Sunday, December 18, 2011

Guru Sementara

Guru sementara ialah guru tidak terlatih yang diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk ditempatkan di sekolah-sekolah yang kekurangan guru terlatih/tetap.Pada satu masa dulu semua guru sementara adalah tidak terlatih,kebanyakannya diambil daripada lepasan SPM.Pada era tahun 80-an dan 90-an semua guru terlatih yang baru keluar daripada universiti atau maktab perguruan boleh dikatakan 100 peratus berjaya mendapat tempat sebagai guru sama ada di sekolah menengah atau rendah,tidak ada yang menganggur.

Namun mulai awal tahun 2000 hingga kini, berlaku satu fenomena baru iaitu mereka yang mempunyai ijazah perguruan dari universiti tertentu terutamanya yang bukan tajaan Kementerian Pelajaran tidak lagi mendapat tempat secara automatik sebagai guru di sekolah.Seterusnya kini sekiranya terdapat keperluan guru sementara di sekolah maka yang diambil oleh kementerian ialah GSTT (guru sandaran tidak terlatih) daripada kalangan pemegang ijazah tidak lagi pemegang SPM seperti satu masa dulu.

Orang-orang tua dulu sangat suka jika anak-anak mereka memilih kerjaya guru,katanya guru ada banyak cuti dan lagi pukul satu atau dua petang sudah boleh balik rumah sudah dapat bersama anak-anak dan isteri,lagi pun apabila ibu bapa sakit-demam atau jika ada kenduri-kendara anak-anak yang kerja guru inilah yang punyai lebih masa untuk membantu.Begitulah premis fikiran ibu-bapa pada satu masa dulu berkaitan kerjaya guru.Adakah ianya masih benar pada hari ini? Kini ada ura-ura yang kuat meminta guru bekerja hingga jam 5.00 petang seperti kerjaya lain juga.Maka jika terlaksana nanti pukul 6,7 atau 8 malam barulah guru tiba di rumah macam mereka dalam profesion lain,lebih-lebih lagi guru yang tinggal di bandar-bandar besar seperti KL yang jalanrayanya sentiasa penuh sesak.Maka akan berlakulah pula fenomena anak-anak guru pun akan terabai seperti juga anak-anak orang lain.Maka pada masa itu mungkin guru tidak lagi sentiasa menjadi pilihan nombor satu untuk dijadikan menantu atau isteri.

Pengalaman pertama menjadi guru ialah pada hujung tahun 70-an,iaitu menjadi guru sementara di sekolah arab Pendang -dah lupa sama ada selepas SPM,STPM atau semasa cuti UPM. Masa tu Ustaz Non adik Mak Lang Jah masih belajar di sekolah tersebut. Gaji lebih kurang RM200 sebulan begitu,maklumlah sekolah agama rakyat.Berapa lama mengajar pun dah tak ingat, mungkin 3 bulan.Pergi sekolah naik basikal parking di rumah Pak Long Mihat (datuk Shahmi)di belakang pekan Pendang, dari situ berjalan kaki lebih kurang 1km ke sekolah di seberang sungai Pendang-Mana boleh cikgu bawa basikal hingga ke kawasan sekolah,leceh tak ada standard! Malu pada anak murid! Cuma adalah satu-dua kali pergi mengajar pinjam motosikal CB100 Samad (anak Mak Ndak Siah,Pak Ndak Eil sebelah rumah Pak Teh Sahak) ikut jalan Gajah Mati,pun parking di rumah Pak Long Mihat sebab menunggang tanpa lesen.

Pada tahun 1967 atau 1968 semasa di darjah 3 atau 4 mungkin,terdapat dua orang guru muda/bujang lepasan maktab perguruan yang baru bertugas di SK Paya Kerchut iaitu Cikgu Yusof Dan Cikgu Elias, jika tak salah kedua-duanya orang Johor. Mereka berdua pergi ke sekolah dengan menaiki basikal dari rumah sewa yang jaraknya lebih kurang 1km.Oklah sebab zaman tu majoriti orang kampung tunggang basikal saja,motosikal adalah satu-dua buah. Dua oarng guru muda ni menunggang basikal kadang-kadang agak laju.Khabarnya pada suatu pagi agaknya dek kerana menunggang dalam keadaan laju basikal Cikgu Elias telah terlanggar pangkal pokok kelapa hingga beliau jatuh terpelanting,menurut kata saksi yang melihat,nasib baik beliau tidak apa-apa.
Cikgu Elias ni agak kelakar orangnya berbeza dengan Cikgu Yusof yang agak serius.Semoga mereka berdua sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT,Amin.
Sekian dulu,terima kasih.

Tuesday, December 6, 2011

mandi

Budak-budak sekarang hanya kenal air paip untuk mandi.Kalau balik kampung pun mandi air paip juga sebab kebanyakan kampung kini telah ada bekalan air paip.Bekalan air paip mula masuk ke PN kira-kira 30 tahun lepas.Maknanya,budak-budak PN 30 tahun lalu dan sebelumnya hanya mandi-manda dengan air telaga,begitu juga untuk membasuh dan memasak.

