Friday, May 28, 2010

Budak-Budak PN

Budak-budak Paya Nedam (PN) yang menjadi kanak-kanak atau remaja sekitar era 60-an dan 70-an atau sebelum itu, boleh dikatakan semuanya tidak ada yang takut kepada hantu (mungkin adalah yang takut sikit-sikit tapi tidaklah sampai nak melangkah pun takut). Zaman tersebut PN belum lagi ada lampu elektrik,air paip dan jalan mini tar seperti sekarang, masa tu yang ada ialah jalan mini tanah merah yang akan becak,berlumpur serta dipenuhi lopak air semasa hari/musim hujan malah ada di tempat-tempat tertentu jalannya bergelung-gelung/berparit akibat hakisan oleh air hujan. Pada waktu malam bulan 30 suasana PN masa tu memang gelap gelemat/gelita, jika tiba-tiba lepas waktu isyak baru perasan gula,tepung,minyak kelapa atau curut cap ikan dah habis,maka anak-anaklah yang disuruh pergi ke kedai TokPek Yam,Hj.Awang Senapi (Ayer Puteh) atau kedai ArwahHj.Bedon (Paya Kerchut) untuk membeli barang-barang tersebut, bukannya boleh cakap takut,jika sorang takut pergilah dua orang,pergi tetap kena pergi jugak, zaman tu belum lagi ada motosikal, kereta jauh sekali, pergilah naik basikal, kalau kedai TokPek Yam jalan kaki pun boleh, suluhlah jalan dengan lampu picit itu pun jika baterinya masih ok sebaliknya jika cahaya yang keluar malap bak api curut cap ikan saja maka lebih baik bawa pelita tanglung saja dan jangan lupa bawa sebatang kayu/buluh jika terserempak dengan ular kapak boleh terus bantai, itu pun jika sempat nampak dulu ular tu,jika dah terpijak dulu baru nampak maka berangkatlah malam tu ke hospital Alor Setar duduk wad 7.

Kanak-kanak PN zaman tu jika penakut maka pada malam hari apa benda pun tak dapat dibuat,tidur sajalah yang boleh, seperti tak dapat nak ke surau bulan ramadhan,tak dapat pergi nonton tv di rumah Paklang Kadir, tak dapat pergi tahlil di rumah jiran, tak dapat pergi ngaji Quran dll. - Maksudnya,suasana dan persekitaran masa tu menjadikan budak-budak PN mahu tak mahu kena jadi berani.

Terdapat beberapa lokasi dalam PN yang dikatakan ada penunggu dan memang pun meremang bulu roma setiap kali melintasi tempat-tempat tersebut lebih-lebih lagi pada malam hari seorang diri pulak. Jika dari rumah Tok Kedah (TK) menghala ke arah matahari naik lokasi seram pertama ialah sempadan TK dengan rumah Pakteh Mat Lembik iaitu di kaki gon/bukit berkenaan, lokasi kedua ialah di selekoh atas gon tersebut yang masa tu ada sebatang pokok cempedak kilas serta sebatang pokok remia/kundang yang merimbun, seterusnya di kawasan berhutan antara rumah Arwah Paklong Yaakob dengan selekoh PakChik Mat Enoh, berikutnya ialah di gon Arwah Salleh Lemaga (Abang Arwah PakTeh Sahak) iaitu sempadan PN dengan P.Kerchut. Adalah beberapa cerita/insiden menyeramkan berlaku di tempat-tempat berkenaan seperti yang pernah diceritakan oleh Arwah PakTeh Sahak serta beberapa orang lain. Malah di gon Arwah Salleh Lemaga jika nasib tak baik hingga sekarang pun boleh terjumpa perkara pelik seperti ramai orang berpakaian serba putih berarak memenuhi jalan mengusung keranda waktu tengah malam/awal pagi.

