Wednesday, August 26, 2009

Ramadhan ( 3 )

Ada 12 bulan dalam setahun. Namun, Ramadhan ialah bulan yang paling mulia serta sangat unik. Antara keunikannya ialah semua orang Islam tidak dibenarkan makan atau minum pada siang hari sepanjang bulan berkenaan. Mereka yang dibolehkan makan dengan syarat tertentu hanyalah golongan bayi, kanak-kanak, orang sakit, orang sangat tua, perempuan mengandung/menyusu anak dan orang musafir, yang lain malam baru boleh makan. Keunikan lain ialah dalam bulan ini ada malam lailatulqadar, solat sunat terawih, berbuka puasa, makan sahur, makan moreh, ramai orang pergi masjid/surau kerana nak sembahyang walaupun bulan-bulan lain tak berapa rajin nak sembahyang (baguslah jika ini jadi titik perubahan), perasaan seronok ketika berbuka dan seronok menanti ketibaan hari lebaran - seronok yang tak boleh nak digambarkan dengan perkataan.

Lagi 7 hari nak raya, dah mula pasang pelita raya pada malam hari - dulu-dulu pelita raya berfungsi untuk menerangkan rumah dan halaman rumah serta untuk mencantikkan dan menceriakan suasana malam kerana belum ada elektrik - hari ini pelita raya hanya untuk hiasan semata-mata. Nak beli pelita raya tak ada duit, so pergi cari buluh potong ikut ruas-ruas, tebuk lubang,masukkan sumbu daripada kain buruk, isi minyak tanah dan cucuh/nyalakan. kalau pelita tak ada, minyak tanah pun tak menemu, maka halaman rumah masih boleh diterangkan pada malam raya dengan menggunakan pelita tempurung kelapa - caranya mudah saja, cari tempurung kelapa banyak-banyak, tebuk lubang di tengah-tengah, ada sisi tempurung yang dah sedia berlubang, susunkannya ikut posisi terlentang pada sebatang anak kayu hidup/besi kemudian cacakkan ke tanah besi yang telah dipenuhi susunan tempurung tersebut, sebaik-baik tingginya sama paras bahu atau lebih, bila hari dah malam, cari tiub basikal lama, lantun pun boleh, nyalakannya dan letakkan pada tempurung yang paling atas, nanti semua tempurung tersebut akan terbakar/menyala satu demi satu sikit demi sikit dari atas ke bawah, untung-untung boleh tahan sampai subuh.

Keunikan lain dalam bulan ini ialah semua budak tak takut nak keluar rumah waktu malam kerana cukup yakin semua hantu syaitan telah diikat dan dirantai oleh Tuhan, itulah yang diberitahu dan diindoktrinkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Bulan-bulan lain bukan main takut jika nak terbuang air besar waktu malam sebab tandas nun jauh tepi sawah bawah pokok rembia, sangat takut kalau kena suruh pergi kedai beli cerut atau lain-lain barang kerana kedai terhampir ialah 3 kilometer serta terpaksa menempuh beberapa tempat yang dianggap 'keras' .
Atau, tiba-tiba emak suruh pergi angkat air di perigi, memang takut. Tapi, dalam bulan puasa tak takut hantu langsung, semua hantu dah kena ikat apa nak ditakutkan, kalau tu jam hantu dapat dilihat, boleh pergi sengkeh kepala dia, apa dia boleh buat sebab tangan dan kaki dah kena rantai.

Dulu-dulu, tilawah al-quran diadakan dalam bulan puasa, kalau tak silap kedua-dua peringkat kebangsaan dan antarabangsa berturut-turut dijalankan dalam bulan Ramadhan. Apabila sampai masa tilawah, maka tiap-tiap malam kecik besar tua muda pergi ke rumah Pak Lang Kadir menonton siaran langsung di televisyen selepas solat terawih. Zaman tu belum lagi ada karaoke, belum ada konsert sana konsert sini, astro dan internet pun belum ada, tv pun masih hitam putih, kebetulan bulan puasa pula ialah bulan untuk beribadah, maka pada waktu malam, semua keluarga muslim di kampung dan di bandar di Kedah dan di Melaka malah di seluruh pelosok negara semuanya tahu dan menonton tilawah alquran pada waktu itu, kalau yang tiada tv boleh ikuti siaran langsung di radio. Begitulah besarnya impak dan pengaruh tilawah ke atas orang Melayu pada zaman itu. Setelah negara dah maju, orang bijak pandai pun dah ramai, maka tilawah dipindahkan ke bulan lain, lalu pengurusan tilawah jadi lebih senang namun impaknya bagaimana? - Yang pasti menonton dan mendengar hanya yang berada di dalam dewan tempat tilawah tersebut berlangsung sahaja, yang lain yang di rumah lebih baik saja tonton HBO, movie, Nasional Geographic, sukan astro dan banyak lagi hiburan lain yang jauh lebih menarik - begitulah nasib tilawah zaman IT - begitulah jadinya jika kita melaksanakan sesuatu perkara tanpa mengambil kira faktor kesesuaian masa, suasana dan psikologi kumpulan sasaran/masyarakat Melayu - tidak bolehkah tilawah dikembalikan semula ke pangkuan Ramadhan? Sekian dulu.

