Budak-budak PN semuanya bersekolah rendah di SK Paya Kerchut (SK Hj.Md.Dahan). Setiap pagi berjalan kakilah ramai-ramai ke sekolah, ada juga yang berbasikal sendiri, ada yang dihantar oleh bapa dengan basikal atau motosikal. Masa tu tahun 60-an dan awal 70-an budak-budak PN memang ada yang rajin pergi sekolah dan ada juga yang tak berapa rajin. Ada satu kes seorang budak ayah dia hantar ke sekolah dengan basikal, satu pagi apabila tiba di gon Salleh Lemaga budak ni pun terjun daripada basikal bapanya lari masuk ke dalam getah tua semak, terus lesap.
Setelah tamat darjah 6 (ada juga yang tidak tamat,separuh jalan saja), sambung tingkatan 1 di SMK Pendang, tu jam belum lagi ada SMK Ayer Putih Dalam, maka kenalah naik basikal tiap-tiap hari ulang alik ke Pendang pergi balik lebih kurang 20km. Nak naik bas Mara kena tunggu di Ayer Putih, jadual bas pulak tidak menentu, kadang ada kadang tak ada, dari rumah ke Ayer Putih naik apa pulak? Banyak masalah. Akhirnya, tak berapa kerat budak PN yang pergi menyambungkan pelajaran di Pendang, masalah kewangan pun satu perkara lagi. Era tersebut semua rumah orang PN menpunyai basikal, tapi hanya dua tiga rumah sahaja yang ada motosikal, kereta jauh sekali, hanya Arwah Pak Lang Kadir sahaja yang ada kereta. Maka ramailah yang 'terpaksa' tercicir dalam pelajaran. Ada juga yang menyambung pelajaran di Sekolah Arab Banggul Tambak dan Pendang.
Jika tak silap hanya ada tiga keluarga saja masa tu yang mewakili budak-budak PN lain yang menghantar anak-anak dari peringkat menengah hingga ke universiti iaitu keluarga arwah Pak Chik Mat, keluarga arwah Pak Chik Lah Tok Salleh dan keluarga Pak Long Md.Zen Mak Lang Rahmah, itu pun kerana bersekolah menengah di Alor Setar tinggal di asrama/rumah sewa, jika bersekolah di Pendang naik basikal tiap-tiap hari agak tak taulah apa nasibnya. Tapi Pak Chu Basir berbasikal dengan 3 orang kawan selama 3 tahun mengharungi hujan dan panas dari PN ke Pendang dari tingkatan 1 - 3, tingkatan 4-5 motosikal ganti basikal, dan akhirnya berjaya jugak, kira macam ajaiblah jugak.
Dalam keadaan penuh cabaran begitu, akhirnya ada juga budak-budak PN zaman tu dan sebelumnya yang berjaya jadi konduktor bas, pegawai parit dan tali air, pegawai polis, pengurus estet,pengetua,guru,kemahiran dan sebagainya. Dan budak-budak PN era 80-an dan seterusnya lebih bernasib baik kerana PN dah ada macam-macam kemudahan, sekolah menengah pun dah dekat,pengangkutan pun bukan masalah lagi, tinggal mahu rajin belajar atau malas belajar sahaja, kewangan pun dah tak lagi menjadi masalah utama. Kini tiap-tiap hari nampak berderet-deret budak-budak PN yang ke sekolah menengah dengan motosikal, kalau ada pun basikal ia hanya untuk main-main naik dalam kampung sahaja. Begitulah, harap pada masa depan akan ramailah lagi budak PN yang dapat masuk universiti dan seterusnya menjawat pelbagai jawatan tinggi atau menjadi usahawan berjaya - Seronok serta bangga jadi budak PN. Terima kasih PN - OK jumpa lagi,insyaAllah.
Friday, July 9, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)