Sunday, November 29, 2009

Maa'had Mahmud

Setelah tamat darjah 6 pada hujung tahun 1970, isi borang untuk masuk tingkatan satu SMK Pendang. Tiba-tiba pada satu hari dimaklumkan oleh Tok Kedah akan menyambung pelajaran menengah di Maktab Mahmud Alor Setar pulak (lebih dikenali sebagai Ma'had di kalangan rakyat negeri Kedah). Kawan-kawan lain ada yang masuk SMK Pendang mungkin ada yang masuk sekolah arab Pendang dan ada yang tidak masuk kemana-mana pun, duduk rumah tolong ibu bapa, macam tulah nasib budak-budak kampung masa tu.


Dulu-dulu Maktab Mahmud tidak menjadi sekolah pilihan ibu bapa macam sekarang, masa dulu tidak keterlaluan jika dikatakan anak-anak yang cemerlang akademik di sekolah rendah tidak mahu masuk Maktab Mahmud, malah ibu bapa mereka pun tak mahu anak mereka belajar di situ. Mentaliti masyarakat waktu tu jika tamat belajar di Maktab Mahmud hanya layak jadi ustaz dan tok kadi sahaja. Hari ni, jika tak dapat UPSR 5A jangan disebut nak masuk Maktab Mahmud,itupun belum tentu lagi dapat.


Senario tersembunyi yang masyarakat era tersebut tak tahu atau tak berapa faham ialah pelajar-pelajar Maktab Mahmud yang lulus cemerlang dalam SRP/PMR akan ditawarkan menyambung pelajaran ke tingkatan 4 aliran sastera/agama dan aliran sains di Kolej Islam Kelang(KIK)(Kolej Islam Sultan Alam Shah Kelang). Melalui saluran inilah ada pelajar-pelajar Ma'had yang berjaya menjawat kerjaya bidang profesional seperti peguam, ahli farmasi (macam Fadhil Shafie), doktor (macam YB Dr.Hayati Parlimen Pendang) dll. Hari ini, anak-anak Maktab Mahmud tak perlu lagi ke KIK kerana aliran sains tulen-agama telah disediakan di sana.


Dulu-dulu yang berpusu-pusu menghantar anak-anak mereka ke Maktab Mahmud imajoritinya

ialah ibu bapa dari luar bandar iaitu sebelah Jitra, Kuala Nerang, Pendang, Sik, Baling, Yan dll. Ibu bapa bandar/pinggir bandar sangat kurang - cuba sama-sama fikir kenapa begitu?


Masa tu Maktab Mahmud hebat dalam bola sepak, selalu berentap dengan Kolej Sultan Abd. Hamid. Sekolah lain yang ternama di Kedah ialah Sekolah Sultan Abd. Halim Jenan (asrama penuh). Kehebatan Maktab Mahmud dalam kelasnya yang tersendiri, misalnya penggunaan "maktab" pada namanya serta beberapa lagi ciri tersendiri yang lain.


Sebenarnya, walau dibandingkan dengan sekolah mana pun, maka Maktab Mahmudlah yang paling hebat sekali, kerana pada setiap hari/minggu murid-muridnya kena belajar sebanyak 18 atau 19 mata pelajaran iaitu 8 subjek akademik dan 9-10 subjek arab-agama. Setelah tamat tingkatan 6 sekolah menengah pelajarnya hanya mendapat 3 sijil peperiksaan sahaja tapi di Maktab Mahmud boleh dapat 5 sijil. Memang hebat!
Akademik pun dapat,agama pun dapat.Tentulah hebat!!. Ok,jumpa lagi.

Monday, November 23, 2009

Orang Cerdik

Orang cerdik tidak semestinya datang daripada keluarga yang ahli-ahlinya semua cerdik, begitu juga orang bodoh tidak semestinya berasal daripada keluarga yang terdiri daripada orang-orang bodoh belaka. Bukan semua orang cerdik dilahirkan terus jadi cerdik, demikian juga dengan orang bodoh bukannya dia bodoh sejak lahir atau sejak sebelum lahir. Justeru, sesiapapun tanpa mengira latar belakang boleh menjadi orang cerdik jika dia diasuh untuk menjadi cerdik atau setelah besar dia sendiri mahu berusaha sendiri untuk menjadi orang cerdik.