Wednesday, August 19, 2009

Ramadhan ( 2 )

menyambut serta menjalani ramadhan pada zaman kanak-kanak dan remaja sangat nostalgik. Seronok ketika berbuka puasa dan akan lebih seronok lagi apabila menjelang hari raya. Tapi nak tunggu saat dapat berbuka sejak pagi sampai tengahari hingga ke petang rasa bukan main lama. Rasa, masa berjalan begitu perlahan dalam bulan ramadhan zaman itu. Jenuh menunggu. Kebanyakan budak-budak kampung waktu itu semuanya berpuasa walaupun tak dapat upah (Tak macam Rauf dan Alawi, tahun ni naik kepada rm3.00) kalau ada pun jika boleh dianggap sebagai upah ialah janji oleh ibu atau ayah masing-masing untuk membeli baju dan seluar raya di Pekan Sabtu Pendang, itu pun kadang-kadang ada kawan yang hanya dapat uniform sekolah baru buat pakai hari raya seterusnya pakai pergi sekolah-kira 2 in 1 lah tu. Itu pun bersyukur, tak pandai nak protes-protes macam bebudak sekarang. Hal ini demikian kerana sikap masyarakat kita masa tu jika tak solat ok lagi, tapi jika seseorang itu tidak berpuasa memanglah akan dilihat sebagai sangat leceh serta haprak.

Alat hiburan yang ada masa tu hanyalah radio, tv memang tiada sebab elektrik pun belum ada, kalau ada pun tv time tu hanya orang kaya saja yang mampu beli. Setiap hari bila dah hampir dengan waktu berbuka, maka masing-masing pasang telinga dengar azan di radio, bagi yang tiada radio boleh tunggu dengar dentuman meriam yang ditembak di Alor Setar pada setiap hari sebagai isyarat waktu berbuka, sebab kampung agak jauh dari AS kadang-kadang bunyi meriam tu tak kedengaran, maka kenalah pula berpandukan bulu roma di lengan atau bunyi gendang maghrib yang dipalu di surau, biasanya gendang dari surau Pondok Gajah Mati/Pondok Bawah.

Malam. Pergi solat isyak dan terawih di surau. Lelaki, perempuan dan kanak-kanak ramai yang ke surau. Jika malam tu moreh laksa maka kehadiran akan meningkat, surau hampir penuh (maklumlah, zaman tu tak ada KFC tiada pizza tiada kebab so kalau laksa tu kira speciallah). Terawih 20 rakaat, tambah witir 3. Jam tu puak 8 rakaat belum muncul lagi. Setiap kali selesai 2 rakaat maka semua jemaah akan berselawat beramai-ramai kuat-kuat sekuat-kuat hati terutamanya kanak-kanak, boleh didengari hingga ke kampung-kampung sebelah - kalau menu moreh malam tu sedap, maka makin kuatlah berselawat gegak gempita bergegar balaisah. Habis terawih makan moreh. Sebelum balik rumah, ada satu soalan yang perlu ditanya, 'malam esok moreh apa?' - sekian dulu.

Sunday, August 16, 2009

Ramadhan

Masa kecil, time sekolah rendah dan time sebelum sekolah rendah, merupakan zaman yang cukup bahagia dan seronok. Iaitu sebelum 1970. Time tu bila fikir nak kena puasa bulan Ramadhan agak susah hati sikit, tapi bila puasa dikaitkan dengan hari raya maka baru datang semangat. Menyambut Ramadhan zaman tersebut tanpa elektrik, air paip, telefon dan tanpa jalan tar. Kalau tak silap tahun 1979 baru api masuk Paya Nedam.

Bulan puasa barulah dapat makan makanan/kuih yang sedap-sedap, seperti kuih pulut sekaya/seri muka, cucur badak, tepung talam, tepung bungkus, buah melaka, popia, kanji/bubur lambuk dan sebagainya, kalau kuih tersebut daripada tepung beras maka kenalah rendam beras dulu dan kena tolong kisarkan esoknya dengan menggunakan lesung/pengisar batu pusing pakai tangan.