Kalau kita boleh nampak hantu, maka rupanya mungkin samalah seperti yang sering dipaparkan melalui siri-siri seram/drama dalam tv - sama ada boleh dilihat atau tak boleh dilihat apa yang nak ditakutkan, belum ada lagi kita terdengar di mana-mana pun ada hantu yang pukul,bunuh atau samun orang (yang guna hantu melalui sihir adalah,itu cerita lain) .
Hantu ni ialah sejenis makhluk yang dilaknat oleh Allah SWT, hantu/syaitan/iblis ialah musuh Allah dan musuh orang Islam/Mukmin, tak perlu kita takut kat dia macam kita tak perlu takut pada orang kafir. Sebaliknya hantulah yang sepatutnya perlu takut kat kita orang mukmin - Jika kita melaksanakan solat dan puasa serta lain-lain, dan telah ada ilmu tauhid dan tasauf di dada insyaAllah tak ada sekor hantu pun yang berani mau berjumpa secara sengaja atau tak sengaja dengan kita - Ada sebuah peristiwa, pernah pada satu malam semasa baba berumur lingkungan awal 20-an, berbasikal seorang diri balik dari Pondok Gajah Mati (Pondok PakChu Him) jam 3.30 pagi melaui beberapa tempat yang dikatakan 'keras' seperti di simpang masuk ke Kg. Paya Nedam Pak Da Budoi, rumah Pak Long Li, pokok gerko, gon Salleh Lemaga dan seterusnya, Alhamdulillah selamat sampai ke rumah tak ada pun hantu yang cuba datang menyakat. Cuma pesan arwah Babatok jika pergi ke mana-mana seorang diri terutamanya waktu malam bawalah senjata tajam (besi) paling tidak pun sebatang paku pun jadi, kerana katanya syaitan takut besi/senjata.

Ok, sekian dulu.

Sunday, May 23, 2010

Iktikad yang Jazam

Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, disusuli pula dengan kewafatan seorang demi seorang para sahabat,tabiin dan pengikut-pengikut tabiin, maka telah muncul di dalam masyarakat pelbagai aliran fahaman yang pelik-pelik khususnya dalam ilmu tauhid yang bertentangan dengan Quran, Hadis dan Ahli-Sunnah-Waljamaah seperti fahaman muktazilah, jabariah, qadariah, mujassimah, musabbihah dan sebagainya. Sebuah hadis Nabi yang mafhumnya : Pada akhir zaman kelak umatku akan berpecah kepada 73 puak, hanya satu yang benar iaitu Ahli-Sunnah-Waljamaah - Yang 72 lagi sesat belaka.

Pelbagai tafsiran yang batil tentang zat, sifat, asma’ dan perbuatan Allah taala disebarkan di dalam masyarakat oleh puak-puak ini – maka seandainya kita tidak mempelajari / mendalami ilmu tauhid (ilmu sifat 20) dengan guru-guru yang mahir/ ahli secara berkitab maka pada adatnya begitu sukar untuk kita menghindarkan diri daripada terjerumus ke dalam perigi buta salah satu / beberapa daripada fahaman-fahaman karut berkenaan.

Dalam kemelut ini mujurlah telah bangun Imam Abu Hassan As-Shaari dan Imam Abu Mansur Al Maturidi yang telah menjawab dan membetulkan penyelewengan akidah yang dilakukan oleh puak-puak tersebut – Ingatlah bahawa awal-awal agama ialah mengenal Allah, tauhid ialah semulia-mulia ilmu. Bahawa Allah hanya menerima keimanan / iktikad kesimpulan iman yang jazam ( yang tiada syak, zan dan waham) sahaja dan tidak taqlid buta tuli.

Oleh itu, maka gigitlah ilmu tauhid / sifat 20 ini dengan gigi gerahammu wahai muslimin dan muslimat iaitu aqidah yang berteraskan kepada Imam As-Shaari dan Imam Maturidi yang menjadi dasar pegangan tauhid Ahli-Sunnah-Waljamaah – Cuba kita khatamkan kitab Risalah Tauhid dan Qatrul-ghaisiah di rumah sebelum masa lapang yang ada menjadi bertambah sibuk atau ketika muda sebelum tua – Ok jumpa lagi, insyaAllah.



