Wednesday, August 24, 2011

INGAT

Kita masih dapat menulis di mana-mana media kerana kita masih punya ingatan. Orang normal ialah sesiapa yang masih punyai ingatan serta ingatannya itu pula tidak digunakan untuk perkara-perkara yang abnormal/menyalahi adat dan syarak. Adanya ingatan menunjukkan kita masih punya akal. So,orang yang tidak mempunyai ingatan samalah statusnya macam orang gila.

Kerana memiliki ingatanlah maka kita dapat mengingat semula macam-macam perkara yang telah berlaku dan membuat telahan peristiwa yang akan terjadi,kebolehan mengingat dan menelah inilah antara yang menjadikan kita berbeza berbanding dengan makhluk-makhluk lain.

Sebab ada ingatanlah maka kita dapat beringat, dalam hidup ini kita kena selalu beringat. Masa senang kena beringat untuk masa susah,jika muda kena beringat untuk masa tua, jika dah pun tua kena pula beringat untuk masa tua bangka, ketika masih hidup kena beringat untuk masa jasad dah terbujur kaku,begitulah seterusnya.

Jika sebagai ibu atau bapa pula, maka kenalah selalu memberi peringatan kepada anak-anak akan belajar rajin-rajin, solat dan puasa jangan ponteng, kena hormati ibu-bapa dan orang-orang yang lebih tua dan sebagainya.

Kita juga akan teringat macam-macam, misalnya apabila mengidap sesuatu penyakit atau apabila ditimpa sesuatu kemalangan maka teringat dah hampir nak mati, apabila duduk sorang-sorang teringat kisah-kisah lama, apabila badan selalu sakit-sakit teringat rupa-rupanya aku ni dah tua, apabila terpandang anak-anak yang dah besar-besar belaka teringat aku ni dah dekat nak dapat menantu, serta berbagai-bagai monolog lagi.

kita juga sering diingatkan oleh pelbagai pihak, agar jangan suka membazir, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali, ikut nafsu lesu ikut hati mati dan lain-lain lagi.

Kita juga ingin diingati, terutamanya diingati oleh anak-anak dan orang-orang lain yang kita sayang, misalnya selepas meninggal dunia tentu ternanti-nanti ingatan oleh anak-anak melalui doa dan zikir mereka, mahu diingati sebagai seorang yang baik semasa hayatnya.

Semuanya tentang ingat seperti di atas hanya boleh dicapai dengan selalu kita melakukan proses saling ingat-mengingati di antara suami dengan isteri,ibubapa dengan anak-anak, imam dengan makmum serta juga melalui proses muhasabah diri/introspeksi. Akhir sekali,jangan ingat apa yang kita telah buat selama ini semuanya betul/benar belaka - Sekian,jumpa lagi,InsyaAllah.

Thursday, August 11, 2011

Hal Lampu

Dalam hidup ini ada banyak perkara yang kita kejar/kena dikejar.Jenis yang ramai orang suka kejar seperti wangringgit,hartabenda,pangkat,wanita,kemewahan serta keseronokan.Jenis yang kena dikejar pula ialah seperti umur yang kian pendek,muda yang sebentar,sihat sebelum sakit dan hidup sebelum mati. Jenis kejar yang pertama di atas dibuat/diminati oleh hampir semua orang tanpa mengira umur,jantina,bangsa,agama,fahaman politik mahupun budaya.Bagi yang kedua pula hanya diminati oleh mereka yang beriman dan berakal sahaja.

Selain daripada mengejar perkara-perkara di atas,ada satu lagi perkara yang sangat gemar dikejar khususnya oleh golongan pemandu lori,kereta,bas,teksi serta penunggang motosikal pun iaitu mengejar lampu merah di persimpangan lampu isyarat.Cuba bayangkan bagaimanakah rupanya jika penunggang-penunggang basikal pun berminat sama mengejar lampu merah ni?!!