Kalau nak minum air batu kena tunggu orang jual air batu datang, seketul 20 sen, air batu tu siap dipotong-potong bersaiz 1 biji bata atau 2 bata dan ditimbus dalam serbuk papan, yang menjual biasanya anak muda pakai basikal nak cari duit raya, perniagaan ni hanya muncul dalam bulan ramadhan saja, air batu tu beli di Pendang. Kadang-kadang belum sampai rumah kita air batu tu dah habis dijual, tunggu penjual kedua pula datang, pun sama, maka tak merasalah nak berbuka air batu petang tersebut.

Malam. Sebelum pergi terawih di balaisah/surau. Pergi merayau dulu rumah Pak Ngah Kasim, rumah Pak Teh Sahak, Rumah Njang Lembut cari kuih lebih berbuka. Memang seronok. Pergi sampai ke dapur, itulah istimewanya jadi anak Pak Chik Mat Cucu TokYah Doi. Lepas solat terawih makan moreh, menu tukar-tukar ikut giliran, ada bihun goreng, laksa, bubur kacang, bubur lambuk/kanji dan lain-lain. Moreh dimasak secara gotong-royong di balaisah bermula jam 4.00 atau 5.00 petang. Lepas makan moreh pukul gendang pula riuh rendah budak-budak dan orang tua bergilir-gilir pukul macam-macam rentak sampai dua tiga orang serentak pukul, memang seronok.

Wednesday, July 29, 2009

Solat


Sebagai seorang muslim, solat 5 waktu sehari semalam ialah satu kewajipan, ini semua orang tahu. Ok, lebih senang bercakap mengenai perkara yang orang dah tahu berbanding dengan perkara yang orang lain belum tahu. Kadang-kadang perkara yang kita dah tahu jauh lebih penting daripada perkara yang kita belum tahu - apa contohnya? cuba fikir. Tapi ada orang yang cukup berbangga kalau dapat bercakap sesuatu perkara yang orang lain belum tahu, dan citarasa inilah yang membantu penularan yang pantas khabar angin, gossip dan fitnah khususnya dalam komuniti kita .


Kita kena juga solat walau dalam situasi apa sekalipun. Tiada kompromi. Selagi ada akal. Hatta dalam peperangan sekalipun. Lari panjat pokok, kat pangkal ada harimau, pun kena solat. Kena ikat dengan perompak kat atas kerusi/katil/tiang, pun kena solat. Dalam kapal terbang, kereta api, kereta kebal, pun kena solat. Situasi yang dimaafkan cuma jika terlupa, tertidur atau hilang akal/ingatan umpama pitam/pengsan/koma sahaja, itu pun bila dah tersedar/terjaga kena wajib qadak balik. Kita tetap kena solat kerana:-


1. Allah SWT memerintahkan kita supaya mendirikan solat

2. Solat merupakan salah satu daripada Rukun Islam

3. Solat merupakan bukti keimanan

4. Nabi SAW menerima solat terus daripada Allah SWT semasa israk-mikraj

5. Solat ialah amalan yang mula-mula dihisab

6. Ia merupakan syarat bagi diterima amalan-amalan lain

7. Ia membezakan antara muslim dengan kafir

8. Saat-saat terakhir ulamak-alamak banyak berwasiat kepada kita agar jangan abaikan solat

9. Dapat cegah fahsyak dan mungkar

10. Dalam seruan azan, nak berjaya di dunia dan di akhirat kena solat dulu

11. Sehari semalam 5 kali - perkara penting biasanya memang lebih kerap dilakukan.

12. Ikut kemampuan - berdiri,duduk,baring, mengiring, telentang dsb - tetap laksana

13. Solat hormat waktu - tak boleh elak, kena buat juga.

14. Musafir - solat jamak dan qasar - kemudahan, jangan beri alasan

15. Ada orang meninggal kita solatkan

16. Kita meninggal orang solatkan - insya-Allah.

17. Masjid dan surau dibina kerana ibadat solat

18. Seminggu sekali hari Jumaat wajib solat di masjid

19. Nabi bina masjid dulu sebelum bina yang lain

20. Anak 7th. disuruh solat, 10th. boleh dirotan jika enggan.

21. Solat berjemaah sekian-sekian kelebihan - puasa tak ada jemaah.

22. Solat tiang agama

23. Tinggal solat runtuhkan agama

24. Solat bukti keyakinan terhadap pertemuan dengan Allah di akhirat.

25. Dll. Sekian, minta pada Allah agar dipanjangkan umur dalam ibadah. Amin.