Monday, May 17, 2010

Memahami Perkahwinan

Biasanya sesebuah perkahwinan itu didirikan atas dua asas penting iaitu kasih sayang dan belas kasihan, sama ada kedua-dua asas ini wujud sebelum akad atau selepas akad itu soal lain. Namun, selepas beberapa minggu atau beberapa bulan atau beberapa tahun, kejayaan perkahwinan tersebut bergantung pula kepada dua faktor penting iaitu perkongsian dan pengorbanan. Perkahwinan ialah perkongsian hidup antara suami dengan isteri, iaitu berkongsi pendapatan, tempat tinggal, kenderaan, perasaan, kesenangan, kesusahan, harta, suka, duka dsbnya. Perkahwinan juga sangat memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan ianya akan menjadi sukar. Banyak rumah tangga yang akhirnya runtuh kerana sisuami dan siisteri masing-masing enggan melakukan pengorbanan, iaitu masing-masing tidak mahu mengalah. Malah perlu diingat, bahawa pengorbananlah satu-satunya cara terakhir bagi menyelamatkan sesebuah perkahwinan yang bermasalah. Pengorbanan menjadi penting kerana sebagai insan yang serba lemah, maka kedua-dua pihak suami dan isteri mempunyai beberapa kelemahan dan kekurangan tertentu yang sukar diatasi/dirawat, maknanya ada kelemahan tertentu yang 'terpaksa' diwarisi sampai ke akhir hayat. Misalnya, jika kebetulan isteri tak pandai berhias, masakan tak pernah yang sedap, suka berleter, kuat cemburu, kedekut pulak tu dll maka suami
kenalah berkorban untuk menerima dan membiasakan diri dengan salah satu atau beberapa kelemahan isteri seperti tersebut. Sebaliknya, jika sang suami pula sangat suka mengeteh di warung, suka keluar malam, gemar menonton tv cerita hindustan, minat memetir dsb, maka kenalah pula isteri berkorban menerima hakikat ini - jika kedua-dua pihak enggan mengalah tak mahu menerima hakikat-hakikat ini maka ibarat retak menunggu belah - memang akan terbelah.

Kebanyakannya, dalam mana-mana perkahwinan pun, pada satu peringkat tertentu, kebahagiaan suami dengan isteri bukan lagi menjadi perkara penting kerana pada waktu itu yang lebih penting ialah kebahagiaan untuk anak-anak, seterusnya apabila anak-anak bahagia maka ibu bapa juga turut bahagia, maksudnya jika salah seorang atau kedua-dua suami isteri enggan melakukan pengorbanan maka pada adatnya semua orang dalam keluarga tersebut sukar mengecap erti kebahagian - malangnya ada pasangan yang gagal menguruskan takdir ini secara bijaksana, emosi dibiarkan menguasai rasional, begitulah Allah SWT menguji keimanan kita dalam urusan berumahtangga.

Moral kisahnya ialah, pilihlah bakal suami atau bakal isteri yang mempunyai tidak terlalu banyak sangat kelemahan dan kekurangan seperti tak tau baca Quran, tak tau sembahyang, tak tau memasak, tak tau menjahit, tak reti nak hormat orang, berbahasa kasar, suka mencarut, minat menjerit tak tentu pasal, tangkai jering, suka membetu, suka dedah aurat, hasad dengki, tak boleh lebih kurang, gemar pawang-memawang, malas mandi, tak suka dengar hal agama, canggih dll semua ada pada dia, susahlah macam tu. Elok carilah orang lain, banyak lagi.
Ok jumpa lagi, insyaAllah.

Monday, March 15, 2010

Pondok Sewa 23B

Jarak antara Maktab Mahmud (MM) dengan Paya Nedam ialah lebih kurang 35 km. Tidak mungkin boleh berulang-alik dari rumah ke sekolah tiap-tiap hari, iaitu dari rumah ke Ayer Putih Dalam
10 minit, tunggu bas mara datang 30 minit, perjalanan ke Pendang 20 minit, tunggu bas UTC 15 minit dan perjalanan ke Simpang Kuala 45 minit,turun bas berjalan kaki ke sekolah 15 minit, jumlah semua 135 minit.Agak mustahil. Pukul berapa mesti bangun tidur.Pukul berapa pula baru nak sampai Maktab Mahmud. Itu tahun 1971. Tapi memang ada budak-budak Pendang
yang berulang-alik ke Maahad naik bas UTC nombor 6, tak apalah mereka naik satu bas saja,
kalau naik bas pukul 6.00 pagi,pukul 7.00 dah sampai sekolah, jika naik bas pukul 6.30 pagi pun
masih boleh sampai sekolah sebelum loceng berbunyi.