Jadi, sebagai pemandu apa pun kenderaan kenalah lebih berhati-hati di persimpangan lampu isyarat melebihi daripada di laluan lain. Sebab jika anda berhenti di lampu merah dalam keadaan tanpa diduga mungkin kenderaan kita akan dilanggar oleh pemandu yang mengekori di belakang, sebaliknya jika kita tak mahu berhenti walaupun lampu tu dah kuning/merah maka mungkin kita akan bertembung di tengah-tengah persimpangan tersebut dengan kenderaan lain yang memecut dari lorong hijau. Masalahnya,Yang merah kata yang di sana masih belum hijau lagi,yang belum hijau pula kata yang di sana dah merah,sebagai akibat kedua-duanya berbungkus dengan kain putih di hospital duduk katil sebelah-menyebelah,kau pandang aku aku pandang kau.

Mungkin perkara ini dapat diatasi dengan satu mekanisma baru iaitu satu palang besi (seperti palang besi di pintu masuk jabatan-jabatan kerajaan)akan turun serentak bersama dengan merahnya lampu isyarat berkenaan,jadi semua pemandu tentu akan berhenti kerana takut melanggar palang berkenaan. Sebelum cara ini dilaksanakan kenalah dijalankan dulu projek rintis di beberapa lokasi tertentu. Mungkin keluarga arwah pemandu degil yang melanggar palang besi berkenaan akan menyaman kerajaan pula. Oleh itu, palang besi berkenaan bolehlah dibuat daripada material lain yang jika dilanggar pun ia tidak akan merosakkan kenderaan serta tidak membahayakan 'pemandu bengong' berkenaan. Jika dah dilanggar kereta pun tak rosak pemandu juga tak cedera maka masalah akan kembalilah menjadi seperti sebelum ada palang berkenaan. Pulak dahh!!!!!

Sekian,jumpa lagi.

Thursday, July 14, 2011

Tanggungjawab Keselamatan

Dalam situasi aman dan normal,kehidupan kita berjalan macam biasa,dalam konteks ini keselamatan diri sendiri serta keluarga kita,sentiasa diawasi oleh pihak berkuasa seperti polis dan tentera,malah di setengah-setengah tempat ada pula rukun tetangga ataupun sekuriti swasta. Namun harus diingat,dalam situasi tidak aman seperti pergaduhan sesama sendiri,antara kaum atau mungkin serangan oleh pihak luar,tentu akan mencetuskan keadaan kelam-kabut dan kacau-bilau hingga sampai pada satu tahap mungkin pihak berwajib tidak mampu lagi menjamin/mengawal keselamatan rakyat dan keamanan negara. Contoh andaian ini boleh dilihat seperti yang sedang terjadi di Iraq,Afghanistan,Palestin dan contoh terdekat ialah di Selatan Thai dll.

Akan tiba satu ketika,apabila urusan keselamatan diri dan keluarga sebahagian besarnya kalaupun tidak semua akan terpikul di atas bahu sendiri masing-masing,iaitu tanggungjawab mencegah jenayah dan melawan penjenayah seperti rompakan,samun,pecah rumah,gangster dsbnya yang sentiasa berlaku di dalam masyarakat kita tanpa mengira musim,malah yang pasti kadarnya tentu akan lebih tinggi jika keselamatan negara sudah di luar kawalan pihak berkuasa seperti dinyatakan di atas.

Justeru,dalam keadaan ini (minta simpang),maka masing-masing perlulah menjaga sendiri diri serta keluarga dengan apa cara sekalipun.Keadaan ini telahpun menjadi kenyataan semasa era pemerintahan Jepun dulu,diikuti pula semasa pemerintahan Bintang Tiga (komunis),sehingga pihak pemerintah waktu itu terpaksa membentuk unit 'home-guard' di kalangan orang kampung bagi menjamin keselamatan harta benda dan penduduk kampung masing-masing terutamanya pada waktu malam.

