jerung, ular sawa, anakonda dan sebagainya jarang mereka bergerak dalam berkumpulan macam semut, tidak pernah orang terserempak di dalam hutan dengan lima ekor harimau atau sepuluh ekor ular sawa, kerana apa? kerana orang kuat tak selalu perlu kepada kawan/berkawan.

Sejak dilahirkan/kecil manusia sudah ada naluri ingin berkawan. Seorang bayi akan sentiasa selesa dan riang jika kawan rapatnya selalu ada di sampingnya, sentiasa membelai dan menyentuhnya, siapa lagi, ibunya lah. Apabila telah besar sikit atau setelah punya adik, ibunya dah sibuk pula dengan adik baru, maka dia akan beralih pula berkawan dengan anak kucing yang ada dalam rumah tersebut, kalau tak ada anak kucing bantal busuk pun ok, kalau hilang bantal busuk tu satu rumah tak dapat lelap sampai pagi - Demikianlah, proses berkawan dan mencari kawan berterusan sejak kecil hingga dewasa, kawan datang dan pergi silih berganti.

Setiap orang ada kawan biasa, kawan baik dan kawan yang sangat baik/rapat, macam isi dengan kuku. Kadang-kadang dah puas berkawan tiba-tiba dah berkelahi pulak, sampai mati tak baik kembali pun ada - Putus silaturrahim. Berdosa. Dalam berkawan perlu banyak bersabar, bertolak-ansur, kena boleh lebih-kurang, kena ada 'give and take'.

Jangan takut nak berkawan dengan orang lain di sekeliling kita. Jangan takut nak buat baik dengan orang lain. Kalau jadi bos jangan teragak-agak nak buat baik kepada orang bawah, jangan berbelah-bagi untuk berkawan dengan orang bawah. Siapa pun kita, apa pun kita, hidup dan urusan hidup akan jadi lebih mudah/lancar jika ada ramai kawan/kawan baik, kerana adat kawan baik sanggup melakukan apa saja demi kawan baiknya. Apa saja.

Namun, perlu berhati-hati dalam berkawan, dalam memilih kawan. Buat baik barpada-pada buat jahat jangan sekali. Perlu ditapis kawan yang ramai mana satu yang nak dijadikan kawan baik. Sebab ada orang makan orang, ada kawan makan kawan. Antara karenah kawan-kawan ialah hutang tak mau bayar, pinjam barang tak reti nak pulang, bergurau tak kira masa, usik tak kena tempat dan macam-macam lagi. Dah resam dunia begitu. Bermusuh biar satu berkawan biar seribu. Bersahabatlah dengan orang baik maka kita juga akan mendapat kebaikan, jika berkawan dengan orang jahat/tak senonoh lambat laun kita pun jadi tak senonoh jugak.

Antara perkara yang menyeronokkan dalam hidup ini ialah apabila tanpa diduga terjumpa dengan kawan baik/kawan lama yamg telah lama tidak berjumpa, maka macam-macamlah nostalgia lama yang akan diungkap semula. Antara soalan wajib tentang hal semasa ialah 'dah berapa orang anak?' Memang seronok jika dapat jumpa kawan-kawan lama yang sama-sama belajar dulu di Paya Kerchut, Ma'had AS, member 23B, Kolej Islam, Khir Johari SP dan UPM. Rindu benar nak berjumpa dengan Pak Chat, Pak Syeikh, Bai, Rashid, Wan Hassan, Mat Majid,
Salleh Osman, Fadzil Shafie, Jan, Fizi, (Shahrudin dah dua tiga kali jumpa di AS), Man Khamis,Saari, Omar dan ramai lagi yang lain.

Jika sudah berkeluarga tapi tak punya ramai kawan, atau tak ada kawan baik, maka jadikanlah isteri/suami dan anak-anak kita sebagai kawan baik. Api masa kecil jadi kawan dah besar jadi lawan. Anak-anak masa kecil jadi lawan dah besar jadi kawan. Ingat, kita juga merupakan kawan kepada kawan-kawan kita. Mesti ada semangat setiakawan. Nak kenal kawan, ajaklah dia untuk bersama dalam satu perjalanan jauh, nanti kenallah siapa dia selama ini - Alhamdulillah, kerana isteri dan anak-anak merupakan rakan yang baik/teman yang akrab di dalam banyak perjalanan jauh dan dekat yang telah dilalui bersama - Sekian. Jumpa lagi. Insya-Allah.