Apabila diarahkan supaya meneruskan pelajaran menengah di Maahad pada tahun1971, maka
sudah tentulah kena tinggal di Alor Setar.Semasa tahun pertama dalam kelas persediaan/remove/ikdaadi 1 (masa tu MM ada dua tahun persediaan) tinggallah di Taman BB Park belakang Shell Simpang Kuala menumpang di rumah Ustaz Zakaria seorang guru di MM, iateri Us.Zakaria ialah Allahyarhamah Kak Khir anak Tok Long Hj.Hussin Che'Doi iaitu abang babatok. Abang Zakaria dah lama pencen, kini aktif mengajar agama di Kedah termasuk di radio. Lebih kurang setahun tinggal di situ bersama dengan Mahfuz, masa tu Jalaludin dan Tajudin
iaitu anak Us.Zakaria pun sedang belajar di MM.

Tahun berikutnya, pindah ke rumah/pondok sewa berhadapan dengan SMK Keat Hwa di jalan Kuala Kedah lebih kurang jaraknya 1km dari MM. Tinggal di rumah/pondok sewa tersebut bersama Mahfuz dan abangnya iaitu Hishamuddin (Us.Mad). Di sini terdapat 7 buah pondok
dan 2 buah rumah yang disewa kepada budak-budak Maahad. Tuan rumah-rumah sewa ini ialah Arwah Pak Usup dan isterinya Arwah Kak jam. Terkenal dengan nama pondok 23B. Lokasi 23B ini diapit oleh dua buah kedai runcit iaitu kedai runcit kepunyaan Pak Usup dan sebuah lagi milik seorang mamak.

Maka duduklah di 23B tu selama 3 tahun masak sendiri menggunakan dapur semawar guna kuasa minyak tanah. Ada 2 jenis dapur yang biasa digunakan waktu tu iaitu dapur minyak yang guna banyak sumbu kain benang macam pelita atau dapur semawar yang kena dipam macam dapur orang jual apam balik, dapur ini mengeluarkan bunyi yang agak kuat. Tiap-tiap hari makan nasi dengan sayur sawi dan ikan kering saja, sekali sekala adalah masak kari kadang bubuh santan kadang santah tah di mana, serta goreng ikan basah. Tiap-tiap pagi ada seorang penjual ikan Melayu dengan motosikal datang jual ikan dan sayuran. Satu atau Dua minggu sekali balik kampung ambil beras dan duit untuk belanja.Time paling mencabar ialah pada bulan
puasa iaitu kena masak sendiri lauk untuk berbuka dan bersahur. Inilah latihan hidup ketika umur 13 hingga 16 tahun, yang mungkin tidak dialami pun oleh peserta-peserta PLKN hari ni.

Waktu tu terdapat beberapa lokasi pondok sewa di sekitar MM, di jalan Kuala Kedah saja kalau tak silap ada 5 lokasi yang setiap satunya mempunyai tidak kurang daripada 5 buah pondok. Pondok-pondok ini berlantai dan dinding papan dan kebanyakannya beratap rumbia,apabila hujan turun bocor sana bocor sini, saiznya sama seperti pondok di Pondok-Pondok yang banyak terdapat di Kedah dan Kelantan. Ramai
pelajar MM yang menyewa di pondok yang berjaya di dalam pelajaran seterusnya menjawat pelbagai jawatan di dalam berbagai bidang termasuklah bidang profesional, misalnya Brigadier
Jeneral(B) Najmi Ahmad bekas pengarah KAGAT ialah salah seorang product 23B, malah boleh dikatakan semua pelatih PLKN 23B waktu itu berjaya dalam mengejar cita-cita masing-masing-sekian.
Jumpa lagi, wassalam.