Sunday, December 12, 2010

Kisah Masuk Jawi

Ada beberapa nama tentang perkara ini seperti bersunat,berkhatan atau masuk jawi. Bersunat, kerana hukumnya sunat sahaja iaitu sunat muakkad. Lelaki dan perempuan kena bersunat tak boleh dielak. Orang perempuan lebih beruntung kerana ibu bapa menyunatkan mereka sewaktu masih kecil (tidak tahu apa-apa) sebaliknya kanak-kanak lelaki dalam konteks budaya Melayu nusantara kebiasaannya disunatkan ketika umur 6 hingga 12 tahun.

Kisah bagaimana kanak-kanak perempuan berkhatan kenalah ditanya kepada orang perempuan atau tok bidan khususnya, sebab orang lelaki sama ada bapa sendiri pun rasanya tiada yang terlibat secara langsung dalam urusan ini, apa alat yang digunakan bagaimana ia dilakukan, memang agaknya ramai lelaki yang tidak faham jika ditanya.

Pada zaman dulu, agaknya sebelum tahun 70-an atau sebelum 60-an, dikhabarkan ada 'budak' lelaki yang dah umur sekolah menengah baru mak bapak nak sunatkan yang tok mudim pulak rupa serta perawakannya macam pawang hantu dalam drama niang rapik, itu yang bila sampai hari nak masuk jawi dia pun cabut lari, satu kampung kena kejar dan tangkap ramai-ramai, orang kampung pun satu hal diusiknya 'budak' tu dengan macam-macam cerita yang menakutkan,itu kalau dapat ditangkap, jika tak dapat maka sampai tualah budak tu tak masuk jawi.

Jika menggunakan khidmat tok mudim kampung, maka alatan yang diperlukan ialah batang pisang untuk duduk,tempurung kelapa yang dibubuh abu dapur untuk menadah darah yang menitis,sejam atau setengah jam sebelum bersunat kena mandi sampai sejuk menggigil, duduk atas batang pisang dengan seorang dewasa berdiri di belakang pegang kepala dan dongakkan ke atas jangan benarkan pandang ke bawah takut budak tu pengsan atau pun takut tiba-tiba dia menjerit sekuat-kuat hati yang boleh menyebabkan semua budak lain yang sedang menunggu giliran cabut lari. Proses seterusnya terserahlah kepada mudim, biasanya beliau menggunakan dua batang buluh untuk menyepit dan pisau tajam untuk memotong, kemudian lukanya dibalut dengan kapas dan kain putih,maka bila sampai masa hendak dibuka balutan untuk dicuci, ya Allah rasa macam nak kiamat dunia ni, ditanggalkanlah sedikit demi sedikit balutan tu dan disiram dengan macam-macam jenis air dan macam-macam jenis minyak supaya mudah tanggal, itu ada yang dari 7.00 pagi hingga 12.00 tangahari belum lagi tanggal-tanggal.

Budak-budak sekarang ada dua pilihan, sama ada mahu masuk jawi dengan mudim atau dengan doktor, tapi ramai yang pilih doktor sebab tak sakit dan cepat baik,malah kalau berani boleh lihat sendiri kerja-kerja bersunat yang sedang dilakukan oleh doktor, selain ubat yang baik doktor juga menggunakan psikologi. Tok mudim sekarang pun okay kerana mereka juga telah menggunakan ubat dan teknik rawatan yang lebih saintifik berbanding zaman dulu.

Kesimpulannya, baik lelaki mahupun perempuan masing-masing melalui saat-saat yang 'mengerikan' di dalam kehidupan yang tak dapat dielakkan, bagi lelaki saat tersebut ialah semasa hendak masuk jawi sementara bagi perempuan pula saat berkenaan ialah semasa hendak bersalin, sebab itulah ada yang lepas bersalin anak pertama terus tak mahu mengandung lagi, sebab itulah semasa melahirkan anak dikatakan nyawa ibu berkenaan berada di hujung rambut, begitulah betapa besarnya pengorbanan seorang ibu kepada kita,hingga hadis mengatakan syurga di bawah tapak kaki ibu. Tapi dengan kemajuan bidang sains perubatan hari ini,bersalin pun dah jadi senang. Dulu-dulu pun ada orang perempuan yang bersalin senang, sambil motong getah pun boleh bersalin,alhamdulillah - sekian, jumpa lagi insya-Allah.