Cerdik atau tidak bukan ada kaitan dengan keturunan atau genetik. Macam rambut kerinting, hidung mancung, kulit hitam bolehlah dikaitkan dengan genetik ibubapa, itupun jika sianak tersebut mewarisi gen dominan dari kedua ibubapa, sebaliknya jika dia mewarisi gen resesif maka rambutnya akan lurus hidungnya kemek dan kulitnya putih berbeza fizikal dengan adik beradiknya yang lain. Cerdik ialah sifat mendatang yang diperolehi oleh seseorang itu setelah dilahirkan sama seperti sifat rajin, amanah, periang, ikhlas dll yang boleh dibina dari masa ke semasa.

Dalam Islam orang yang ditakrifkan sebagai cerdik ialah mereka yang memahami asas-asas agama memahami yang rukun-rukun yang fardhu-fardhu yang sentiasa berminat dan sentiasa mendalami ilmu-ilmu agama di samping tidak mengabaikan tuntutan hidup di dunia.
Orang cerdik yang sebenarnya ialah orang-orang yang kenal Allah dan Rasulnya - bodoh macam manapun, miskin atau hina macam manapun jika kenal Allah maka cerdiklah orang tu - sebaliknya bijak macam manapun, kaya dan pangkat tinggi macam manapun tetap dikira bodoh jika tak kenal Allah. Sebab itulah tauhid ialah setinggi-tinggi dan semulia-mulia ilmu kerana ia membahaskan tentang zat dan sifat yang maha mulia, inilah ilmu mengenal Allah.

Kita mesti jadikan diri kita cerdik di dunia dan cerdik di akhirat, nak cerdik di akhirat salah satu syarat utamanya ialah kena kenal Allah dengan kenal yang jazam iaitu tanpa ada syak,zhan dan waham. Dengan kelas tauhid di surau-surau dan di masjid-masjid yang semakin sukar ditemui pada masakini maka makin berlipatgandalah bilangan puak-puak yang cerdik di dunia bodoh di akhirat atau bodoh di dunia dan akhirat, walhal seperti yang telah dinyatakan di awal tadi orang bodoh pun boleh kenal Allah, lalu jadilah ia cerdik - Ok jumpa lagi.

Wednesday, November 4, 2009

Rumah

Menurut Abraham Maslow (1943) terdapat 5 keperluan asas manusia iaitu makanan/minuman, keselamatan/perlindungan, kasih sayang, penghargaan dan kepuasan diri. Memiliki sebuah rumah sendiri merupakan keperluan asas dari segi keselamatan/perlindungan. Rumah sangat penting dalam kehidupan seseorang, jika tidak mempunyai rumah sendiri maka seseorang itu akan mencari rumah sewa untuk diduduki terutamanya jika sudah beristeri dan mempunyai anak-anak, jika tak mampu menyewa rumah orang akan mencari jambatan atau kotak untuk dijadikan rumah, atau tikar plastik untuk dijadikan atap/bumbung rumah untuk berlindung daripada hujan dan panas, lantai dan dinding kurang penting tak ada pun tak apa.

Rumah yang selesa ialah sebuah rumah yang mempunyai garis sempadan yang jelas dan sah yang menentukan autoriti dan autonomi antara kita dengan jiran-jiran. Justeru itu sebuah rumah sendiri di atas sebidang tanah sendiri sangatlah penting dan perlu diusahakan, kerana sebuah rumah dengan terpaksa berkongsi lantai, bumbung, dinding, pagar dsbnya dengan jiran-jiran kiri dan kanan atas dan bawah sudah tentu akan membatas rasa kepunyaan dan kebebasan serta mudah mencetuskan pertelingkahan.

Rumah penting kerana di rumahlah tempat kita berehat selepas kepenatan balik dari tempat kerja, rumah tempat kita melahirkan dan mendidik anak-anak, tempat anak-anak membesar dan belajar berbagai perkara, ia juga tempat kita melayan tetamu, kaum kerabat serta sahabat handai, pelbagai aktiviti dan majlis-majlis diadakan di rumah, sifat seorang isteri pula memang dia memerlukan sebuah rumahnya sendiri untuk dia bebas 'berkarya' dan berkreativiti sama ada di dapur, bilik tidur, ruang tamu, tandas, halaman dsbnya, sisuami mesti memahami hakikat ini.