Tuesday, July 7, 2009

Hati

Hati ialah salah satu daripada organ penting di dalam tubuh manusia. Kemajuan sains perubatan telah membolehkan pembedahan pemindahan hati dilakukan oleh doktor pakar, iaitu A boleh mendermakan hatinya kepada B bagi membolehkan B meneruskan kehidupannya seperti orang lain yang sihat. Kita boleh mendermakan hati setelah kita meninggal dunia kepada sesiapa yang belum meninggal dunia, wasiat boleh dibuat, fatwa mengatakan boleh.

Ada banyak kata frasa yang berkaitan dengan hati seperti hati-hati, puas hati, mata hati, keras hati, buta hati, ambil hati, patah hati, hati batu, baik hati, busuk hati, kecil hati, sampai hati, jatuh hati, ada hati, jauh hati, dekat di hati, ikut hati mati dan sebagainya. Ada yang membawa makna positif dan ada pula yang membawa maksud negatif.

Maksud sebuah hadis Nabi SAW : di dalam badan manusia terdapat seketul daging jika baik daging tersebut maka baiklah seluruh badan dan jika rosak daging tersebut maka rosaklah seluruh badan, iaitulah hati - hati ialah raja dan anggota-anggota yang lain ialah rakyatnya. Jika raja perintahkan yang baik maka beruntunglah rakyat jika sebaliknya maka rugilah mereka. Macam dalam hikayat Pak Kaduk, oleh kerana raja suka berjudi dan berlaga ayam maka rakyat pun ikut berjudi dan berlaga ayam beramai-ramai, sebagai hobi nombor satu. Kepimpinan melalui teladan.

Setiap hari kita membersih/mengemas rumah. Setiap hari kita mencuci pinggan-mangkuk, mencuci pakaian, kereta, motosikal, mengelap lantai, cermin tingkap dll. Setiap hari lebih dari sekali kita cuci badan/mandi, gosok gigi dan berkumur tapi berapa orang yang teringat untuk membersihkan hati. Bersihkan hati tak boleh setahun sekali atau sebulan sekali, seminggu sekali pun tak boleh. Bersihkan hati kena buat tiap-tiap hari, kalau rajin tiap-tiap minit/saat, rehat masa tidur saja. Faham yang mudah, cara nak bersihkan hati ialah buat yang Allah suruh tinggal apa yang dilarang. Hati jadi kotor disebabkan dalamnya ada sifat-sifat yang syarak cela seperti sifat sombong, riak, ujub, sum'ah, pemarah, kedekut, tidak ikhlas dan lain-lain lagi.

Cuci pinggan guna sabun, cuci kereta dan rambut guna syampu, cuci getah nangka pada tangan guna minyak, cuci tile lantai guna asid. Tiap-tiap kotoran ada alat pencucinya yang khusus. Nak cuci najis babi kena guna air tanah, kalau salah satu daripadanya bukan air tanah, habis air satu laut pun takkan cuci. Nak cuci hati dengan apa? Apa alatnya? - Kena belajar/faham ilmu feqah barulah boleh elakkan sembahyang dan puasa daripada perkara-perkara yang boleh membatalkannya. Kena belajar/faham ilmu tauhid barulah boleh membersihkan iktiqat daripada perkara-perkara yang mensyirikkan dan kena belajar/faham ilmu tasauf barulah boleh membersihkan hati daripada sifat-sifat tercela tersebut. Belajarlah sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Ilmu yang fardu kifayah pun kena belajar jugak - Minta pada Allah agar panjang umur supaya dapat terus balajar. Insya-Allah. Sekian.

Thursday, July 2, 2009

Ter..

