Friday, October 16, 2009

Mari Memasak

Menurut sebuah artikel di dalam majalah Mickey, beberapa ribu tahun dahulu seketul daging/ubi telah terjatuh ke dalam api/bara api secara tidak sengaja,kemudian diambil semula dan dimakan, didapati rasanya jauh lebih sedap, sejak peristiwa itulah maka manusia mendapat idea/ilmu untuk memasak dahulu makanan berkenaan sebelum dimakan. Kemahiran memasak sangat penting, sama pentingnya kalau pun tidak lebih dengan kemahiran memandu, bercucuktanam,bertukang kayu, membasuh dsb. Kadang-kadang kita terlepas pandang atau mengambil mudah dalam menguasai bidang kemahiran memasak ini.

Seorang ibu yang pandai memasak pelbagai masakan akan dapat menawan kasih sayang anak-anak, isteri yang mahir memasak akan dapat menakluki hati sisuami, suami yang pandai memasak dapat menyelamatkan keadaan, anak-anak yang minat memasak ibu jadi senang dan kawan-kawan pun suka. Malah hari ini dunia masakan telah menjadi salah satu kerjaya yang lumayan. Lihat saja Chef Wan personaliti yang bertanggungjawab memberi wajah, senario dan perspektif baru terhadap bidang masakan di Malaysia. Kini terdapat banyak IPTA dan IPTS yang menawarkan pengajian dalam bidang ini pada peringkat diploma mahupun ijazah di negara kita.

Memasak boleh dijadikan satu hobi masa lapang selain melancong, membaca, menonton, berkebun, futsal, memelihara ayam,angsa,ikan betuk,kucing dll. Ada banyak resepi (Pelbagai nasi, lauk-pauk,kuih-muih,minuman) yang menanti untuk dicuba (beberapa resepi telahpun dicuba dan berjaya). Kita ada 156 buah majalah Saji yang dilanggan sejak keluaran pertama pada tahun 1996, jika setiap majalah katakan ada 30 resepi, maka kita ada hampir 5,000 resepi untuk
dicubamasak. Ertinya setiap kali cuti panjang tak ada kerja lain lah - Itu belum termasuk resepi keluarga turun temurun yang perlu dikuasai seperti nasi daging, murtabak, limpa goreng berempah, kerabu perut, solok ikan kembung/temenung, bantut ikan terbuk, serundimg udang/daging, pulut sekaya/seri muka, tepung talam, dangai, qasidah, tepung bungkus, pulut dakap dll.

Dalam keadaan harga barang-barang yang sentiasa naik setiap hari, diikuti dengan lonjakan harga katering, maka untuk majlis-majlis jamuan yang melibatkan 30 hingga 40 orang tetamu/jemputan seperti majlis tahlil, doa selamat, 'open house' dan harijadi umpamanya, jauh lebih menjimatkan jika menunya dimasak sendiri - Yang penting jangan jadi macam sebahagian besar peniaga pasar ramadhan sudah lah, masakan tak tentu arah rasa.

Disarankan, walau apa pun kerjaya kita, sama ada guru, doktor, doktor gigi, engineer, pilot, polis apa saja, jadikanlah bidang masakan ini sebagai pelengkap, sebagai nilai tambah/value added kepada diri kita. Selamat mencuba resepi-resepi baru sambil mempertajamkan lagi resepi lama. "memasak mengeratkan keluarga hidup ceria". Sekian.

Wednesday, October 7, 2009

Ramadhan ( 4 )

Dulu-dulu pun ada jugak main mercun, iaitu mercun tarik, mercun beras dan mercun biasa yang bersaiz punting rokok tu. Mungkin waktu tu ada lagi mercun-mercun jenis lain, tapi yang budak-budak paya nedam main kala tu hanya yang 3 di atas tulah saja, bunga api pula ialah yang jenis kawat dawai, bila bunga api dah habis percik yang tinggal di tangan hanya kawat dawai. Zaman tu ibu bapa tak banyak duit, semua mereka kerja kampung saja, semua mereka tak kompromi langsung dengan pembaziran untuk membeli mercun dan bunga api yang di jual di kedai Tok Pek Yam (the only kedai runcit di p.nedam, dan pindah ke Pendang lepas kejadian 13 Mei 69) - Tapi segarang-garang babatok pun, jika tak salah ingatan ada jugak dia belikan mercun dan bunga api untuk anak-anak dia main, dia tau setahun sekali anak-anaknya nak berseronok menjelang hariraya. Babatok ni paling garang dalam bulan puasa la, jika dia tengah tidur waktu petang atau tengahari, tiba-tiba kita berjalan terkuat sikit atas rumah lantai papan, alamat kena tengking petir, jika nasib tak baik penampar/penabuh jepun pun sama sampai, so jika nak selamat kenalah berjalan perlahan-lahan tonjitkan tapak kaki tumit jangan jejak lantai sebab rumah kayu dah tua lantai papan memang mudah mengeluarkan bunyi berkeriut-keriut. Ada juga budak kampung yang pandai buat meriam buluh, ada yang buat meriam tanah iaitu buat lubang dalam tanah, bunyinya lebih kuat dan lebih padu daripada meriam buluh hingga menghasilkan gegaran.


Bila umur dah tua dah melebihi 40 atau 50 tahun tak salah jika nak main mercun, tapi puasa orang golongan umur ini lebih kepada nak tambah amal ibadah seperti puasa nak penuh serta berkualiti, solat terawih nak 20 rakaat tiap-tiap malam, 10 malam terakhir nak qiamullail (jika mampu tiap-tiap malam sejak 1 puasa). nak khatam quran minimum sekali, nak solat berjemaah setiap waktu sepanjang ramadhan, banyak berzikir berselawat berishtigfar, cuba dapatkan lailatulqadar dan sebagainya - semua ini sesuai dengan pandangan ulamak yang mengatakan ramadhan umpama kem latihan untuk membaiki diri selaku hamba yang lemah. Sebenarnya puasa, solat terawih, khatam quran seperti dinyatakan di atas dan puasa 6 merupakan 'satu standard' yang patut tertanam/terbiasa dalam diri sebaik saja kita mencapai umur lepas SPM, jangan dinanti umur dah meningkat baru kebiasaan ini nak disemai, sukar jadinya- sebagai orang muda macam-macam nak dibuat, nak tonton astro, nak karaoke, nak menyanyi, nak melancong, nak main futsal dan sebagainya, tapi 'standard' tersebut di atas mesti digapai dalam masa yang sama, itulah antara bukti disiplin diri. Sekian.