Lokasi rumah yang bebas daripada banjir dan banjir kilat, bebas daripada bau busuk, kebisingan, asap kilang, habuk, haiwan liar, penjenayah , jiran yang jahat dll memang diimpikan oleh semua orang. Ciri-ciri rumah idaman seterusnya ialah mempunyai persefahaman di kalangan penghuni, bilik dan tandas mencukupi, ada bahan bacaan dan tv, pendapatan keluarga yang memadai, pokok buah-buahan, haiwan peliharaan, kenderaan, tidak terlalu jauh dari bandar, hospital, sekolah (jika ada lagi yang lain tambahlah sendiri).

Kita belajar rajin-rajin kuat-kuat untuk masuk universiti untuk dapat kerja untuk dapat gaji lumayan sebagai jaminan untuk mencapai semua keperluan asas seperti yang disebut oleh Maslow di atas - Kita belajar rajin-rajin dan kuat-kuat demi satu hari nanti mudah-mudahan menjadi seorang individu atau sebuah keluarga atau satu keturunan yang tidak pincang - Kerana kepincangan di dalam keluarga akhirnya akan menyukarkan peluang dan laluan bagi mencapai kebahagian di akhirat. Sekian, jumpa lagi insya-Allah.

Friday, October 16, 2009

Mari Memasak

Menurut sebuah artikel di dalam majalah Mickey, beberapa ribu tahun dahulu seketul daging/ubi telah terjatuh ke dalam api/bara api secara tidak sengaja,kemudian diambil semula dan dimakan, didapati rasanya jauh lebih sedap, sejak peristiwa itulah maka manusia mendapat idea/ilmu untuk memasak dahulu makanan berkenaan sebelum dimakan. Kemahiran memasak sangat penting, sama pentingnya kalau pun tidak lebih dengan kemahiran memandu, bercucuktanam,bertukang kayu, membasuh dsb. Kadang-kadang kita terlepas pandang atau mengambil mudah dalam menguasai bidang kemahiran memasak ini.

Seorang ibu yang pandai memasak pelbagai masakan akan dapat menawan kasih sayang anak-anak, isteri yang mahir memasak akan dapat menakluki hati sisuami, suami yang pandai memasak dapat menyelamatkan keadaan, anak-anak yang minat memasak ibu jadi senang dan kawan-kawan pun suka. Malah hari ini dunia masakan telah menjadi salah satu kerjaya yang lumayan. Lihat saja Chef Wan personaliti yang bertanggungjawab memberi wajah, senario dan perspektif baru terhadap bidang masakan di Malaysia. Kini terdapat banyak IPTA dan IPTS yang menawarkan pengajian dalam bidang ini pada peringkat diploma mahupun ijazah di negara kita.

Memasak boleh dijadikan satu hobi masa lapang selain melancong, membaca, menonton, berkebun, futsal, memelihara ayam,angsa,ikan betuk,kucing dll. Ada banyak resepi (Pelbagai nasi, lauk-pauk,kuih-muih,minuman) yang menanti untuk dicuba (beberapa resepi telahpun dicuba dan berjaya). Kita ada 156 buah majalah Saji yang dilanggan sejak keluaran pertama pada tahun 1996, jika setiap majalah katakan ada 30 resepi, maka kita ada hampir 5,000 resepi untuk
dicubamasak. Ertinya setiap kali cuti panjang tak ada kerja lain lah - Itu belum termasuk resepi keluarga turun temurun yang perlu dikuasai seperti nasi daging, murtabak, limpa goreng berempah, kerabu perut, solok ikan kembung/temenung, bantut ikan terbuk, serundimg udang/daging, pulut sekaya/seri muka, tepung talam, dangai, qasidah, tepung bungkus, pulut dakap dll.

Dalam keadaan harga barang-barang yang sentiasa naik setiap hari, diikuti dengan lonjakan harga katering, maka untuk majlis-majlis jamuan yang melibatkan 30 hingga 40 orang tetamu/jemputan seperti majlis tahlil, doa selamat, 'open house' dan harijadi umpamanya, jauh lebih menjimatkan jika menunya dimasak sendiri - Yang penting jangan jadi macam sebahagian besar peniaga pasar ramadhan sudah lah, masakan tak tentu arah rasa.

Disarankan, walau apa pun kerjaya kita, sama ada guru, doktor, doktor gigi, engineer, pilot, polis apa saja, jadikanlah bidang masakan ini sebagai pelengkap, sebagai nilai tambah/value added kepada diri kita. Selamat mencuba resepi-resepi baru sambil mempertajamkan lagi resepi lama. "memasak mengeratkan keluarga hidup ceria". Sekian.