Di dalam Bahasa Melayu terdapat banyak kata imbuhan, salah satu daripadanya ialah imbuhan 'ter' Tapi bukan semua ter ialah imbuhan. Misalnya, di dalam perkataan terjun, terbit, terbang,terkam, termos dan lain-lain lagi, semua ter tersebut bukanlah ter imbuhan kerana semua ter tersebut ialah merupakan salah satu suku kata daripada kata dasar bagi lima perkataan tersebut. 'Ter' imbuhan pula ialah seperti terkawal, terdaki, terhiris, terlaris, (terkahwin?) dan sebagainya.

Imbuhan/awalan ter memberi beberapa makna seperti berikut:-
1. Makna sudah, contohnya :
terbukti = sudah dibuktikan
terhunus = sudah dihunus
terhasil = sudah dihasilkan
2. Makna keupayaan/dapat, contohnya :
terbayang = dapat dibayangkan
tertanggung = dapat ditanggung
tercapai = dapat dicapai
3. Makna tidak sengaja/tiba-tiba, contohnya :
terjatuh = tiba-tiba jatuh
terpegang = tiba-tiba pegang
tertembak = tiba-tiba tembak
4. Makna paling, contohnya :
terbaik = paling baik
tertinggi = paling tinggi
terpantas = paling pantas

Kali ini, kita hanya akan menumpukan perhatian kepada ter yang bermakna tidak sengaja sahaja (no. 3). Tiga contoh ter ini telahpun dinyatakan di atas, contoh-contoh seterusnya seperti terduduk, tertikam, tergunting, tertusuk, tercium, (terkahwin?) dll. 'Ter' yang tanpa sengaja ini ianya terjadi tanpa dirancang, tanpa diduga, tanpa sempat berfikir, tanpa bersedia/persediaan, ia terjadi/berlaku dalam sekelip mata sahaja secara tiba-tiba, contohnya :
i) Dia terjatuh ketika sedang berjalan kaki menuju ke surau. ii) Ali terpegang kepala ular tedung selar ketika sedang mendaki tebing bukit tersebut. iii) Anggota polis tersebut tertembak rakan setugasnya semasa mereka mengejar seorang perompak.

Sekarang, cuba kita sama-sama bayangkan pula, bagaimanakah rupanya permulaan dan pengakhiran bagi sesuatu perkahwinan yang dibina (terkahwin?) tanpa diduga/tanpa dirancang/tanpa difikir/sekelip mata - akan lebih parah lagi jika disertai pula faktor tanpa restu. Dimanakah perkahwinan seumpama ini akan bernokhtah? - Tentu kita tak mahu melalui atau melihat jenis perkahwinan yang seronoknya/intan payungnya cuma enam bulan lepas tu susah/kelam- kabut/huru-hara/haru-biru sampai mati.

Sebenarnya, dalam masyarakat Islam/Melayu tidak wujud konsep perkahwinan yang terjadi secara tiba-tiba/tak sengaja. Mana mungkin begitu? Kerana sesebuah perkahwinan/pernikahan itu melibatkan beberapa proses, seperti proses memilih pasangan, proses saling bersetuju, proses menetapkan tarikh,hari dan masa, proses persetujuan/izin oleh wali, proses ijab kabul dan macam-macam lagi, lebih-lebih lagi jika inilah baru pertama kali nak mengahwinkan anak, anak sulung pulak tu, anak perempuan pulak tu, mak tak nak bersanding, nenek kata apa jadi pun kena bersanding, bapa nak potong lembu, datuk kata lembu tak cukup besar mesti potong gajah, macam-macam hal hingga prosesnya boleh jadi sampai berbulan-bulan jika pun tidak bertahun-tahun.

Kesimpulannya, isu (Terkahwin) ni tak boleh nak disamakan dengan lain-lain ter (no. 3 - tak sengaja) seperti yang telah dinyatakan di atas. Allah SWT mahu setiap perkahwinan itu mestilah dirancang, dihalusi, diteliti dengan sebaik-baiknya terlebih dulu supaya ianya menjadi ibadah yang berpanjangan. Allah tak suka sesuatu kerja itu dilakukan secara gopoh-gapah,tergesa-gesa dan terburu-buru lebih-lebih lagi yang melibatkan kesejahteraan diri dan keturunan/zuriat masa hadapan. Sekian. Jumpa lagi. Insya-Allah.