Kerana memikirkan situasi-situasi seperti inilah yang boleh berlaku dari masa ke semasa maka orang tua-tua dahulu melengkapkan diri mereka setidak-tidaknya dengan serba sikit ilmu mempertahankan diri yang secara amnya terbahagi kepada dua aspek iaitu pertahanan diri fizikal seperti mempelajari ilmu persilatan yang banyak terdapat di negara kita dan pertahanan diri nonfizikal iaitu amalan-amalan wirid tertentu yang kebiasaannya diamalkan setiap hari selepas solat maghrib dan subuh. Inilah dua aspek petahanan diri yang sepatutnya sentiasa diambilberat serta dijadikan semacam 'satu kewajipan' di dalam semua keluarga orang Islam khususnya.
Mungkin aspek yang kedua itu lebih mudah dipraktiskan tanpa mengira lelaki atau perempuan kerana ia tidak terikat sangat dengan faktor kewangan,kesihatan,kesibukan kerja/belajar,ruang dan masa.Ingatlah sejarah selalu berulang.Ingatlah jangan dah terantuk baru nak terngadah.Ingatlah jangan dah nak terberak sangat-sangat baru sibuk nak menggali lobang.Ingatlah.
Ok,jumpa lagi.

Friday, July 8, 2011

Maahad Mahmud

Setelah tamat darjah 6 pada hujung tahun 1970, isi borang untuk masuk tingkatan satu SMK Pendang. Tiba-tiba pada satu hari dimaklumkan oleh Tok Kedah akan menyambung pelajaran menengah di Maktab Mahmud Alor Setar pulak (lebih dikenali sebagai Ma'had di kalangan rakyat negeri Kedah). Kawan-kawan lain ada yang masuk SMK Pendang mungkin ada yang masuk sekolah arab Pendang dan ada yang tidak masuk kemana-mana pun, duduk rumah tolong ibu bapa, macam tulah nasib budak-budak kampung masa tu.


Dulu-dulu Maktab Mahmud tidak menjadi sekolah pilihan ibu bapa macam sekarang, masa dulu tidak keterlaluan jika dikatakan anak-anak yang cemerlang akademik di sekolah rendah tidak mahu masuk Maktab Mahmud, malah ibu bapa mereka pun tak mahu anak mereka belajar di situ. Mentaliti masyarakat waktu tu jika tamat belajar di Maktab Mahmud hanya layak jadi ustaz dan tok kadi sahaja. Hari ni, jika tak dapat UPSR 5A jangan disebut nak masuk Maktab Mahmud,itupun belum tentu lagi dapat.


Senario tersembunyi yang masyarakat era tersebut tak tahu atau tak berapa faham ialah pelajar-pelajar Maktab Mahmud yang lulus cemerlang dalam SRP/PMR akan ditawarkan menyambung pelajaran ke tingkatan 4 aliran sastera/agama dan aliran sains di Kolej Islam Kelang(KIK)(Kolej Islam Sultan Alam Shah Kelang). Melalui saluran inilah ada pelajar-pelajar Ma'had yang berjaya menjawat kerjaya bidang profesional seperti peguam, ahli farmasi (macam Fadhil Shafie), doktor (macam YB Dr.Hayati Parlimen Pendang) dll. Hari ini, anak-anak Maktab Mahmud tak perlu lagi ke KIK kerana aliran sains tulen-agama telah disediakan di sana.


Dulu-dulu yang berpusu-pusu menghantar anak-anak mereka ke Maktab Mahmud imajoritinya

ialah ibu bapa dari luar bandar iaitu sebelah Jitra, Kuala Nerang, Pendang, Sik, Baling, Yan dll. Ibu bapa bandar/pinggir bandar sangat kurang - cuba sama-sama fikir kenapa begitu?


Masa tu Maktab Mahmud hebat dalam bola sepak, selalu berentap dengan Kolej Sultan Abd. Hamid. Sekolah lain yang ternama di Kedah ialah Sekolah Sultan Abd. Halim Jenan (asrama penuh). Kehebatan Maktab Mahmud dalam kelasnya yang tersendiri, misalnya penggunaan "maktab" pada namanya serta beberapa lagi ciri tersendiri yang lain.


Sebenarnya, walau dibandingkan dengan sekolah mana pun, maka Maktab Mahmudlah yang paling hebat sekali, kerana pada setiap hari/minggu murid-muridnya kena belajar sebanyak 18 atau 19 mata pelajaran iaitu 8 subjek akademik dan 9-10 subjek arab-agama. Setelah tamat tingkatan 6 sekolah menengah pelajarnya hanya mendapat 3 sijil peperiksaan sahaja tapi di Maktab Mahmud boleh dapat 5 sijil. Memang hebat!
Akademik pun dapat,agama pun dapat.Tentulah hebat!!. Ok,jumpa lagi.