Zaman tu tiap-tiap rumah di PN ada perigi dan kebanyakannya terletak di tepi sawah padi iaitu sempadan antara sawah dengan tanah kampung,ada perigi yang ditaruh yum dan ada yang kekal original begitu tanpa yum. Kesemua perigi ini mempunyai air yang banyak serta jernih,ada airnya melimpah hingga ke atas tebing perigi terutamanya pada musim hujan,ceduk terus dengan tangan sahaja tak perlu lagi gunakan timba yang bertali.Airnya juga cukup jernih kecuali jika hujan turun dengan lebat maka adalah juga air hujan yang mengalir dari bahagian atas masuk ke dalam perigi tersebut itupun jika tebing perigi berkenaan tidak tinggi,maka waktu itu keruhlah sedikit airnya.Mandi di perigi terbuka macam ni memang menyegarkan dengan siraman air perigi yang sedia sejuk sambil ditiup pula oleh angin yang datang dari arah sawah padi memang satu nikmat unik yang menyegarkan serta sukar dilupakan.

Ada juga sesetengah orang tua waktu tu yang memelihara ikan bujuk serta ikan kaloi di dalam perigi mereka,ada yang sampai sebesar pinggan ikan kaloi tersebut dan hingga sebesar betis ikan bujuk berkenaan,jadi sambil menceduk air dapatlah melihat ikan tersebut timbul dan berenang-renang di permukaan air perigi berkenaan,kadang-kadang anak kedak (rupanya seakan ikan haruan) pun menjadi penunggu di perigi-perigi berkenaan selain daripada katak pisang.

Sekali-sekala semasa menceduk air perigi dengan menggunakan timba bertali,maka terlepas tali tersebut daripada pegangan terus ia lesap ke dalam perigi.Kenalah cari buluh atau kayu panjang yang ada penyangkuk besi di hujungnya digunakan untuk meraba dan manarik naik timba tersebut dari dasar perigi,maka jika kurang kemahiran kerja ini boleh jadi melarat sampai berjam-jam,jika susah sangat beli saja timba baru.

Pada musim kemarau panjang,kebanyakan perigi-perigi ini airnya akan kering,kecuali ada beberapa buah perigi yang liat untuk kering ataupun 'last' sekali barulah dia yang kering macam telaga arwah Tok Chik Timah.Maka pada musim kemarau panjang perigi ni akan menjadi tumpuan orang kampung waktu tu untuk minuman dan mandi-manda,seawal jam 4 atau 5 pagi dah ada yang datang takut terlewat tak dapat air atau terpaksa berebut dengan orang lain.

Maka apabila semua perigi telah kering atau hampir kering akibat kemarau panjang,inilah masanya kesempatan diambil oleh tuan-tuan perigi masing-masing untuk melanyau/membersihkan perigi masing-masing daripada sampah sarap dan kotoran yang terpendam di dasarnya selama satu tahun atau lebih.Kerja ini memerlukan sekurang-kurangnya 2 orang iaitu seorang turun ke dasar perigi memasukkan sampah sarap ke dalam baldi dan yang di atas menarik baldi tersebut ke atas membuangkannya berkali-kali hingga dasar perigi benar-benar bersih dan lubang air matanya tidak lagi tersumbat.

Pada era yang lebih kurang sama,mungkin pada peringkat awal sekolah rendah, Pak Njang Kalid ada projek menanam kacang panjang dalam skala yang besar (satu Relung begitu) iaitu bersempadan dengan kampung arwah Pak Teh Mad Lembik.Di situ ada dua buah perigi,satu digunakan untuk mandi-manda serta untuk menyiram pokok-pokok kacang panjang berkenaan,sementara yang satu lagi betul-betul di pangkal serumpun buluh duri bersebelahan pagar Pak Teh ML,dah terbiar begitu saja entah berapa lama dah. Satu hari kami budak-budak pun berpakat dengan beberapa orang kawan membersihkan perigi tu daripada kayu dan sampah sarap, pastikan tiada benda merbahaya di dasarnya ,airnya separas dada lebih kurang,maka turunlah mandi di dalamnya 4-5 orang,dah puas mandi main kejar-kejar dan sembunyi-sembunyi pula di dalam air perigi buta tersebut.Luas perigi tersebut lebih kurang dua buah meja makan.apabila dah mandi 4-5 orang di dalamnya sambil bermain pula kejar-kejar dan selam-menyelam maka airnya pun bertukar daripada jernih menjadi keruh pekat dah macam rupa air teh susu yang Pn.Salmi buat untuk sarapan pagi atau minum petang.Tak kisah pun terus saja bermain dalam air tu sampai berjam-jam,nun di sempadan Pak Teh ML sana,tak siapa yang dengar tak siapa yang tahu.Masing-masing berlari dan menyelam takut dapat ditangkap oleh kawan yang terus-menerus mengejar sambil diiringi gelak-ketawa dan jerit-pekik masing-masing,sesekali bila muncul/timbul dipermukaan perigi rupa dah macam mat salleh sebab kepala,bulu kening dan bulu/lubang hidung semua dah bertukar menjadi warna kuning/perang kerana diselaputi oleh keladak/lumpur daripada 'air teh susu' telaga berkenaan- Memang sukar nak dilupakan- Ok jumpa lagi,insyaAllah.